PENGASAS Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, menjelaskan pada Sabtu (30 Julai) bahawa beliau telah menjalani pembedahan pada paru-parunya dan beransur pulih di hospital.
"Baru-baru ini selepas menjalani beberapa pemeriksaan perubatan, doktor menasihati agar saya mengambil langkah berjaga-jaga membuang luka kecil pada paru-paru kanan saya," kata Dr Tan dalam satu hantaran Facebook.
Beliau dimasukkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) pada Jumaat untuk pembedahan itu.
"Pembedahan itu berjaya, saya beransur pulih dengan baik dan saya jangkakan akan keluar dari hospital dalam masa sekitar seminggu," jelas Dr Tan, mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat di NUH.
"Dan saya menantikan masa sihat dan boleh bergerak lagi meneruskan sesi pertemuan bersama penduduk dan aktiviti lain!" kongsinya.
Dr Tan, bekas Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP), merupakan pengasas PSP pada 2019 sebelum menyertai Pilihan Raya Umum 2020.
Dalam pilihan raya itu, beliau bertanding di GRC West Coast sebagai sebahagian pasukan PSP seramai lima orang, termasuk Encik Jeffrey Khoo, Cik Hazel Poa, Encik Leong Mun Wai dan Encik Nadarajah Loganathan.