Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT KENEGARAAN

Teroka cabaran awal kewujudan S'pura secara interaktif

Pameran 'Semangat Yang Baru: Forging a New S'pore Spirit' yang dilancarkan Taman Tugu Pengasas sorot sejarah awal S'pura
May 09, 2023 | 05:30 AM



SEBAGAI seorang belia di Singapura, kadangkala saya bertanya pada diri saya bagaimana sebenarnya keadaan pada masa dahulu - masa-masa sukar ketika negara ini mula mencapai kemerdekaan.



Mungkin ada di antara cabaran yang dihadapi para pemimpin dan warga perintis yang kurang kita ketahui dan tidak dikongsikan semasa kita di sekolah?



Itu semua telah dapat saya pelajari semasa mengunjungi pameran yang baru dilancarkan oleh Taman Tugu Pengasas.



Diberi nama Semangat Yang Baru: Forging a New Singapore Spirit, pameran itu memaparkan cerita-cerita tentang dilema yang dihadapi dan keputusan yang diambil oleh pemimpin dan warga negara perintis dari era 1950-an ke 1970-an, iaitu tahun-tahun pembinaan bagi Singapura.



Ia disampaikan melalui artifak dan cerita yang disumbangkan oleh orang awam dan institusi pemerintah.



Difahamkan pihak muzium telah menerima lebih daripada 900 cerita dan artifak yang telah dikongsikan oleh orang awam sejak April 2022.



Pameran yang dibahagikan kepada lima tema berbeza, turut meneroka bagaimana nilai-nilai seperti kepelbagaian budaya, integriti dan keterbukaan yang menjadi antara asas untuk Singapura mengecapi kemerdekaan boleh kekal relevan hingga kini.



Ia juga menerapkan pelbagai elemen interaktif untuk membuat pengalaman pengunjung lebih bermakna.



Sebelum memasuki galeri, saya telah diberikan tag pengenalan frekuensi radio (RFID) dan saya boleh memilih seorang watak ilustrasi secara maya yang akan menemani saya sepanjang saya meneroka di dalam pameran itu.



Pilihan saya didaftarkan pada tag RFID dan saya boleh gunakannya di skrin-skrin yang terdapat dalam galeri.



Antara artifak yang menarik perhatian saya merupakan kalung manik yang pernah dipakai oleh Cik Shirin Fozdar, seorang aktivis yang memperjuangkan hak undang-undang wanita dan pernah mengetuai Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Singapura.



Dipamerkan bersama merupakan kerongsang berbentuk Merlion milik anggota parlimen pembangkang wanita pertama Cik Seow Peck Leng yang berjuang untuk gaji sama rata bagi kaum wanita.



Saya juga tertarik dengan buku tahunan pertama yang dihasilkan Sekolah Menengah Sang Nila Utama iaitu sekolah Melayu pertama di negara ini. Namun, sekolah-sekolah Melayu tutup pada lewat 1980-an kerana lebih ramai yang memilih untuk belajar dwibahasa.



Terdapat sebuah kotak merah yang pernah digunakan oleh mantan Perdana Menteri pertama Singapura, Encik Lee Kuan Yew.



Kotak merah itu dahulunya sering mengandungi dokumen harian Encik Lee semasa beliau berulang-alik antara kediamannya dan pejabat.



Saya berkesempatan melihat gambar yang menunjukkan Menteri Hal Ehwal Masyarakat pertama Singapura, Encik Othman Wok, di tapak pembinaan Stadium Kallang semasa upacara pecah tanah.



Beliau telah memperjuangkan pembangunan stadium berskala Olimpik kerana percaya kemudahan yang baik dapat menarik minat para belia untuk bersukan dan menjaga kesihatan.



Gambar itu disumbangkan oleh anak beliau, Cik Lily Othman.



Salah satu ciri yang menarik perhatian saya merupakan teks yang dipersembahkan di pameran itu ditulis dalam keempat-empat bahasa rasmi kita - Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil.



Ini berbeza dengan pameran lain yang mungkin hanya menggunakan satu bahasa.



Kehadiran stesen-stesen interaktif pastinya membuat pengalaman saya lebih menarik. Saya berpeluang mereka bendera saya sendiri secara maya dan mengambil kuiz.



Watak ilustrasi yang telah saya pilih pada awal pameran juga menerangkan kepada saya dengan lebih mudah tentang kesan keputusan dasar pada waktu itu terhadap individu dan masyarakat.



Untuk mengakhiri pengalaman di pameran, saya boleh mencatat pendapat saya tentang bagaimana kita boleh maju ke hadapan sebagai satu negara dan ia dipaparkan di sepanjang skrin yang terdapat di sudut itu.



Terdapat soalan-soalan untuk saya jawab supaya saya boleh melihat nilai mana yang dekat pada hati saya.



Sejujurnya saya terpegun dengan usaha pihak menganjur menerapkan elemen interaktif dan telah memberi perhatian kepada pengalaman pengunjung.



Ini membolehkan topik yang agak serius dan berat mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat yang mengunjunginya.



Maklum balas yang diterima tentang bagaimana cerita-cerita di pameran dipersembahkan akan membantu pihak Taman Tugu Pengasas semasa membuat kerja kurasi bagi galeri tetapnya yang akan dibuka pada 2027.



Berlangsung hingga 29 Oktober di Muzium Nasional Singapura, kemasukan ke dalam pameran percuma bagi semua warga negara dan penduduk tetap Singapura.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >