Terangi Taman Pasir Ris dengan lebih kunang-kunang

PENGALAMAN berjalan-jalan di Taman Pasir Ris akan menjadi lebih terang dengan adanya program untuk meningkat jumlah kunang-kunang di kawasan itu.

Syarikat teknologi Panasonic telah menyumbang $20,000 kepada daya usaha Lembaga Taman Negara (NParks) yang bertujuan untuk meningkatkan jumlah spesis tersebut sebahagian daripada strategi untuk kekalkan hutan bakau, lapor The Straits Times (ST).

Kehadiran kunang-kunang, merupakan kejadian yang tidak biasa dan amat sensitif kepada perubahan suasana, adalah tanda hutan bakau yang sihat.

Habitat bakau Taman Pasir Ris, yang tidak diganggu buat 50 tahun, merupakan satu-satunya kawasan di Singapura di mana orang ramai boleh mendekati kunang-kunang.

Skim baru ini termasuk mengurangkan pencemaran cahaya dengan menggunakan lampu mesra kehidupan liar di zon hutan bakau. Pokok bakau juga akan ditanam untuk memberi habitat yang lebih sesuai untuk haiwan ini.

Kakitangan Panasonic akan dilatih untuk kendalikan tinjauan jumlah kunang-kunang untuk memantau keberkesanan langkah-langkah ini.

Papan tanda mengenai kunang-kunang itu, habitat mereka dan usaha pemeliharaan juga akan diadakan.

Kawasan bakau itu merupakan rumah bagi sekurang-kurangnya dua spesis kunang-kunang - spesis tempatan yang terancam, Pteroptyx valida dan Pteroptyx malaccae.
 

Galeri Foto