WALAUPUN mencabar dan kadangkala rasa tertekan, Sarjan Ketiga (3SG) Mohamed Akif Mohamed Salim bersama rakan-rakannya sering mendorong satu sama lain semasa menjalani latihan.
Selama 22 minggu, beliau dan kumpulan rakannya menjalani Kursus Kadet Pakar, yang merangkumi kursus pakar sistem pertahanan udara selama 12 minggu di Institut Latihan Perang Udara di Komand Latihan Angkatan Udara.
Menurut anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa itu, antara latihan yang dijalaninya ialah tentang pemasangan dan operasi sistem radar.
Sistem itu dapat mengesan objek di udara, dengan 3SG Mohamed Akif dan rakannya turut belajar tindakan yang harus diambil sekiranya terdapat ancaman.
"Dari segi mempelajari sistem radar ini, antara cabaran yang kami hadapi termasuk keadaan cuaca.
"Apabila kami jalani latihan di luar, cuacanya kadangkala begitu panas pada siang hari dan pada sebelah malam pula, ia mungkin hujan.
"Saya dan rakan-rakan perlu saling mendorong satu sama lain kerana latihannya agak mencabar," kata jejaka berusia 21 tahun itu.
Baru-baru ini, 3SG Mohamed Akif menerima Bayonet Emas - anugerah yang diberi kepada kadet terbaik dalam kohort.
Beliau juga merupakan kadet Melayu pertama dalam Pertahanan Udara Berpangkalan Di Darat yang menerima Bayonet Emas itu.
"Saya rasa gembira menerima Bayonet Emas ini.
"Ia sesuatu yang tidak dijangkakan kerana saya rasa kami semuanya menjalani latihan dengan cemerlang," kata beliau.
Seramai 1,128 Kadet Pakar merangkumi 1,023 daripada tentera darat Singapura, 70 daripada Angkatan Tentera Laut Singapura (RSN) dan 35 daripada Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) tamat menjalani latihan sebagai Pakar Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Perbarisan Tamat Kursus Kadet Pakar ke-34 di Kem Pasir Laba.
Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Dr Koh Poh Koon, turut hadir di perbarisan itu.
Mengulas lanjut tentang latihannya, 3SG Mohamed Akif berkata instruktor mereka amat profesional dalam melakukan tugasan dan begitu teliti, terutamanya dalam soal keselamatan.
"Dari mula hingga akhir, instruktor pastikan kami memberi tumpuan pada apa yang kami lakukan. Latihan yang kami jalani sama seperti senario dan situasi yang boleh berlaku dalam keadaan sebenar.
"Mereka biasanya akan menguji kesedaran situasi kami.
"Jika kami lakukan sesuatu yang salah yang boleh meletakkan diri kami dalam bahaya, mereka akan memaklumkannya kepada kami dan mengarah kami berhenti," kata beliau yang dikerahkan ke Kem Chong Pang bagi menjalankan tugas sebagai pakar sistem pertahanan udara.
Memberi ucapan di perbarisan itu, Dr Koh berkata penyesuaian dan peningkatan yang berterusan adalah penting sedang negara ini terus berdepan dengan ancaman baru.
"Sebagai pakar, anda memainkan peranan penting dalam operasi sedemikian.
"Jika dipanggil untuk bertindak, ia penting bagi anda menjalankan tugas dengan profesionalisme dan disiplin seperti mana yang diajarkan dalam latihan anda.
"Kepimpinan anda adalah penting dalam masa krisis. Berilah inspirasi kepada orang di bawah jagaan anda untuk berusaha ke arah misi yang sama untuk menjaga keselamatan Singapura," kata beliau.