BAHAS BELANJAWAN 2017: KEMENTERIAN PENDIDIKAN

Terus pupuk minat bahasa Melayu

ANAK belum lagi melangkah ke darjah satu, namun Cik Siti Shyamira Abdul Samat, 32 tahun, sudah mula cuba memupuk minat terhadap bahasa Melayu dalam diri mereka.

Hampir setiap malam semasa sesi membaca sebelum tidur, Cik Siti Shyamira akan memilih siri bacaan Nabil dan Nabilah untuk dibaca bersama.

"Apa yang menarik tentang buku ini, berbanding buku-buku yang pernah kami beli dari negara lain, buku ini lebih berlatarbelakangkan kehidupan di Singapura.

"Babaknya lebih realistik, misalnya hidup berjiran dalam konteks flat berbanding kehidupan di desa atau tentang pertanian," ujar ibu tiga anak berusia antara dua tahun dengan enam tahun itu.

Perihal buku siri bacaan Nabil dan Nabilah bagi darjah satu dan dua yang telah dimanfaatkan Cik Siti Shyamira itu disentuh Setiausaha Parlimen (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, di Parlimen semalam.

Menurut Dr Faishal, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) akan meneruskan usaha sedemikian bagi memupuk rasa cinta dan menggalak pelajar menghargai kegunaan dan kerelevanan bahasa Melayu dalam kehidupan harian.

"MLLPC sedang membangunkan dua aplikasi bahasa yang dapat membantu ibu bapa menyokong pembelajaran bahasa Melayu anak di rumah. Aplikasi tersebut juga sesusai buat pelajar sekolah rendah dan menengah," kata Dr Faishal.

Dalam pada itu, MLLPC akan terus bekerja rapat dengan pelbagai agensi dan masyarakat dalam memupuk minat terhadap bahasa dan warisan, ujarnya.

"Satu contoh kerjasama ialah Bulan Bahasa, yang meraikan bahasa dan warisan melalui pelbagai acara kemasyarakatan.

"Tanpa penglibatan aktif dan kerjasama, kesan dan matlamat acara ini mungkin terhad," ujarnya.

Kerjasama sebegitu juga melengkapi usaha berterusan Kementerian Pendidikan (MOE) menjadikan pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda lebih bermakna dan menyeronokkan.