Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Teknisyen kecemasan rebut peluang tambah ilmu, tinjau kerja makmal

Setempat
27
0

Teknisyen kecemasan rebut peluang tambah ilmu, tinjau kerja makmal

tp
Nov 25, 2020 | 05:30 AM

ENCIK Ridzwan Rahmad mempunyai pekerjaan tetap dalam bidang penjagaan kesihatan, namun apabila tiba peluang mengikuti latihan melakukan pengujian Covid-19, beliau tidak melepaskannya.

Ini kerana beliau mahu menambah pengetahuan dan meluaskan kemahirannya, selain meninjau kerja dalam sektor makmal hari ini.

"Saya sedang meneroka pekerjaan di makmal sekiranya saya mahu tukar kerja di masa akan datang," kata Encik Ridzwan, 30 tahun.

Beliau telah bekerja sebagai teknisyen kecemasan perubatan di dalam ambulans sejak empat tahun lalu dan sebelum itu berpengalaman bekerja di makmal selama sekitar setahun lebih.

Encik Ridzwan telah mengikuti Latihan Pengujian Virus RNA berasaskan Molekul yang dibiayai SkillsFuture Singapore (SSG) itu awal bulan ini, setelah mendapat tahu tentang kursus tersebut melalui e-mel.

Setelah mengikuti latihan di Politeknik Temasek (TP) selama sekitar satu minggu, beliau kini menjalani program kerja sambil belajar selama satu minggu di sebuah makmal.

"Memandangkan saya bekerja sepenuh masa kini, saya dibenarkan menyelesaikan program kerja sambil belajar saya dalam masa yang lebih panjang kerana saya cuma dapat ke makmal pada hari cuti saya," katanya yang bekerja syif 12 jam.

Ditanya tentang latihan yang telah dijalani, Encik Ridzwan berkata ia tidak begitu sukar kerana beliau mempunyai latar belakang dalam sains hayat yang dipelajari ketika mengikuti program diploma dalam bioteknologi di TP 10 tahun lalu.

Latihan itu dianggapnya sebagai ulang kaji, yang melengkapinya dengan pengetahuan tentang peralatan dan teknologi baru yang digunakan di makmal hari ini.

"Ia tidak terlalu sukar. Bahagian yang mencabar adalah mempelajari cara menggunakan peralatan baru kerana ia tidak sama dengan yang saya pernah gunakan dahulu. Saya perlu mempelajari persamaan (equation) matematik baru," kata Encik Ridzwan.

"Selain itu, satu lagi perbezaan bekerja di makmal kini ialah saya perlu menggunakan alat perlindungan diri jadi saya perlu menyesuaikan diri dengan pergerakan yang agak terhad," tambahnya.

Encik Ridzwan berkata latihan tersebut telah membuatnya lebih berminat dan ingin tahu lebih lanjut tentang kerja makmal.

"Pengujian Virus RNA bukan hanya untuk Covid-19. Kita boleh menggunakan pengetahuan dan kemahiran ini untuk menguji virus lain.

"Saya juga ingin tahu lebih lanjut tentang pembangunan vaksin. Ia tidak berkait dengan latihan yang saya ikuti kini tetapi ia mungkin sesuatu yang ingin saya ceburi di masa akan datang," tambahnya.


"Pengujian Virus RNA bukan hanya untuk Covid-19. Kita boleh menggunakan pengetahuan dan kemahiran ini untuk menguji virus lain. Saya juga ingin tahu lebih lanjut tentang pembangunan vaksin. Ia tidak berkait dengan latihan yang saya ikuti kini tetapi ia mungkin sesuatu yang ingin saya ceburi di masa akan datang."
- Encik Ridzwan Rahmad, kini menjalani program kerja sambil belajar selama satu minggu di sebuah makmal.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3