Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Terus semangat jalani hidup walau kaki tidak kuat dek kencing manis

Nov 15, 2021 | 05:30 AM



ENCIK Ahmat Pagi disahkan menghidap kencing manis pada usia muda 32 tahun.



Pada waktu itu, beliau banyak melakukan kerja berat dan 'membalas balik' dengan memakan nasi dalam jumlah yang banyak.



Beliau, yang pada waktu itu telah berumah tangga, juga kurang aktif berbanding ketika bujang.



Encik Ahmat mula mendapati dirinya kerap buang air kecil dan selalu mengantuk, dan satu pemeriksaan kesihatan mengesahkan yang beliau menghidap kencing manis.



Keadaan kesihatannya yang kurang baik itu memaksa beliau berhenti kerja beberapa tahun kemudian.



Kini Encik Ahmat berusia 68 tahun dan masih lagi perlu mengambil suntikan insulin untuk mengawal penyakit tersebut.



Sejak lapan tahun lalu, keadaan buah pinggangnya merosot dan beliau mula menjalani rawatan dialisis.



Namun kini, walaupun kakinya tidak berapa kuat dan beliau perlu menggunakan kerusi roda, Encik Ahmat terus bersemangat untuk menjalani kehidupannya di samping isterinya, Cik Hamidah M Noor, 64 tahun.



"Pada mulanya memang susah nak kawal penyakit ini kerana saya sudah biasa dengan cara pemakanan dan gaya hidup saya. Bila mula-mula kena, saya jadi runsing. Tapi, Alhamdulillah, saya ada orang yang memberi perangsang, iaitu isteri saya, tentang bagaimana mengatasi kencing manis ini. Kami bersama-sama belajar cara mengawal penyakit ini, cara mengambil ubat, dan cara pemakanan yang betul," katanya.



Di majlis Hari Kencing Manis Sedunia anjuran Diabetes Singapore semalam, Encik Ahmat diberi Anugerah Daya Tahan di atas keupayaannya menghadapi dan menyesuaikan diri dengan baik apabila berhadapan dengan kesusahan berkaitan dengan penyakit kencing manisnya.



Seorang lagi yang diiktiraf di majlis itu ialah Cik Zaitoon Bee Syed Mohd, 58 tahun, yang menerima Anugerah Pengasuh.



Beliau telah menjaga anak sulungnya yang menghidap kencing manis sejak sekitar 20 tahun lalu yang berpunca daripada perasaan risau dan tertekan kerana sukar mendapat kerja.



Anaknya, seorang lulusan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), telah mencari ketenangan melalui makanan, dan ini menyebabkan berat badannya melonjak naik.



"Saya terpaksa beberapa kali berhenti kerja untuk menjaganya apabila 'mood'nya turun. Kali terakhir saya berhenti Mac lalu apabila anak saya menjalani pembedahan bariatrik di bahagian perut bagi mengatasi masalah berat badan. Saya jaganya, dan jaga pemakanannya," kata ibu tiga anak dan nenek tiga cucu itu.



Kini anak Cik Zaitoon itu berusia 39 tahun dan tidak lagi perlu mengambil sebarang ubat bagi mengawal penyakit kencing manisnya.



"Saya mahu melihatnya bangkit semula seperti dulu. Bekerja, ada keluarga sendiri. Itu yang saya doa selalu," katanya.




"Pada mulanya memang susah nak kawal penyakit ini kerana saya sudah biasa dengan cara pemakanan dan gaya hidup saya. Bila mula-mula kena, saya jadi runsing. Tapi, Alhamdulillah, saya ada orang yang memberi perangsang, iaitu isteri saya, tentang bagaimana mengatasi kencing manis ini. Kami bersama-sama belajar cara mengawal penyakit ini, cara mengambil ubat, dan cara pemakanan yang betul."
- Encik Ahmat Pagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >