SYARIKAT pelaburan pemerintah, Temasek Holdings telah membuat tawaran tunai untuk membeli kesemua saham biasa yang telah dikeluarkan dan saham berbayar dalam syarikat Sembcorp Marine.
Ini setelah Temasek meningkatkan perkongsiannya kepada 46.6 peratus dari 42.2 peratus disebabkan tawaran hak.
Tawaran itu sejajar dengan undang-undang 14.1 dalam Kod Pengambil-alihan yang menetapkan bahawa entiti yang menguasai perkongsian syarikat sebanyak 30 hingga 50 peratus perlu membuat tawaran awam yang wajib jika ia ingin meningkatkan perkongsian sebanyak lebih 1 peratus dalam tempoh enam bulan.
Melalui anak syarikat milik penuh, Startree Investments, tawaran itu dibuat pada harga 8 sen sesaham dalam bentuk tunai, sejajar dengan harga tawaran saham hak, menurut kenyataan Sembmarine kepada Bursa Singapura (SGX) semalam.
Startree merancang mengekalkan penyenaraian Sembmarine dalam SGX selepas urus niaga tawaran itu selesai.
Sebelum ini, Temasek juga membuat tawaran bersyarat bernilai $4.1 bilion untuk membeli Keppel Corp bulan lalu namun menarik diri selepas Keppel mencatatkan kerugian bersih sebanyak $697.6 juta, melanggar prasyarat bagi tawaran Temasek.
Pengamat menyatakan gabungan unit marin Keppel dan SembCorp mungkin menjadi satu tumpuan Temasek memandangkan trend industri yang mencerminkan pasaran yang mengecil dan harga minyak yang merosot.