Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tetap tabah demi urus anak istimewa

Jul 11, 2022 | 05:30 AM



'ANDA perlu bersedia bahawa lama-kelamaan, anak anda akan lumpuh.'



Kata-kata itu yang diungkapkan doktor terus membuatkan hatinya luluh, hingga air matanya tidak henti mengalir.



Malah, hingga kini, Cik Kamsiah Eusoof, 56 tahun, tetap tidak dapat menahan sebak menceritakan kembali detik itu yang masih segar di benak fikirannya.



Selama 16 tahun sejak itu, beliau menyaksikan keadaan anak lelakinya bertambah buruk, dari seorang budak lelaki yang terlampau aktif, membesar menjadi seorang belia yang 'terikat' di kerusi roda, tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya.



"Kadangkala saya berbual juga dengan beliau kalau saya rasa bosan, tapi beliau tak beri respons. Beliau seolah-olah dalam dunianya sendiri... saya rindu dengar suaranya," ujar ibu empat anak itu.



Anak keduanya, Encik Muhammad Zafrullah Abdul Hamid, 27 tahun, didiagnos dengan penyakit mucopolysaccaridosis jenis III (MPS III), keadaan genetik jarang berlaku yang menyebabkan kerosakan kepada otak yang boleh membawa maut.



Ia merupakan jenis demensia kanak-kanak, di mana pesakit hilang fungsi intelek atau daya berfikir, dan pertuturan mereka terjejas sebelum fungsi motor mereka merosot.



Menurut Cik Kamsiah, anaknya sihat ketika dilahirkan, tetapi didiagnos dengan IQ rendah di peringkat tadika, lantas selanjutnya menuntut di Sekolah Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds).



Encik Zafrullah pada mulanya mahir dalam kerja tangan, tetapi genggamannya makin lama makin lemah, sehinggakan di satu ketika itu, pena yang dipegangnya terlepas.



Cik Kamsiah, dan suaminya, Encik Abdul Hamid Ali, 58 tahun, hanya mendapat tahu beliau menghidap penyakit tersebut apabila Encik Zafrullah berusia 11 tahun.



"Saya sering lihat orang lain yang mempunyai anak istimewa, dan saya beritahu mereka untuk sabar, tetapi saya tak sangka saya juga ditimpa dugaan ini," ujar Encik Abdul Hamid.



Enam tahun kemudian apabila fungsi motor Encik Zafrullah semakin lemah dan beliau hanya mampu makan dan minum menerusi tiub, Cik Kamsiah terpaksa berhenti pekerjaannya sebagai pengendali pengeluaran, dan menjadi suri rumah sepenuh masa.



Beliau mengorbankan masanya dengan mengurangkan kegiatan sosial seperti berjumpa kawan, dan mencurahkan sepenuh tenaganya demi menguruskan keperluan anak beliau.



Menceritakan antara cabarannya, Cik Kamsiah berkata:



"Dulu, ketika beliau masih boleh berjalan, saya masih boleh mepapah beliau ke tandas, tetapi sekarang saya tak larat dan perlu bantuan suami saya. Suami saya akan angkatnya, dan saya akan bersihkan najisnya."



Beliau meluahkan kebimbangan bagaimana ingin mengurus anaknya sekiranya anaknya benar-benar lumpuh akan datang dan terlantar di katil, kerana usianya dan suami semakin meningkat.



Berkongsi bahawa jangka hayat anaknya tidak panjang, Cik Kamsiah berkata sambil air mata bergenang:



"Tidak ada ibu yang inginkan anak mereka pergi sebelum mereka... tetapi saya selalu fikir, kalau saya dan suami saya sudah tak ada, siapa yang akan menjaganya? Memang berat, tapi lebih baik kalau beliau pergi dulu."



Kini, Encik Zafrullah dihantar ke rumah penjagaan ECON pada siang hari dan pulang ke rumah pada waktu petang.



Ketika masa lapang, Cik Kamsiah dan Encik Abdul Hamid kadangkala membawa anak mereka keluar bersiar-siar untuk hirup udara segar.



Cik Kamsiah berkata:



"Nasihat saya kepada mereka yang mempunyai anak istimewa... carilah kumpulan sokongan supaya anda boleh luahkan perasaan anda dan supaya anda tidak tertekan."




NASIHAT UNTUK IBU BAPA DENGAN ANAK ISTIMEWA



"Tidak ada ibu yang inginkan anak mereka pergi sebelum mereka... tetapi saya selalu fikir, kalau saya dan suami saya sudah tak ada, siapa yang akan menjaganya?



...Nasihat saya kepada mereka yang mempunyai anak istimewa... carilah kumpulan sokongan supaya anda boleh luahkan perasaan anda dan supaya anda tidak tertekan."



- Cik Kamsiah Eusoof.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >