Subuh
5:37
Syuruk
6:54
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:09
Setempat

Terpaksa henti sekolah, kini bos firma dengan 17 anak syarikat

Dec 29, 2019 | 05:30 AM

MESKIPUN terpaksa berhenti sekolah kerana perlu bekerja untuk membantu menanggung kehidupan keluarga, Encik Nazarisham Mohd Isa, 40 tahun, tidak berserah kepada nasib saja.

Bahkan, bapa lapan anak itu bekerja keras hingga berjaya mencapai kejayaan di tahap tinggi.

Daripada hanya seorang pembantu pegawai keselamatan, beliau terus mara dalam kerjayanya hingga menjadi seorang eksekutif operasi.

Encik Nazarisham berkata beliau telah menjalani lebih 30 kursus untuk mempertingkat kemahiran dan pengetahuannya.

Ini termasuk diploma dalam pengurusan keselamatan dan kursus Sijil Lanjutan dalam Latihan dan Penilaian (Acta).

Beliau kemudian menjadi seorang pengarah urusan syarikat keselamatan privet sebelum melepaskan jawatan itu untuk memulakan firma konsultan keselamatannya sendiri, MTN Consultants.

Dari situ, beliau mula meneroka peluang perniagaan di luar negara, bermula dengan perlombongan emas dan pelancongan serta hospitaliti di Indonesia dan memulakan pula syarikat MTN Bersatu Sukses.

Kemudian pada Februari lalu, beliau mengasaskan Naza Holdings - yang mempunyai 17 anak syarikat di bawahnya - dan kini merupakan pengerusi syarikat itu.

Baru-baru ini, Encik Nazarisham meraih sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) dari Universiti Northampton.

Mengimbas kembali perjalanannya, Encik Nazarisham berkata beliau tidak gentar kerana terpaksa berhenti sekolah untuk membantu menyara kehidupan keluarga dahulu dan malah, tidak mempunyai sebarang rasa kesal.

"Saya tidak gentar dulu dan saya tidak gentar sekarang. Saya juga tidak takut untuk bekerja keras dan komited untuk sentiasa mempertingkat diri saya," kata beliau.

Setelah merasakan kejayaan kini, Encik Nazarisham mahu pula membantu golongan yang memerlukan dan berbakti kepada masyarakat.

Baru-baru ini, beliau telah menubuhkan yayasannya sendiri - Naza Humanitarian Foundation Limited - yang menyokong beberapa pertubuhan.

Ini termasuk Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), di mana mereka antara lain menyediakan van jenazah secara percuma.

"Jika saya melihat kembali laluan kehidupan saya, saya tiada rasa kesal. Malah, inilah masanya untuk saya menyumbang semula kepada masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan," kata beliau.


BANTU GOLONGAN YANG MEMERLUKAN PULA

Jika saya melihat kembali laluan kehidupan saya, saya tiada rasa kesal. Malah, inilah masanya untuk saya menyumbang semula kepada masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan.
- Encik Nazarisham Mohd Isa yang baru-baru ini telah menubuhkan yayasannya sendiri, Naza Humanitarian Foundation Limited, bagi menyokong beberapa pertubuhan.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian