Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PELAN HIJAU SINGAPURA 2030

Tempat letak kereta HDB bakal ada pengecas kereta elektrik

Menjelang 2025, setiap tempat kereta akan ada sekurang-kurangnya tiga tempat cas
Mar 09, 2022 | 05:30 AM



SEMUA bandar HDB akan menjadi "siap kenderaan elektrik" menjelang 2025 sedang pemerintah menggiatkan usaha memasang tempat mengecas di hampir 2,000 tempat letak kereta dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.



Mengumumkan demikian semalam, Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, berkata setiap tempat letak kereta itu akan mempunyai sekurang-kurangnya tiga tempat mengecas dan lebih banyak akan dipasang jika terdapat permintaan dan keupayaan elektrik yang mencukupi.



Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan melancarkan tender berskala besar bagi tempat mengecas itu dalam separuh pertama tahun ini, tambahnya.



Langkah memperkenalkan lebih banyak tempat mengecas itu bertujuan mengekalkan momentum peralihan kenderaan elektrik yang dilihat di Singapura sejauh ini, kata Encik Iswaran, sedang negara ini berusaha mencapai pelepasan sifar karbon bersih.



"Di peringkat global, teknologi kenderaan elektrik terus maju, dan penjualan kereta elektrik telah meraih momentum. Di Singapura, pendaftaran kereta elektrik baru naik 18 kali ganda daripada 100 pada 2020 kepada 1,800 pada 2021, membentuk hampir 4 peratus daripada semua pendaftaran kereta baru.



"Ini adalah penunjuk menggalakkan bagi kesan langkah-langkah kita, seperti Insentif Penggunaan Awal Kenderaan Elektrik, atau EEAI, untuk kereta. Kami akan memantau perkembangan dan menilai perlunya langkah serupa dalam segmen kenderaan lain, seperti motosikal elektrik," katanya semasa perbahasan mengenai rancangan kemampanan pemerintah.



Beliau menambah pemerintah akan memperkenalkan perundangan baru untuk memastikan pengecasan kenderaan elektrik yang selamat dan boleh dipercayai, dengan rundingan awam dijangka dijalankan dalam beberapa bulan akan datang.



Encik Iswaran turut mengumumkan yang kenderaan elektrik penuh dengan kuasa hingga 110 kiloWat (kW) akan digolongkan dalam Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) Kategori A mulai Mei.



Menaikkan keluaran kuasa maksimum untuk kereta elektrik dalam Kategori A akan meningkatkan bilangan pilihan dalam kategori itu untuk pemandu, katanya.



COE Kategori A buat masa ini digunakan untuk kereta dengan keupayaan enjin hingga 1,600cc dan keluaran kuasa maksimum sebanyak 97kW atau 130 kuasa kuda (bhp), tanpa perbezaan untuk kenderaan elektrik.



Kriteria tambahan 110kW itu adalah khas untuk kenderaan elektrik penuh, dan akan digunakan untuk kenderaan elektrik yang berdaftar dengan COE yang diperoleh dari Mei dan seterusnya.



Kenderaan elektrik dengan lebih 110kW akan berada di bawah Kategori B.



Dalam usaha meluaskan penggunaan kenderaan elektrik kepada pengangkutan awam dan kenderaan tempat ke tempat (P2P), Encik Iswaran berkata teksi elektrik akan dibenarkan digunakan selama 10 tahun, naik daripada lapan kini.



Ini bagi mencapai matlamat menjadikan separuh teksi di sini bergerak menggunakan bateri menjelang 2030.



Sementara itu, sekurang-kurangnya satu dalam dua bas awam di sini akan menggunakan elektrik menjelang 2030.



Bagi mengurangkan kedua-dua pelepasan dan kos tenaga, satu tender akan dibuka hujung bulan ini bagi memasang panel solar di atas infrastruktur pengangkutan darat baru dan sedia ada, termasuk jejantas, laluan pejalan kaki berbumbung dan depoh kereta api dan bas.




"Di peringkat global, teknologi kenderaan elektrik terus maju, dan penjualan kereta elektrik telah meraih momentum. Di Singapura, pendaftaran kereta elektrik baru naik 18 kali ganda daripada 100 pada 2020 kepada 1,800 pada 2021, membentuk hampir empat peratus daripada semua pendaftaran kereta baru. Ini adalah penunjuk menggalakkan bagi kesan langkah-langkah kita, seperti Insentif Penggunaan Awal Kenderaan Elektrik, atau EEAI, untuk kereta. Kami akan memantau perkembangan dan menilai perlunya langkah serupa dalam segmen kenderaan lain, seperti motosikal elektrik."
- Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >