Tengah bandar HDB pertama dirancang dengan teknologi bijak

KAWASAN perumahan Tengah merupakan bandar pertama Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dirancang dengan mempertimbangkan aspek teknologi bijak semasa pembangunannya. 

Mendedahkan rancangan lanjut bagi Tengah dalam satu kenyataan hari ini, HDB berkata ciri-ciri seperti lampu bijak dan sistem mengumpul air hujan untuk fungsi mencuci kawasan akan membantu dalam usaha menjimat tenaga dan air. 

Selain itu, keberkesanan penyelenggaraan dan pengumpulan sampah pula dipertingkat melalui Sistem Pemindahan Sisa Pneumatik yang akan dipasang di setiap flat Bina Ikut Tempahan (BTO). 

Kawasan Tengah meliputi tanah seluas 700 hektar, sekitar luasnya bandar Bishan, dan dianggar dapat menempatkan 42,000 rumah baru setelah selesai dibangunkan, menurut kenyataan itu lagi. 

Rumah-rumah tersebut akan dikelilingi pokok-pokok dan alam semula jadi, di mana penduduk boleh menikmati kehidupan bermutu dan berhubung dengan masyarakat melalui prasarana dan ruang hijau yang tersedia. 

Secara keseluruhan, 20 peratus daripada tanah di Tengah akan diperuntukkan bagi ruang hijau.