PENJAGAAN KESIHATAN DAN PEMULIHAN

Teknologi bantu pesakit trauma otak pulih, bekerja semula

SEORANG pesakit yang mengalami kecederaan trauma otak selepas satu nahas jalan raya kini dapat berjalan seperti biasa dan kembali bekerja dengan bantuan teknologi yang dibangunkan di institut Penyelidikan dan Pengembangan Roessingh (RRD).

Sebelum ini beliau mengalami kesukaran hendak berjalan - sekadar 10 meter pun sudah rasa mencabar.

Pencapaian ini dicatat sebuah makmal institut di Enschede, Belanda, yang dilengkapi dengan lapan kamera pada dindingnya yang boleh merakam pergerakan pesakit dalam bentuk 3D serta alat di lantai untuk mengukur tekanan.

Ini membolehkan saintis merakam dan menghasilkan semula pergerakan individu itu secara maya, selain menilai cara sendi mereka bergerak.

Bagi pesakit yang mempunyai masalah berjalan, teknologi ini dapat membantu doktor mengenal pasti puncanya dan memberi rawatan khusus.

Memberi perincian lanjut tentang pesakit yang mengalami kecederaan trauma otak itu, saintis pergerakan manusia, Dr Jasper Reenalda, berkata kecederaan itu telah menjejas fungsi kognitif lelaki tersebut dan keupayaannya berjalan.

Namun, dengan mengukur teknik pergerakannya, Dr Reenalda berkata, mereka dapat mengenal pasti masalahnya dan langkah campur tangan dapat diambil.

"Selepas itu, keupayaannya berjalan banyak meningkat.

"Kalau dahulu nak jalan 10 meter pun susah, beliau dapat berjalan 2 kilometer atau lebih selepas itu, kembali bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa," ujarnya.

Menurut Dr Reenalda, mereka juga telah menyepadukan teknologi dalam makmal itu untuk menjadi satu sut yang boleh dipakai pengguna di luar makmal.

Ini antara lain boleh digunakan untuk mengukur pergerakan pesakit yang mengalami angin ahmar di rumah sambil mereka melakukan kegiatan harian.

Seperti sistem yang digunakan dalam makmal, maklumat yang dikumpul itu boleh digunakan bagi menghasilkan semula pergerakan individu itu secara maya.

Ini akan membolehkan pakar perubatan membuat penilaian tentang langkah campur tangan yang diperlukan untuk membantu pesakit itu.

Selain pesakit, Dr Reenalda berkata teknologi ini juga boleh digunakan dalam bidang lain termasuk sukan.

Sekiranya digunakan oleh atlit, teknologi ini boleh menilai teknik pergerakannya semasa berlari misalnya dan bagaimana mengelak daripada ditimpa kecederaan.

Jurulatih mereka juga boleh mengenal pasti kelemahan dalam teknik mereka dan memikirkan cara mempertingkat prestasinya.

Namun, maklum balas hanya boleh diberi selepas atlit itu selesai berlari dan ketika itu, atlit itu juga mungkin sudah lupa bagaimana mereka bergerak.

Kini, Dr Reenalda berkata, saintis di RRD juga sedang mengkaji bagaimana mereka boleh memberi maklum balas dan analisis segera, atau real time.

Ini termasuk melengkapkan sensor pada atlit itu semasa beliau menyertai acara maraton contohnya, dan sensor itu boleh memberinya maklum balas segera menerusi telefon atau jam tangan bijak yang dipakainya.

Galeri Foto