Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

ANTARA YANG MENARIK DI BERITAHARIAN.SG

Tekad pelajar 'Normal' cemerlang tarik perhatian

Dec 31, 2019 | 05:30 AM

KISAH tiga individu yang pernah tercicir dari sekolah atau bermula dari aliran Normal di sekolah menengah namun berusaha gigih sehingga cemerlang hari ini menarik perhatian ramai pembaca Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM).

Meskipun usaha mereka mendaki puncak kejayaan mengambil masa lebih lama berbanding orang lain, ketekunan dan tekad mereka membolehkan mereka berjaya hingga ke menara gading.

Ini menunjukkan bahawa untungnya bagi rakyat Singapura, negara ini mempunyai sistem yang baik dan menyediakan pelbagai laluan bagi seseorang itu menimba ilmu, mempertingkat kemahiran dan memperdalami kepakaran mereka.

Pensyarah kanan di Sekolah Sukan, Kesihatan dan Riadah, Politeknik Republik (RP), Dr Wan Rizal Wan Zakariah, 41 tahun, misalnya merupakan pelajar aliran Normal semasa menuntut di Sekolah Menengah Menengah Tampines dahulu.

Selepas sekitar setahun menjalankan khidmat sebagai pegawai sepenuh masa dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), beliau memutuskan menjadi seorang guru pendidikan jasmani (PE) kerana minat dengan sukan.

Kemahuannya meningkatkan pengetahuan dan mendalami minat dalam sukan telah mendorong beliau untuk terus belajar hingga ke menara gading dan menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam sains sukan pada 2017.

Bapa empat anak itu berkata pendidikan menyediakan asas bagi seseorang membangunkan sikap dan perwatakan mereka.

Encik Ahmad Amirul Abdul Rahim, 31 tahun, merupakan seorang lagi individu yang dahulunya pelajar aliran Normal Akademik di sekolah menengah.

Didorong cita-cita untuk membanggakan ibu bapanya di samping minatnya dalam bidang sains, Encik Amirul belajar dengan gigih hingga meraih ijazah sarjana muda dalam biokejuruteraan dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Kini, beliau seorang jurutera penyelidikan di Institut Teknologi Pembuatan Singapura (Simtech) - sebuah institut penyelidikan Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star).

Bagi Encik Nazarisham Mohd Isa, 40 tahun, pula, beliau terpaksa berhenti sekolah supaya dapat bekerja dan menyokong keluarganya yang susah semasa di menengah tiga.

Beliau melakukan pelbagai pekerjaan termasuk dalam sektor pembersihan, landskap serta makanan dan minuman (F&B) sehinggalah memasuki bidang keselamatan privet semasa usianya 21 tahun.

Daripada seorang penolong pegawai keselamatan dengan gaji sekitar $880 sebulan dahulu, beliau kini mara dalam kerjaya hingga menjadi pengerusi Naza Holdings hari ini - sebuah firma yang mempunyai 17 anak syarikat di bawahnya yang terlibat dalam pelbagai perniagaan daripada perdagangan emas hingga ke pelancongan.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian