Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RAPAT HARI KEBANGSAAN 2022

Terjemahan teks ucapan PM Lee tentang Isu S377A

Aug 21, 2022 | 09:56 PM



SEDANG kita mengharungi dunia yang tidak menentu dan bergolak, kita juga perlu menangani isu-isu dalam negara. 



Antara tugas-tugas rumit Pemerintah adalah untuk mengemas kini undang-undang dan amalan-amalan kita dari semasa ke semasa untuk mencerminkan nilai-nilai serta norma-norma sosial yang berubah-ubah.



Sebagai contoh, pada Rapat Hari Kebangsaan tahun lalu, saya telah mengumumkan bahawa kita akan membenarkan para jururawat di hospital-hospital awam untuk memakai tudung dengan pakaian seragam mereka, jika mereka mahu.



Keputusan ini dicapai selepas berbincang selama beberapa tahun.



Langkah ini sukar untuk dibayangkan segenerasi yang lalu, dan sudah tentu akan menimbulkan perbalahan yang hebat.



Tetapi, kami menunggu dengan sabar sehingga tahap persefahaman dan keyakinan antara masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama menjadi lebih kukuh.



Kami akhirnya melaksanakannya apabila kami putuskan bahawa sudah tiba masa yang sesuai. Ini setelah kami mempersiapkan masyarakat, menjelaskan dengan teliti sebab-sebab di sebalik keputusan kami, dan skop perubahan yang sedang dilaksanakan.



Saya gembira bahawa langkah berhati-hati ini telah membuahkan hasil yang baik dan rakyat Singapura telah menerima perubahan ini dengan pemahaman yang betul.



Tetapi itu bukan satu-satunya isu sensitif yang perlu kita huraikan. Satu lagi isu yang membimbangkan adalah mengenai layanan terhadap golongan homoseksual dalam masyarakat kita di bawah undang-undang.



Secara umumnya, Singapura merupakan sebuah masyarakat tradisional dengan nilai-nilai sosial yang konservatif.

 

Kita berpegang pada prinsip bahawa:



a. Perkahwinan seharusnya antara lelaki dan wanita



b. Anak-anak seharusnya dilahirkan dan dibesarkan dalam keluargakeluarga yang sedemikian



c. Institusi keluarga tradisional seharusnya membentuk asas pembangunan masyarakat kita



Kebanyakan rakyat Singapura ingin memastikan masyarakat kita kekal seperti ini.



Pemerintah juga mempunyai pendirian yang sama.



Kami telah mendukung dan memperkukuhkan lagi kepentingan institusi kekeluargaan melalui banyak dasar negara dan kami akan terus berbuat demikian.



Namun, seperti masyarakat-masyarakat lain, kita juga ada golongan homoseksual dalam kalangan masyarakat kita:



a. Mereka merupakan rakyat senegara kita



b. Mereka adalah rakan sekerja kita, kawan kita, anggota keluarga kita



c. Mereka juga ingin menjalani kehidupan mereka sendiri, mengambil bahagian dalam masyarakat kita dan menyumbang sepenuhnya kepada Singapura



d. Kita perlu memikirkan cara yang betul untuk mendamaikan serta menampung kedua-dua tatalaku tradisional masyarakat kita dan aspirasi rakyat homoseksual Singapura agar dihormati dan diterima



Isu utama bagi rakyat homoseksual Singapura adalah Seksyen 377A, Kanun Keseksaan, yang menyifatkan seks antara lelaki sebagai satu jenayah.



Ia pada asalnya diperkenalkan oleh pemerintah kolonial British pada tahun 1930-an.



Ia mencerminkan sikap moral dan norma-norma sosial yang wujud pada ketika itu.



Tetapi sejak beberapa dekad yang lalu, homoseksualiti telah menjadi sesuatu yang lebih difahami secara saintifik dan perubatan.



Dalam banyak masyarakat, termasuk di Singapura, golongan homoseksual kini lebih diterima dan tidak lagi dipinggirkan dan dicela.



Banyak negara yang pernah mempunyai undang-undang yang melarang hubungan seks antara lelaki telah pun memansuhkannya, termasuk beberapa negara Asia. Tetapi sejauh ini, Singapura tidak memansuhkannya.



Kali terakhir Parlimen membahaskan sama ada untuk memansuhkan Seksyen 377A adalah pada 2007.



Para Anggota Parlimen telah melahirkan pandangan yang keras bagi kedua-dua pihak.



Saya turut serta dalam perbahasan tersebut untuk memberi nasihat agar perbincangan diadakan secara terkawal dan berhati-hati.



Saya mengakui bahawa apa yang dilakukan oleh orang dewasa yang rela dalam ruang privet adalah urusan peribadi mereka, dan Pemerintah tidak seharusnya campur tangan.



Tetapi saya juga menarik perhatian bahawa tidak semua orang boleh menerima perbuatan homoseksual.



Ada segelintir yang tidak boleh menerimanya, khususnya dalam kalangan kumpulan-kumpulan agama tertentu, termasuk penganut agama Islam, Katolik dan banyak cabang Protestan.



Pemerintah telah memutuskan bahawa kami akan kekalkan Seksyen 377A dalam undang-undang kita, tetapi tidak akan menguatkuasakannya secara aktif.



Kami tidak memansuhkan undang-undang tersebut. 



Ia akan memecahbelahkan masyarakat pada masa itu.



Lebih baik untuk kita hidup dengan kompromi yang tidak tuntas ini. Ia merupakan satu cara yang praktikal untuk hidup dengan sikap dan norma-norma masyarakat yang berubah-ubah di Singapura. 



Kompromi ini tidak memuaskan hati setiap kumpulan. Tetapi secara keseluruhan, ia membolehkan kita menjalani kehidupan bersama Dan kita telah dapat hidup dengan isu sensitif ini tanpa ia menguasai agenda nasional kita atau memecahbelahkan masyarakat kita.



Sekarang, 15 tahun kemudian, sikap dalam kalangan masyarakat telah berubah dengan ketara. 



Walaupun secara amnya kita masih lagi sebuah masyarakat yang konservatif, golongan homoseksual kini diterima dengan lebih baik di Singapura, terutamanya dalam kalangan rakyat Singapura yang lebih muda.



Sudah tiba masanya untuk bertanya kepada diri kita sekali lagi soalan asas ini: Patutkah hubungan seks antara lelaki dalam ruang privet dianggap sebagai satu kesalahan jenayah?



Singapura masih mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang sama ada homoseksualiti betul atau salah.



Tetapi kebanyakan orang menerima bahawa orientasi dan tingkah laku seksual seseorang adalah perkara peribadi dan hubungan seks antara lelaki tidak seharusnya dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.



Malah dalam kalangan mereka yang ingin mengekalkan Seksyen 377A, kebanyakannya tidak mahu ia dikuatkuasakan secara aktif dan hukuman dikenakan.



Dari sudut pandangan nasional, tingkah laku seksual dalam ruang privet antara orang dewasa yang rela tidak menimbulkan sebarang isu undang-undang dan ketenteraman awam.



Tidak ada sebab untuk mendakwa sesiapa atau menjadikan perbuatan itu satu jenayah.



Tambahan pula, kita telah menyaksikan beberapa cabaran terhadap Seksyen 377A di mahkamah, yang cuba mengisytiharkan bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan. Belum ada yang berjaya setakat ini.



Namun, berikutan keputusan kes baru-baru ini, Menteri Undangundang dan Peguam Negara telah menasihatkan bahawa sekiranya dicabar di mahkamah pada masa hadapan, terdapat risiko besar Seksyen 377A boleh digugurkan atas sebab ia melanggar peruntukan di bawah Perlindungan Setara dalam Perlembagaan



Kita perlu mengambil serius perkara ini. Adalah tidak wajar untuk mengabaikan risiko ini, dan tidak melakukan apa-apa.



Atas sebab-sebab ini, Pemerintah akan memansuhkan Seksyen 377A dan menyifatkan hubungan seks antara lelaki yang rela dalam ruang privet bukan satu jenayah.



Saya percaya bahawa apa yang dilakukan ini perkara yang betul, dan sesuatu yang akan diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura. Langkah ini akan menyelaraskan undang-undang dengan tatalaku sosial masa kini, dan saya harap ia akan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat homoseksual Singapura.



Namun, pada masa yang sama, kebanyakan rakyat Singapura tidak mahu pemansuhan akta tersebut mencetuskan peralihan mendadak normanorma sosial kita, termasuk:



a. Bagaimana kita mentakrifkan perkahwinan

b. Apa yang kita ajar anak-anak di sekolah

c. Apa yang disiarkan secara percuma di televisyen dan di pawagam

d. Atau tingkah laku yang pada umumnya boleh diterima di khalayak ramai



Dalam perbincangan kami untuk mendapatkan buah fikiran masyarakat sepanjang beberapa bulan, perkara-perkara tersebut menjadi bertambah jelas.



Dalam kalangan mereka yang berasa bimbang, ada yang mempunyai pendirian yang kuat tentang Seksyen 377A.



Namun bagi kebanyakan orang, kebimbangan utama adalah apa yang mereka rasa dilambangkan oleh Seksyen 377A, dan mereka takut pemansuhannya akan menyebabkan perubahan yang mendadak.

 

Mereka juga bimbang bahawa ini akan menggalakkan aktivisme yang lebih agresif dan memecahbelahkan dari semua pihak.



Perkara ini bukan sahaja menjadi kebimbangan mereka yang menyuarakan bantahan dari sudut keagamaan, tetapi turut dikongsi oleh ramai orang yang tidak menganuti mana-mana agama.



Malah, ramai rakyat Singapura yang menyokong pemansuhan akta tersebut mahu mengekalkan norma-norma keluarga dan sosial kita yang sedia ada.



Pemerintah memahami kebimbangan ini.



Kami juga tidak mahu pemansuhan akta tersebut mencetuskan perubahan yang menyeluruh di dalam masyarakat.



Kami akan mengekalkan pendekatan kita sekarang yang cenderung kepada keluarga, serta norma-norma dan nilai-nilai masyarakat Singapura yang sedia ada.



Justeru, meskipun kami memansuhkan Seksyen 377A, kami akan mendukung dan melindungi institusi perkahwinan.



Di bawah undang-undang, hanya perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita diiktiraf di Singapura. 



Banyak dasar-dasar nasional bersandarkan takrif perkahwinan ini – termasuk perumahan awam, pendidikan, peraturan mengambil anak angkat, piawaian pengiklanan, klasifikasi filem.



Pemerintah tidak bercadang untuk mengubah takrif perkahwinan, apatah lagi dasar-dasar ini.



Namun, mengikut undang-undang yang sedia ada, takrif perkahwinan ini boleh dicabar atas dasar perlembagaan di mahkamah, seperti yang telah berlaku kepada Seksyen 377A.



Ini memang telah pun berlaku di negara-negara lain.



Jika satu hari nanti cabaran sedemikian berhasil di negara ini, ia mungkin menyebabkan perkahwinan sejenis diiktiraf di Singapura.



Dan ini akan terjadi hasil daripada keputusan mahkamah, bukan kerana Parlimen meluluskan undang-undang tersebut.



Meskipun sebahagian besar AP menentang perkahwinan sejenis, Parlimen mungkin tidak boleh mengubah undang-undang dengan mudah untuk mengembalikan keadaan seperti sebelumnya.



Untuk menterbalikkan kedudukan, Parlimen mungkin perlu meminda Perlembagaan, dan ini memerlukan majoriti dua pertiga.



Saya tidak fikir bahawa bagi Singapura, mahkamah forum yang sesuai untuk memutuskan isu-isu seperti ini.



Hakim-hakim mentafsir dan menggunakan undang-undang.  Mereka telah dilatih dan dilantik untuk melakukan demikian.

 

Mereka tidak mempunyai kepakaran mahupun mandat untuk menyelesaikan persoalan politik, atau mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tentang norma-norma dan nilai-nilai sosial.



Kerana pada dasarnya, ini bukan masalah undang-undang, tetapi masalah politik.



Ini telah diakui dengan bijak oleh mahkamah-mahkamah kita dalam membuat keputusan terhadap kes-kes seperti ini.



Walaupun begitu, mereka yang inginkan perubahan mungkin akan cuba mempercepatkan proses ini dengan mengambil tindakan undang-undang. Ini bersifat bertentangan.



Ia akan menonjolkan perbezaan, meningkatkan ketegangan dan mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat.



Ia akan mengakibatkan kesan yang buruk bagi Singapura.



Justeru, kami akan melindungi takrif perkahwinan daripada dicabar dari segi perlembagaan di mahkamah.



Takrif di bawah undang-undang ini terkandung dalam Akta Terjemahan dan Piagam Wanita.



Kami perlu meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif ini, dan kami akan melakukannya.



Ini akan membantu kami memansuhkan Seksyen 377A dengan cara yang terkawal dan dengan pertimbangan yang teliti.



Ia akan mengehadkan perubahan ini kepada apa yang saya percaya akan dapat diterima oleh sebahagian besar rakyat Singapura, iaitu menyifatkan hubungan seks antara lelaki yang rela dalam ruang privet bukan satu jenayah.



Tetapi ia juga akan mengekalkan apa yang saya percaya masih diinginkan oleh kebanyakan rakyat Singapura, iaitu untuk mengekalkan perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita sebagai struktur asas keluarga, di mana anak-anak kita dilahirkan dan dibesarkan.



Apa yang kami sedang usahakan ialah permuafakatan politik untuk mengimbangi pandangan-pandangan yang munasabah, serta aspirasi dalam kalangan rakyat Singapura.



Bagi sesetengah orang, langkah ini terlalu sederhana. Bagi yang lain, langkah ini terpaksa diambil dengan hati yang amat berat.



Namun dalam sebuah masyarakat di mana kumpulan-kumpulan daripada pelbagai latarbelakang berpegang kuat kepada pendapat yang bertentangan, semua orang harus menerima hakikat bahawa tiada satu kumpulan pun boleh mendapat segala apa yang mereka inginkan.



Jika satu pihak terlalu mendesak, pihak yang lagi satu akan bertindak balas, dengan lebih hebat lagi.



Dalam beberapa masyarakat Barat, ini telah mencetuskan peperangan budaya, perasaan saling membenci antara mereka yang berbeza pandangan, budaya penolakan untuk menindas lawan, serta perbalahan pahit yang memecahbelahkan masyarakat menjadi puakpuak yang bertelagah.



Ada tanda-tanda perkara serupa sudah mula berlaku di sini. Usahlah kita menjurus ke arah ini.



Semua kumpulan perlu mengawal diri, kerana itu sahaja cara untuk kita melangkah ke hadapan bersama sebagai satu negara.



Banyak lagi yang perlu dikatakan tentang isu yang berat ini.



Saya pasti apa yang saya katakan malam ini akan mencetuskan reaksi dan perbincangan lanjut.



Dan kita akan membahaskan rang undang-undang ini sepenuhnya di Parlimen nanti.



Tetapi pada malam ini, saya ingin menetapkan pendekatan kami yang lebih meluas mengenai isu ini.



Kita hidup dalam masyarakat yang stabil dan pada umumnya harmoni, dan kita akan berusaha dengan gigih untuk memastikan ia kekal begitu.



Saya harap imbangan yang baru ini akan memastikan Singapura terus menjadi masyarakat yang bertoleransi dan inklusif untuk tahuntahun mendatang. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >