Tempahan solat tarawih dibuka 10 April
MUSLIM di Singapura boleh membuat tempahan bagi mendirikan solat tarawih bulan Ramadan ini mulai Sabtu (10 April), 9 malam, kata Majlis Ugama Islam (Muis).
Dalam kenyataannya pada malam Khamis (8 April), proses tempahan itu akan dilakukan secara bertahap berdasarkan tiga jadual.
Setiap jadual menawarkan tempat solat tarawih bagi setiap 10 malam dan Jemaah dibolehkan menempah sekurang-kurangnya satu tempat solat dalam setiap jadual tersebut.
Tempahan tempat solat boleh dilakukan menerusi pautan https://ourmosques.commonspaces.sg/ atau aplikasi Muslim.Sg.
Muis berkata masyarakat Muslim di sini sudah lama menanti peluang untuk menunaikan ibadah solat tarawih kerana masjid tempatan ditutup sepanjang bulan Ramadan tahun lalu.
Langkah pengurusan selamat akan terus ditetapkan di kesemua masjid di Singapura bagi menjamin kemaslahatan jemaah, tambah kenyataan itu.
Muis juga ingin mengingatkan bahawa solat tarawih secara berjemaah hanya akan diadakan di masjid dan tidak di lain tempat.
"Kami masih sedang berada dalam Fasa Tiga dan ruang solat di masjid agak terhad. Anggota masyarakat digalakkan untuk melakukan solat tarawih di rumah bersama keluarga mereka," kata Muis lagi.