Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Terima biasiswa infokom poly dari MCI

Oct 14, 2016 | 05:30 AM



SEDANG rakan-rakannya meminati bidang kreatif dan seni, Cik Dian Maisara Muhamed Iskandar, 17 tahun, sebaliknya tertarik pada bidang pemprograman yang menurutnya mencabar cara beliau berfikir menyelesaikan sesuatu masalah.



Malah, semasa di menengah empat, Cik Dian yang merupakan anggota kelab perbahasan Sekolah Menengah Ngee Ann sudah mula berjinak-jinak menghasilkan aplikasi bagi memudahkan proses mengatur keputusan pembahas semasa pertandingan.



Meskipun perlu mempelajari cara pemprograman dalam talian sendiri, ia tidak menghambat minat anak sulung dua beradik itu terus meneroka dan mendalami bidang infokom.



Justeru, tidak hairanlah jika beliau memilih melanjutkan pelajaran dalam keselamatan siber dengan mengikuti kursus Forensik Digital di Politenik Temasek walaupun keputusan peperiksaan GCE peringkat 'O' melayakkannya melangkah ke maktab rendah.



"Memandang ke hadapan, keselamatan siber menjadi semakin penting jika berlaku serangan siber lebih-lebih lagi dalam dunia yang bergantung pada teknologi sekarang," ujarnya yang bercita-cita bekerja dalam bidang Kriminologi dengan Pasukan Polis Singapura (SPF).



Semalam, Cik Dian merupakan antara 33 penerima biasiswa Politeknik Infokom (iPoly) Penguasa Pembangunan Media Infokomunikasi (IMDA), yang disampaikan dalam satu majlis Anugerah Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) di Pusat Pameran dan Konvensyen Suntec.



Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, yang hadir selaku tetamu terhormat berkata dalam ucapannya bahawa penubuhan IMDA yang dilancarkannya dua minggu lalu akan membangunkan sektor infokom dan media (ICM) selain memperkukuhnya agar dapat merancakkan ekonomi.



"Menerusi biasiswa yang kami sampaikan kepada para lulusan politeknik dan GCE peringkat 'A', kami berharap dapat mengenal pasti bakat muda dan memberi mereka peluang memaksimumkan potensi mereka," ujarnya.



Dr Yaacob juga berkata dalam masa lima tahun akan datang, sekitar 30,000 pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor infokom, dan ini merupakan pertumbuhan hampir 20 peratus berbanding dengan jumlah tenaga manusia yang bekerja dalam sektor itu hari ini.



Dalam majlis itu, Dr Yaacob turut menyampaikan sekitar 1,000 anugerah bagi membangunkan potensi Singapura dalam sektor rekaan dan ICM.



Daripada jumlah tersebut, hampir 800 pelajar daripada pendidikan posmenengah diiktiraf sebagai kumpulan perintis yang mengikuti Program Persediaan Industri Pragraduan (iPREP) IMDA.



Di samping itu, sebanyak 140 Anugerah Belajar SkillsFuture turut disampaikan bagi mempertingkat kemahiran tenaga kerja dalam sektor rekaan dan ICM.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >