Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN

Tegas tapi lembut tolak yang nak tarawih tanpa tempahan

Masjid Al-Abdul Razak tidak abai langkah keselamatan Covid-19 walau di tengah Ramadan
Apr 21, 2021 | 05:30 AM



Setelah dibolehkan membuka pintu kepada jemaah tarawih, masjid di Singapura melaksana pelbagai langkah demi memastikan jemaah mengalami pengalaman beribadah selesa, biarpun pengurusan keselamatan Covid-19 terus dilaksana. BERITA HARIAN meninjau di halaman ini dan sebelah persediaan masjid bagi menyambut Ramadan kali ini, lepas ditutup Ramadan lalu.




TEGAS tetapi lembut.



Itulah strategi Masjid Al-Abdul Razak dalam menangani orang yang mahu masuk masjid itu untuk solat tarawih tanpa membuat tempahan tempat terlebih dahulu.



Relawan masjid itu 'diuji' baru-baru ini apabila seorang wanita berkeras ingin menunaikan solat walaupun tiada tempahan.



Sesiapa yang mahu mendirikan solat tarawih berjemaah di masjid perlu membuat tempahan tempat kerana semua masjid menyediakan ruang solat terhad, sebagai sebahagian langkah pengurusan selamat bagi mengelak penyebaran Covid-19.



Tempahan boleh dibuat dalam talian apabila ia dibuka secara bertahap berdasarkan tiga jadual. Setiap jadual menawarkan tempat solat tarawih bagi 10 malam dan jemaah dibolehkan menempah satu tempat solat dalam setiap jadual tersebut.



Pengerusi Masjid Al-Abdul Razak, Haji Mohd Shahrin Shamsuddin, berkata relawannya tidak dapat membenarkan wanita tidak membuat tempahan itu memasuki kawasan masjid.



"Kami perlu menjelaskan yang kami tidak boleh membenarkan mereka masuk tanpa bukti tempahan. Tetapi biasanya jemaah akan memberi alasan. Mereka akan kata, 'takkan saya nak masuk masjid, saya nak tipu'.



"Tapi kami minta maaf (kepada mereka dan berkata), kami benar-benar perlukan bukti. Kalau semua jemaah katakan begitu, ia akan menyukarkan tugas kami.



"Ini kerana kami hanya menyediakan ruang tertentu untuk jemaah, contohnya hanya 50 slot untuk Muslimah. Kalau yang masuk 51 orang, di mana kami mahu letakkan tambahan satu orang itu?" kata Haji Shahrin.



Menurut beliau, 10 relawan yang menyokong masjid sepanjang Ramadan ini dipesan agar memeriksa bukti tempahan dan kad pengenalan jemaah, serta memeriksa suhu badan mereka sebelum membenarkan mereka memasuki ruang solat.



Masjid itu menyediakan tiga zon tempat solat yang boleh menampung seramai 150 jemaah, termasuk 50 jemaah wanita.



Dua daripada zon itu di ruang iktikaf masjid, manakala satu di luar kawasan iktikaf tetapi dalam kawasan masjid.



Sebelum pandemik Covid-19, masjid itu dapat menerima hingga 800 jemaah.



Lokasi masjid itu di estet perumahan privet di Jalan Ismail, dekat Jalan Eunos, juga menimbulkan satu lagi cabaran, iaitu tempat letak kenderaan.



Haji Shahrin berkata relawan masjid biasanya akan meronda di kawasan sekitar masjid untuk memastikan kereta diletak di tempat betul dan tidak melindungi pintu masuk rumah di sekitar masjid.



"Kami juga meletak kon di tempat yang kereta tidak boleh diletakkan, seperti di selekoh atau pili bomba.



"Pemandu juga tidak boleh letak kereta mereka di depan rumah orang. Jadi siapa yang datang awal, dapat letak kereta dekat masjid. Yang datang lambat harus letak jauh sedikit.



"Relawan kami akan melakukan rondaan dan akan membuat pengumuman untuk jemaah mengalihkan kereta sekiranya kenderaan mereka diletak di tempat salah," kata Haji Shahrin.



Beliau menambah bahawa penduduk di kawasan itu amat memahami keadaan memandangkan masjid tersebut sudah berada di situ sejak 1965 dan tidak menimbulkan sebarang masalah.



Tugas relawan hanya berakhir setelah kerja pembersihan dan penyahjangkitan diselesaikan selepas solat tarawih setiap hari.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >