Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tegakkan sistem pelbagai hala inklusif, berperaturan satu-satunya jalan ke hadapan: Vivian

Sep 26, 2022 | 05:30 AM



DENGAN aturan dunia baru kini sedang dibentuk, Singapura yakin hanya ada satu cara untuk mara ke depan iaitu dengan mendukung sistem berbilang hala yang inklusif dan berdasarkan peraturan yang telah menjamin keamanan dan kemajuan bagi dunia sejak Perang Dunia Kedua.



Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan Singapura di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), atau UNGA ke-77 di New York, Amerika Syarikat, kelmarin.



"Adalah bagi kepentingan dunia dan kepentingan jangka panjang nasional kita sendiri untuk mengetepikan perbezaan antara kita, menangani cabaran kesepunyaan sejagat (global commons) serta memanfaatkan peluang baru yang tampil hasil teknologi baru," ujarnya.



Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa era pasca Perang Dunia Kedua yang rata-ratanya stabil dan makmur malangnya telah berakhir.



Dan saat munculnya aturan dunia baru ini adalah yang paling berbahaya.



"Adakah kita akan memiliki dunia yang lebih berpecah belah, kurang makmur dan kurang aman?



"Atau sebaliknya, bolehkah kita memperkukuh sistem berbilang hala dan PBB untuk menangani cabaran akan datang, mendukung dan memperkukuh sistem antarabangsa yang berdasarkan peraturan serta memanfaatkan bersama peluang yang ditawarkan teknologi baru termasuk teknologi digital, biologi sintetik, penjagaan kesihatan yang disesuaikan dan tentunya tenaga yang boleh diperbaharui?



"Sekiranya kita dapat melakukan demikian, kita boleh mewujudkan sebuah era baru yang aman dan makmur bagi semua orang," ujar beliau.



Perubahan iklim cabaran paling mendesak bagi manusia: Vivian



Dr Balakrishnan turut menggariskan tiga bidang yang terdapat keperluan segera untuk membina daya ketahanan iaitu perubahan iklim dan ketidakjaminan makanan; persiapan pandemik dan kesihatan sejagat; serta transformasi digital dan keselamatan siber.



Beliau berkata perubahan iklim kekal sebagai cabaran paling mendesak yang dihadapi manusia kini dan ini memerlukan respons sejagat yang berterusan dan besar.



Tambahnya, komitmen berterusan oleh semua negara kepada Perjanjian Paris dan Perjanjian Iklim Glasgow adalah amat penting sementara kerjasama juga perlu dipertingkat dalam usaha peralihan mencapai pelepasan sifar bersih.



Beliau juga bercakap tentang langkah Singapura meningkatkan matlamat iklimnya untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang atau sekitar pertengahan abad ini serta menaikkan cukai karbon secara bertahap mulai 2024.



Dr Balakrishnan turut menarik perhatian isu keselamatan makanan, dengan ancaman terhadapnya diburukkan lagi dek perubahan iklim, pandemik Covid-19 serta perang di Ukraine.



Dalam pada itu, beliau berkata adalah penting juga membina reka bentuk kesihatan sejagat yang lebih kukuh untuk melindungi generasi akan datang.



"Selepas Covid-19, akan terdapat pandemik lain dan kecemasan kesihatan besar yang lain.



"Pada pandangan saya, Covid-19 sebenarnya mungkin satu raptai bagi pandemik yang lebih teruk pada masa akan datang.



"Kita harus lebih bersedia meramal, mencegah, mengesan, menilai dan memberi respons kepada pandemik dengan selaras dan berkesan pada masa akan datang," ujar beliau.



Dr Balakrishnan turut menekankan perlunya bagi rangka kerja sejagat yang terbuka dan inklusif untuk memanfaatkan peluang transformasi digital sementara menangani cabarannya dengan berkesan.



Tambahnya, dunia telah mencapai kemajuan besar dengan membangun berdasarkan satu teknologi yang dikongsi bersama.



Malah, sifat saling terhubung dan saling boleh kendali telah menyatukan dunia, mengurangkan kos, mendorong inovasi dan persaingan serta membolehkan pelbagai idea digabungkan.



Namun sekiranya dunia ini berpecah belah, kesemua usaha baik yang telah dijalankan selama ini serta tahap kemajuan dan inovasi akan diperlahan, ujar Dr Balakrishnan.



"Pendekatan yang menguntungkan satu pihak sahaja manakala pihak yang lain rugi dan yang bersifat mengecualikan serta berpecah tidak bermanfaat buat sesiapa.



"Keyakinan yang terhakis serta suasana konfrontasi hanya akan menimbulkan lebih banyak ancaman siber dan kegiatan siber yang berniat jahat," kata beliau yang mengulangi sokongan penuh Singapura terhadap usulan Setiausaha Agung PBB bagi sebuah kompak digital sejagat.



Bercakap dengan media Singapura menerusi Zoom selepas menyampaikan ucapannya di UNGA itu, Dr Balakrishnan berkata beliau berasa hubungan antara China dengan Amerika ada sedikit harapan selepas Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, dan Menteri Luar China, Encik Wang Yi, bertemu di New York Jumaat lalu.



"Jelas kalau kita lihat pada retorik dan tindakan di Selat Taiwan dalam beberapa minggu lalu ini... saya boleh mengatakan bahawa ini menjadi satu keprihatinan serius.



"Tapi saya rasa ada sedikit harapan kerana ada pertemuan empat mata... (dan) saya rasa kedua-dua pihak memahami keseriusan situasi ini," ujarnya.



Dengan pelbagai krisis yang sedang berlaku di serata dunia sekarang - termasuk perang di Ukraine, harga makanan dan tenaga yang meningkat, perubahan iklim serta ketegangan antara Amerika dengan China - Dr Balakrishnan menyifatkan suasana di UNGA Ke-77 itu sebagai suram.



Tambahnya, langkah Russia mengarahkan supaya askar simpanannya dikerah untuk memperkukuh pasukan tenteranya di Ukraine merupakan satu tanda buruk.



Ditanya tentang situasi di Myanmar yang kini diperintah tentera, Dr Balakrishnan berkata beliau berasa pesimis.



Tambahnya, satu-satunya cara untuk keluar daripada situasi itu adalah menerusi perdamaian politik serta perbincangan dan perundingan ikhlas antara semua pihak.



Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa ini hal dalaman bagi Myanmar selesaikan dan campur tangan pihak asing bukan jawapannya.



"Asean tidak ditubuhkan untuk campur tangan dengan hal dalaman dan kita juga tidak harus berbuat demikian," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >