Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEMPENA HARI BAHASA ISYARAT ANTARABANGSA

Teroka dunia dalam sepi

Jurugambar wanita bebas giat jelajah tarikan India, Indonesia walau lahir pekak
Sep 23, 2018 | 05:30 AM



PEKAKKAN telinga.



Bisukan mulut.



Cabar diri teroka dunia.



Keadaan itu mungkin dipandang sebagai sesuatu yang sukar dicapai, namun itulah yang dilakukan wanita berumur 28 tahun, Cik Nurul Humairah.



Dilahirkan pekak, Cik Humairah sudah menerokai lima negara - Indonesia, Thailand, Malaysia, Vietnam, dan India.



Gunung Rinjani di Lombok sudah didaki. Perairan Pulau Perhentian sudah beliau selami. Taj Mahal nan indah pun sudah beliau lawati.



Semua itu dilakukan secara solo demi membuktikan bahawa beliau juga mampu mengembara meskipun pekak.



"Sebagai pengembara beg galas wanita yang bergerak solo dan pekak, saya mahu meningkatkan kesedaran dan menghapuskan stereotaip bahawa insan seperti saya tidak mampu mengembara secara berdikari," ujarnya, yang menaipkan jawapan sewaktu diwawancara sempena Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa yang berlangsung hari ini.



Tiga tahun lalu, Cik Humairah memulakan pengembaraan secara solo ke Indonesia setelah mendapat inspirasi daripada pengembara lain.



"Saya membaca rencana dan melihat video di Facebook tentang pengembara wanita, solo dan pekak daripada pelbagai lapisan masyarakat dunia. Saya juga terbaca kisah pengembaraan dan panduan di blog Skyscanner," ujar jurugambar bebas itu.



Antara cabaran terbesarnya dilalui ketika mengembara ke India baru-baru ini.



Tatkala sampai ke stesen kereta api, beliau menjadi seolah-olah tidak tentu arah kerana tiada peta kereta api atau paparan digital di mana beliau boleh mendapatkan maklumat.



Yang ada hanya pengumuman audio yang beliau dengar secara samar-samar. Beliau khuatir akan terlepas kereta api.



"Situasi ini membimbangkan kerana banyak kereta api menuju ke arah berbeza! Waktu kereta api tiba juga boleh berubah," katanya.



Lantas, beliau mendekati polis dan kakitangan stesen menggunakan penulisan dan aplikasi terjemahan.



Mereka menenangkannya lalu menjamin mereka akan memberitahu jika kereta api sudah tiba.



Dalam keadaan begitulah barang yang dibawanya sangat berguna - pena, buku nota, alat elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba bersama aplikasi Google Translate.



"Tidak mengapa jika anda menghadapi kesukaran berkomunikasi di luar negara. Asalkan ada akses teknologi, anda tidak perlu khuatir," katanya.



Beliau juga menitikberatkan bahawa orang pekak juga mampu berkomunikasi cuma caranya sahaja berbeza. Bagi dirinya, mengembara meluaskan sudut pandangan dan membuka mata.



"Kembara membawa kesedaran kepada saya bahawa apa yang kita baca atau apa pun tanggapan terhadap negara lain tidak semestinya betul," katanya.



Contohnya, apabila beliau memeberitahu keluarga dan rakan bahawa beliau ingin mengunjungi India, tindak balas yang kerap beliau terima berbaur negatif.



Ada yang bertanya "Bukankah terlalu bahaya jika perempuan ke sana seorang diri?".



Ada juga hairan dan bertanya tidakkah beliau tahu tentang kejadian yang berlaku di India.



Namun, beliau membulatkan tekad meneruskan rancangan.



Hasilnya, beliau berjaya menikmati keindahan India melalui lensa berbeza - beliau disambut oleh penduduk tempatan yang baik hati lagi penuh ihsan.



"Ada yang menghulurkan makanan dan minuman kepada saya sewaktu perjalanan kereta api selama 17 jam. Ada berjalan menemani saya hingga saya selamat sampai ke destinasi apabila saya hilang arah dan meminta bantuan," katanya.



Bagi Cik Humairah, yang rajin mengemaskinikan pengalaman mengembara di laman Instagram menerusi akaun @mai.rawr, kisah positif sebegitulah yang ingin beliau sampaikan kepada orang lain.



Akhir kata, berbekalkan cita-cita ingin mengembara sepenuh masa suatu hari nanti, Cik Humairah bertekad mahu terus membuktikan keupayaannya.



"Jika saya dengar apa yang orang lain kata, tentu sekali saya tidak akan jadi seperti diri saya hari ini," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >