Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Taman Lakeside berciri taman rakyat dibuka

Apr 28, 2019 | 05:30 AM



TAMAN Lakeside, yang merupakan bahagian barat Taman Tasik Jurong yang seluas 53 hektar, dibuka kepada orang ramai semalam.



Ini merupakan fasa pertama Taman Tasik Jurong yang dibuka kepada orang awam.



Apabila dibuka sepenuhnya, Taman Tasik Jurong yang seluas 90 hektar - atau hampir sebesar Taman Di Pesisiran (Gardens by the Bay) yang seluas 101 hektar - merupakan taman nasional ketiga Singapura dan yang pertama di kawasan perumahan awam.



Dua lagi taman nasional Singapura ialah Kebun Bunga Singapura dan Taman Di Pesisiran.



Menteri Pembangunan Negara, Encik Lawrence Wong, merasmikan pembukaan Taman Lakeside, semalam.



Beliau turut disertai Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam yang juga penasihat GRC Jurong serta penasihat lain daripada kawasan undi Jurong, Yuhua, West Coast dan Bukit Batok.



Ketika berucap di majlis pelancaran itu, Encik Wong berkata kerja bagi membangunkan Taman Lakeside bermula pada 2012.



"Kami telah mengambil masa untuk mendekati penduduk dan pihak berkepentingan lain menerusi pelbagai perbincangan kumpulan fokus dan pameran awam. Kami telah mengumpulkan hampir 32,000 cadangan bagi Taman Lakeside serta mengkajinya dan berhati-hati menggabungkannya dalam reka bentuk taman ini.



"Tasik Jurong merupakan tempat yang istimewa di bahagian barat (Singapura). Ia merupakan wahah hijau yang kaya dengan alam semula jadi dan biodiversiti.



"Kami telah mengambil berat untuk memelihara ciri-ciri unik dan warisan semula jadi ini sementara memperkenal lebih banyak kegiatan dan semangat kepada taman ini agar ia dapat benar-benar menjadi sebuah taman rakyat, yang boleh dinikmati segenap lapisan warga Singapura," kata Encik Wong.



Berdasarkan maklum balas orang awam, Taman Lakeside dibangunkan dengan penekanan yang kukuh pada alam semula jadi, masyarakat dan tempat bermain.



Lembaga Taman Negara (NParks) juga telah bekerjasama dengan pelbagai agensi lain termasuk Majlis Sukan Singapura (SportSG) dan Persatuan Rakyat (PA) untuk memperkaya kepelbagaian program dan pengalaman riadah bagi pengunjung.



Terletak di Yuan Ching Road dan sebelah stesen MRT Lakeside, taman itu antara lain memaparkan tempat permainan yang dinamakan 'Forest Ramble' bagi kanak-kanak berusia antara lima dengan 12 tahun.



Pengunjung juga boleh menikmati sebuah tempat permainan air dengan kolam cetek di Clusia Cove yang terletak di bahagian utara Taman Lakeside.



Satu laluan kayu pula boleh membawa pengunjung menerusi hutan paya air tawar yang memaparkan sekitar 50 spesies tanaman termasuk pokok Rasau dan Nibong.



Laluan yang dinamakan Rasau Walk itu dihubungkan dengan kawasan padang rumput dan laluan tanah basah yang merupakan tempat tinggal pelbagai haiwan termasuk burung pucung, burung enggang dan memerang.



Sempena pelancaran taman itu, Encik Wong turut mengumumkan bahawa NParks akan turut mengadakan Pertunjukan Hortikultur Pesta Taman Singapura (SGF) buat kali pertama di Taman Lakeside, yang akan berlangsung dari semalam hingga 5 Mei.



Dalam pada itu, SportSG juga telah melancarkan ActiveSG Park di taman itu dan antara lain memaparkan sebuah kolam renang bersepadu, kawasan bersenam dan gimnasium.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >