Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Teruskan kecemerlangan, dakap pendidikan sepanjang hayat

Masagos dalam dialog M³: Golongan yang mampu perlu digalak untuk atasi 'garisan biru' - melangkah ke universiti
Mar 25, 2019 | 05:30 AM



MESKIPUN landskap pendidikan telah mula berubah bagi mengutamakan dan meraikan keupayaan setiap pelajar, namun penting untuk masyarakat Melayu meneruskan perjalanan memburu kecemerlangan dalam bidang akademik, sambil mendakap pendidikan sepanjang hayat, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Memberikan analogi garisan merah dan biru, Encik Masagos berkata 95 peratus pelajar Melayu telah melepasi garisan merah atau peringkat pendidikan minimum iaitu meraih kelulusan daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE).



Tetapi adalah penting untuk memastikan seberapa ramai pelajar Melayu yang boleh, melakukan peralihan ke garisan biru - di mana mereka dapat menggengam ijazah dari universiti.



"Kita perlu memastikan pelajar kita melepasi garisan merah ini, tapi bukan sebagai garisan penamat tetapi untuk terus mempertingkatkan diri kemudian dalam kehidupan.



"Sedang itu kita lakukan, kita juga perlu menggalak pelajar kita yang mampu untuk melepasi garisan biru iaitu ke peringkat universiti," kata beliau.



Encik Masagos berkata demikian sebagai mengulas perubahan dalam landskap pendidikan dalam dialog pasca Belanjawan yang diadakan di Grassroots Club semalam.



Ini merupakan dialog kedua daripada tiga sesi dialog yang dianjurkan bersama oleh rangkaian M Kuasa Tiga (M³) yang merangkumi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).



Sekitar 100 peserta termasuk pemimpin akar umbi serta wakil daripada Mesra dan pertubuhan Melayu/Islam turut hadir dalam sesi tersebut.



Menerangkan lebih lanjut, Encik Masagos, yang juga pengerusi Mendaki, berkata pelaksanaan Pengumpulan Berdasarkan Mata Pelajaran Secara Penuh (SBB Penuh) menjelang 2024, tidak boleh dianggap sebagai satu pilihan mudah di mana pelajar hanya mencapai tahap minimum kemampuan mereka sahaja.



Ibu bapa, katanya, perlu terus memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka agar terus mengejar dan mencapai kecemerlangan.



Namun dalam mengejar segulung ijazah, pastikan kursus yang diikuti itu mempunyai potensi untuk mendapat pekerjaan, tegas Encik Masagos lagi.



"Ada kalanya kita boleh keluar bekerja dulu, raih pengalaman, kenali kekuatan kita dan selepas itu barulah mempertingkat diri dengan mengambil ijazah yang dapat meningkatkan prospek pekerjaan," katanya.



Encik Masagos juga berharap tiada pelajar Melayu tercicir di bawah garisan merah ini dan memberi komitmen Yayasan Mendaki sebagai penggerak utama usaha itu.



Mengulas selepas sesi dialog tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Cik Rahayu Buang, berkata pihaknya akan terus memperkasa masyarakat dengan memastikan pelajar memiliki kelayakan minimum, iaitu sijil ITE agar dapat terus mempertingkat diri dengan meraih diploma dan seterusnya ijazah di masa akan datang.



Tetapi dalam melakukan demikian, Cik Rahayu akur ada cabarannya.



"Ada pelajar yang tercicir kerana isu kewangan keluarga ataupun mereka tertarik dengan sekitaran bekerja.



"Justeru kita akan terus meningkatkan kesedaran para pelajar ini bahawa terdapat sokongan sosial dan kewangan untuk memastikan para pelajar terus kekal di sekolah, dan mendapat kelayakan minimum yang diperlukan agar mereka dapat mempertingkatkan diri apabila mereka bersedia untuk melakukannya," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >