Tanggungjawab setiap rakyat S'pura jaga keselamatan negara, cegah pengganasan: Masagos , Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Tanggungjawab setiap rakyat S'pura jaga keselamatan negara, cegah pengganasan: Masagos

Jan 27, 2021 | 07:00 PM

DALAM agensi keselamatan di Singapura bekerja keras mencegah pengganasan daripada berlaku di negara ini, setiap rakyat Singapura juga bertanggungjawab dan berperanan terus dalam berjaga-jaga demi keselamatan negara. 

Ini ditekankan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam lampiran pos Facebooknya pada petang Rabu (27 Januari).

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga  melahirkan rasa terkesannya apabila mendapat berita tentang rancangan songsang seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang ingin melakukan serangan pengganas terhadap masyarakat Islam di Singapura.

Pelajar berkenaan yang kini ditahan di bawah  Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merancang melakukan serangan tersebut di Masjid Assyafaah dan Masjid Yusof Ishak bagi memperingati ulang tahun kedua serangan dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Dalam catatannya, Encik Masagos menulis:

Discover Malay Home Based Businesses

"Saya bersyukur dan berterimakasih kepada agensi keselamatan kita yang cekap menangkis dengan segera rancangan pemuda ini. Saya tidak dapat bayangkan kesan mudarat yang sangat dahsyat menimpa Singapura jika ia berlaku.

"Keganasan tidak terkait dengan sebarang agama, malah ia berlaku apabila seseorang mempunyai idealogi extemisme atas nama agama yang dianuti. Ternyata ancaman keganasan masih wujud dan pada masa seperti inilah, kita sebagai rakyat Singapura harus bersatu-padu, tanpa mengira bangsa, agama ataupun usia untuk berganding bahu membanteras unsur-unsur pengganasan yang ingin memecahbelahkan kita, menabur fitnah, menanam rasa syak wasangka dan mengapi-apikan masyarakat berbilang kaum kita."

Menurutnya lagi, semua penduduk khususnya anggota keluarga, rakan sekerja, teman-teman, pihak sekolah, badan-badan masyarakat dan agama termasuk masjid harus memainkan peranan masing-masing dalam membantu menjaga keselamatan dan kesejahteraan Singapura dengan berkongsi maklumat tentang sesiapa sahaja yang menunjukkan ciri-ciri cenderung kepada aktiviti atau fahaman radikal.

"Ibu bapa terutamanya harus peka memerhatikan dan memantau gerak-geri anak-anak jika ada tanda-tanda radikalisasi.

"Saya menyeru agar sesiapa yang mempunyai maklumat untuk segera menghubungi talian Pusat Pengganasan ISD di 1800-2626-473. Dengan membuat laporan, anda bukan sahaja membantu untuk mengelakkan insiden pengganasan di Singapura bahkan anda akan menyelamatkan individu yang malangnya terpengaruh oleh anasir radikalisme itu," jelasnya.

Encik Masagos juga menasihati ramai agar tidak membuat tuduhan sesama sendiri.

"Sebaliknya marilah kita berusaha terus memperkukuhkan komitmen kita untuk membina persahabatan, kepercayaan dan keyakinan yang tinggi di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama sebelum krisis timbul. Inilah yang menjamin kita dapat terus menikmati hidup yang rukun, aman damai dan sejahtera di Singapura," katanya.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map