Semangat serta dedikasi yang mereka paparkan dalam memastikan keselamatan Singapura terus dijaga dengan baik diikitiraf Home Team melalui anugerah berbeza yang disampaikan semasa Majlis Memperingati Hari Kebangsaan (NDO) yang diadakan baru-baru ini. BERITA HARIAN meninjau pengalaman manis dan pahit dua pegawai Home Team dalam berkhidmat demi negara.
USIA bukan penghalang untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan negara.
Demikian pegangan Cik Hamida Khalid, 71 tahun, yang terus kekal aktif sebagai salah seorang relawan di bawah skim Citizens on Patrol (COP) atau Rondaan Rakyat yang ditubuhkan Pasukan Polis Singapura (SPF) bagi melibatkan anggota masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah.
Pada masa yang sama, beliau juga giat menyumbang sebagai anggota Jawatankuasa Penduduk (RC) di kawasan Moulmein-Ah Hood selain memegang jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kelab Masyarakat Bishan-Toa Payoh.
Malah, semangat untuk menyumbang kepada masyarakat mula membara dalam diri Cik Hamida awal lagi sejak di bangku sekolah apabila beliau terpilih untuk menyertai pasukan Vigilante Corp (VC) pada 1967.
Beliau yang pada masa itu sedang menuntut di menengah empat menyertai kumpulan VC wanita pertama yang ditubuhkan.
VC atau Pasukan Pengawas yang ditubuhkan pemerintah di bawah Community Security Force (CSF) atau Pasukan Keselamatan Masyarakat pada 1964 merupakan rangkaian sukarelawan yang membantu dalam usaha mencegah dan mengesan jenayah pada masa itu.
Menurut Cik Hamida, beliau berbesar hati diberikan peluang melalui pelbagai wadah untuk terus berbakti kepada masyarakat.
"Pada saya kerja relawan ini saya buat untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
"Memang saya senang hati nak berbakti, kalau boleh tolong saya akan buat," katanya.
Cik Hamida merupakan antara 15 sukarelawan di bawah Home Team yang menerima Anugerah Hari Kebangsaan Menteri Ehwal Negara (Sukarelawan Home Team) di Majlis Memperingati Hari Kebangsaan (NDO) Jumaat (30 Julai).
Anugerah tersebut bertujuan mengiktiraf sumbangan besar mereka, tidak kira melalui tugas barisan hadapan mahupun menyumbang kepakaran atau pengetahuan.
Meskipun akui terharu menerima anugerah tersebut, Cik Hamida berkata "ini bukan sesuatu yang diharapkan."
Katanya, beliau hanya ingin bantu mencegah jenayah atau kejadian yang tidak diingini di sekitarnya, terutama sekali di kawasan rondaannya di bawah COP.
Beliau masih ingat lagi perasaan lega apabila satu kes percubaan untuk membunuh diri dapat dihentikan melalui tindakan pantasnya dan bantuan sukarelawan lain.
Selepas salah seorang penduduk di estet perumahannya memberitahu beliau bahawa ada seorang wanita yang mundar mandir kelihatan resah di koridor blok, Cik Hamida langsung bergegas ke sana untuk menilai situasi dan mempertimbang tindakan yang perlu diambil.
Memandangkan wanita tersebut hanya mampu berbahasa Mandarin, Cik Hamida memberitahu salah seorang sukarelawannya apa yang beliau perlu lakukan untuk menenangkan wanita tersebut.
"Selepas itu saya pun hubungi ambulans dan serahkan kepada mereka apa yang perlu dilakukan.
"Pada masa itu saya rasa lega kerana tugas saya sebagai seorang sukarelawan dan anggota RC kawasan itu dapat dilaksanakan," katanya.
Namun, beliau akui pernah menerima respons kurang baik daripada penduduk sekeliling semasa membuat rondaannya sebagai ahli COP.
Ada yang tidak mengendahkannya, dan ada pula yang terus mencabarnya memandangkan beliau bukan pegawai polis.
"Ramai yang sokong apa yang saya buat, tapi ada juga yang tak suka.
"Bagi saya, saya tak hiraukan mereka cakap apa, janji saya jalankan tugas," katanya.
"Pada saya kerja relawan ini saya buat untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat. Memang saya senang hati nak berbakti, kalau boleh tolong saya akan buat... Ramai yang sokong apa yang saya buat, tapi ada juga yang tak suka. Bagi saya, saya tak hiraukan mereka cakap apa, janji saya jalankan tugas."
- Cik Hamida Khalid, relawan di bawah skim Citizens on Patrol (COP) atau Rondaan Rakyat yang ditubuhkan Pasukan Polis Singapura (SPF) bagi melibatkan anggota masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah.