Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tangani Seksyen 377A tanggungjawab AP; tidak boleh serahkan pada mahkamah

Nov 29, 2022 | 05:30 AM



RANG Undang-Undang untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Jenayah perlu ditangani pemerintah dan Parlimen, dan tidak boleh diserahkan kepada mahkamah, kata Menteri Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, semalam.



Ini kerana terdapat risiko perundangan yang jelas bahawa Seksyen 377A boleh diketepikan sekiranya Parlimen membiarkannya begitu sahaja, kata beliau.



"Terdapat risiko Seksyen 377A boleh diketepikan. Dan anda tahu risiko undang-undangnya kepada keluarga heteroseksual dari sudut perumahan, pendidikan dan dasar lain - semuanya boleh timbulkan risiko.



"Menyedari semua risiko ini - dan keengganan mengambil kedudukan atau jelas menanganinya seperti mengelakkan tanggungjawab sebagai Anggota Parlimen (AP), menyerahkannya kepada mahkamah.



"Secara politik, ia memang mudah. Tapi ia juga buruk bagi warga Singapura," katanya.



Dalam perbahasan hari pertama bagi memansuhkan Seksyen 377A Kanun Jenayah di Parlimen semalam, Encik Shanmugam juga berkata bahawa hubungan sejenis yang saling mendapat persetujuan antara lelaki tidak akan menimbulkan kebimbangan undang-undang, lantas tidak boleh dianggap isu jenayah.



Tambahan lagi, Seksyen 377A Kanun Jenayah yang menganggap tindakan sedemikian sebagai jenayah, menganiaya golongan gay di Singapura, katanya semasa perdebatan mengenai undang-undang itu.



Shanmugam jelaskan pertimbangan untuk mansuh Seksyen 377A



Encik Shanmugam, yang bercakap semasa bahas Bacaan Kedua Rang Undang-Undang untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Jenayah semalam, berkata sudah sampai masanya Seksyen 377A dimansuhkan kerana ia menghina dan menyakitkan golongan gay.



"Kebanyakan golongan gay tidak menganiaya orang lain, mereka hanya ingin hidup aman dan tenang dan diterima masyarakat serupa dengan warga Singapura lain."



Encik Shanmugam berkata golongan gay di sini tidak harus dilontar stigma kerana orientasi seksual mereka.



Beliau menambah:



"Bagi individu gay, meskipun Seksyen 377A tidak dikuat kuasa, ia tetap ada - diingati sebagai satu undang-undang, menanti untuk hukuman dijatuhkan, dan setiap kali mereka terlibat dalam kegiatan seksual secara sembunyi dalam bilik tidur, mereka tetap dianggap jenayah.



"Kita perlu tanya: Adakah adil sekiranya mereka hidup sebegini?"



Encik Shanmugam berkata bahawa ini bukan situasi yang patut diterima warga Singapura, meskipun mereka tidak bersetuju secara peribadi mengenai isu homoseksual.



Malah, ramai, katanya, yang tidak ingin seksyen itu dimansuhkan, enggan ia dikuat kuasa.



Atas sebab itu, tambah Encik Shanmugam, undang-undang itu tidak patut lagi dikuat kuasa dan memansuhkannya memberi penjelasan bahawa golongan gay bukan penjenayah.



Beliau berkata demikian dalam perdebatan yang meluas mengenai langkah memansuhkan seksyen itu melibatkan lebih 20 AP yang bercakap mengenainya, menyusuli pengumuman Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) bahawa pemerintah akan memansuhkan undang-undang itu yang telah wujud sejak zaman kolonial.



Pada masa itu, Encik Lee menambah bahawa pemerintah juga akan membuat pindaan kepada perlembagaan bagi memastikan bahawa pentakrifan undang-undang mengenai perkahwinan antara lelaki dengan wanita dibiarkan kepada Parlimen dan bukan mahkamah.



Encik Shanmugam berkata bahawa masyarakat Singapura kini di peringkat di mana ia sudah boleh menerima pemansuhan undang-undang itu.



"Hasil pendekatan yang dilakukan, kami lihat ramai warga Singapura menerima bahawa seks antara lelaki tidak sepatutnya dianggap satu jenayah," katanya.



Dalam perdebatan itu semalam, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, turut melahirkan pandangannya tentang perkara ini - yang kebetulan merupakan sambutan ulang tahun perkahwinannya yang ke-35 tahun semalam.



Bapa empat anak dan empat cucu itu akur berdasarkan maklum balas yang diterima secara dalam talian dan secara bersemuka bahawa ramai yang berasa agak cemas mengenai masa depan keluarga.



"Encik Shanmugam telah menerangkannya dan saya terima penjelasannya.



"...Maka saya setuju dengannya dan sokong pemansuhan seksyen ini, sokong pindaan perlembagaannya," katanya.



Dr Balakrishnan menambah bahawa semangat saling menghormati dan mungkin juga lebih penting lagi, sifat ihsan, boleh membantu "kita mencari zon selamat di mana kita dapat lindungi keluarga kita serta sahabat-sahabat gay kita."



Sementara itu, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, menganggap bahawa meskipun Seksyen 377A tidak dikuat kuasa, namun bagi golongan gay, ia dianggap pengadilan masyarakat ke atas golongan itu.



"Ia satu penolakan kepada kewujudan mereka, menganggap hak mereka untuk bercinta dan dicintai sebagai satu jenayah, dan membuat mereka rasa kurang sebagai rakyat," katanya.



Cik Cheryl Chan (GRC East Coast) pula berkata sedang beliau bersetuju agar Seksyen 377A dimansuhkan, namun ia perlu dilakukan atas dasar di mana penyatuan antara lelaki dengan wanita dilindungi sebagai takrifan di bawah perlembagaan.




"...Sudah sampai masanya kita mansuhkan Seksyen 377A kerana ia menghina dan menyakitkan golongan gay.



"Kebanyakan golongan gay tidak menganiaya orang lain, mereka hanya ingin hidup aman dan tenang dan diterima masyarakat serupa dengan warga Singapura lain."
- Menteri Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.




GARIS MASA PEMANSUHAN SEKSYEN 377A



1938



  • Undang-undang ini diperkenal kepada Kanun Jenayah Singapura, ketika negara ini dijajah Britain.

2007



  • Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Siew Kum Hong, kemukakan petisyen minta Seksyen 377A dimansuh.

  • Parlimen sokong keputusan kekalkan Seksyen 377A; Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata undang-undang itu akan dikekalkan tetapi tidak akan dikuatkuasakan secara proaktif.

2010



  • Encik Tan Eng Hong didakwa di bawah Seksyen 377A melakukan seks oral dengan lelaki lain di tandas awam.

  • Walaupun Pejabat Peguam Negara (AGC) kemudian meminda dakwaan terhadapnya kepada melakukan perbuatan lucah di tempat awam, Encik Tan tetap kemukakan permohonan untuk isytiharkan Seksyen 377A sebagai tidak menurut perlembagaan.

2012



  • Pasangan sama jantina, Encik Gary Lim dan Encik Kenneth Chee, turut mencabar undang-undang yang menjadikan hubungan seks antara dua lelaki satu kesalahan jenayah itu.

2014



  • Mahkamah tertinggi Singapura, Mahkamah Rayuan, mendukung Seksyen 377A dan menolak dua permohonan berasingan untuk mencabar undang-undang itu oleh Encik Tan serta Encik Lim dan Encik Chee, sekali gus memutuskan bahawa ia mengikut perlembagaan.

SEKITAR 2018 HINGGA 2019



  • Tiga lelaki - doktor pesara serta aktivis bagi hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Dr Roy Tan; pengacara lagu, Encik Johnson Ong Ming; dan mantan pengarah eksekutif badan tidak meraih keuntungan LGBT, Oogachaga, Encik Bryan Choong - fail tindakan undang-undang terhadap Seksyen 377A dalam Kanun Keseksaan.

14 OKTOBER 2019



  • Mantan Ketua Hakim, Encik Chan Sek Keong, meminta Seksyen 377A disemak.

MAC 2020



  • Mahkamah Tinggi tolak kesemua tiga tindakan guaman terhadap Seksyen 377A.

  • Ketiga-tiga lelaki itu kemuka rayuan terhadap keputusan tersebut.

28 FEBRUARI 2022



n Mahkamah Rayuan dukung keputusan Mahkamah Tinggi untuk tolak cabaran yang dikemuka terhadap Seksyen 377A oleh Dr Tan, Encik Ong dan Encik Choong.



3 MAC 2022



  • Berucap di Parlimen, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata pemerintah sedang mempertimbang cara terbaik untuk melangkah ke hadapan berhubung Seksyen 377A, tetapi sebarang langkah akan diambil dalam cara yang terus mengimbangi sudut pandangan berbeza.

30 JULAI 2022



  • Encik Shanmugam berkata pihak berkuasa telah adakan perbincangan meluas dengan pelbagai golongan masyarakat termasuk pemimpin agama dan akar umbi, serta rakyat Singapura dari pelbagai latar belakang dan kumpulan LGBT.

  • Menurutnya, ramai beranggapan hubungan seks sejenis - antara lelaki - tidak wajar dianggap sebagai jenayah dan dihukum penjara namun, ramai juga enggan pemansuhan jenayah menyebabkan sebarang perubahan besar.

21 OGOS 2022



  • Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan beliau, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mengumumkan bahawa Singapura akan memansuhkan Seksyen 377A.

  • Encik Lee turut berkata pemerintah akan meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif perkahwinan daripada dicabar di mahkamah.

20 OKTOBER 2022



  • Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, bentang Rang Undang-Undang Perlembagaan Republik Singapura (Pindaan Nombor 13) untuk lindungi takrif perkahwinan sedia ada serta undang-undang dan dasar berdasarkan takrif ini, daripada dicabar atas dasar Perlembagaan di Parlimen.

  • Encik Shamugam bentang Rang Undang-Undang Kanun Jenayah (Pindaan) untuk memansuhkan Seksyen 377A.

28 NOVEMBER 2022



  • Kedua-dua rang undang-undang itu dibahaskan di Parlimen.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >