Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tiada huraian pintas capai keharmonian kaum

Shanmugam berkata Singapura telah capai tahap kejayaan yang baik dalam isu perkauman sejak 54 tahun lalu; keharmonian kaum yang sejati perlu penglibatan masyarakat
Sep 30, 2019 | 05:30 AM



MENTERI Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang, Encik K. Shanmugam berkata tidak ada huraian pintas bagi menangani isu perkauman dan usaha harus terus dipergiatkan bagi mencapai keharmonian kaum.



Namun, beliau akur Singapura mencapai banyak kemajuan dalam hal ini sejak kemerdekaan berbanding negara lain.



Pada masa sama, Encik Shanmugam menyatakan adalah penting bagi warga Singapura mempunyai ruang yang selamat seperti media sosial untuk melahirkan pandangan atau membincangkan tentang isu bangsa dan agama.



Encik Shanmugam berkata demikian dalam ucapannya semasa satu acara dialog bersama lebih 100 peserta daripada pelbagai latar belakang dan persatuan, yang dianjurkan OnePeople.Sg dan CNA dengan disokong oleh gerakan keamanan antara kaum, Roses of Peace.



Acara dialog 'Tidak Kira Kaum' itu diadakan di Muzium Peradaban Asia, yang bertujuan mengupas pelbagai isu berkaitan perkauman, aspirasi rakyat dan peranan pemerintah serta individu.



Menjelaskan lebih lanjut, Encik Shanmugam berkata:



"Apakah ada isu perkauman di Singapura? Siapa di antara kita akan berkata tidak? Kita terlalu lurus kalau percaya ia tidak wujud.



"Terdapat masalah perkauman di semua peringkat dalam mana-mana masyarakat berbilang kaum di dunia.



"Adakah huraian pintas bagi menghuraikan masalah perkauman? Jika ada, saya tidak tahu tentangnya dan anda boleh beritahu saya. Saya fikir jawapannya ialah kita harus mengenal pastinya dan terus berusaha mengatasinya."



Beliau berpandangan Singapura telah mencapai tahap kejayaan yang baik dalam isu perkauman sejak 54 tahun lalu.



"Saya fikir pendekatan kita telah mencapai kejayaan yang agak baik sejak 54 tahun lalu.



"Tetapi kita belum mencapai keadaan nirwana atau bebas masalah perkauman.



"Perspektif ini saya fikir, terlalu lurus untuk dipercayai. Terdapat banyak contoh negara lain yang mengingatkan kita bahawa bagaimana keadaan boleh berubah dengan cepatnya dan menjadi buruk," ujar beliau.



Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa keharmonian kaum yang sejati, memerlukan lebih daripada usaha pemerintah oleh sahaja.



Ia memerlukan kegiatan bermula dari masyarakat, usaha oleh pertubuhan bukan pemerintah (NGO) dan badan relawan.



Misalnya, peranan penting yang dimainkan oleh Pertubuhan Antara Agama (IRO) dalam membantu menggalak interaksi perkauman dan keagamaan menerusi pelbagai inisiatif manakala di peringkat kawasan undi, Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) menyediakan wadah menggalak keharmonian kaum dan agama.



Sementara itu, Encik Shanmugam berkata bahawa rakyat perlu ada ruang selamat bagi menyuarakan pandangan atau membincangkan tentang isu perkauman dan agama.



Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan beberapa peserta dialog tentang perlunya ada ruang bersama yang selamat bagi mengetengahkan isu perkauman dan agama dan apakah yang dimaksudkan dengan ruang selamat.



"Saya tidak mahu ruang selamat itu hanya ditentukan atau dirancangkan oleh pemerintah atau pertubuhan.



"Forum seperti hari ini membolehkan kita membincangkan hal ini lebih mendalam tetapi kita tidak mampu melakukannya untuk masyarakat Singapura lebih luas.



"Jadi ruang selamat bermakna orang ramai boleh melahirkan pandangan mereka ketika di rumah tanpa keluar, seperti media sosial yang mudah diakses dan boleh memberi pandangan tentang perkauman dan agama," terang beliau.



Bagaimanapun, Encik Shanmugam menekankan bahawa ini perlu dilakukan dengan disiplin, tanpa menyerang atau mencela orang lain.



"Tidak salah untuk menyuarakan perasaan, memberi penjelasan dan saranan tetapi ia perlu dilakukan dengan disiplin, tanpa seseorang itu menyerang atau merendahkan orang lain," tambahnya.



Dalam hal ini, Encik Shanmugam berkata pemerintah terus memainkan peranannya dalam memelihara ruang bersama untuk rakyat Singapura memperkatakan tentang isu-isu ini.



Bulan depan, Parlimen akan membincangkan tentang pindaan kepada Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA), yang bertujuan menangani isu ucapan kebencian terhadap kaum dan agama, termasuk peruntukan melindungi pertubuhan agama setempat daripada pengaruh asing.



Pindaan diusulkan termasuk Perintah Sekatan (RO) yang dikeluarkan pemerintah terhadap sesiapa yang menimbulkan permusuhan, kebencian, menyinggung atau permusuhan antara kumpulan agama; pemimpin agama atau anggota yang memperjuangkan atas sebab politik. Ia dapat berkuat kuasa dengan segera sejurus sahaja ia dikeluarkan, berbanding notis 14 hari yang perlu diberi pemerintah sekarang.




Apakah ada isu perkauman di Singapura? Siapa di antara kita akan berkata tidak? Kita terlalu lurus kalau percaya ia tidak wujud. Terdapat masalah perkauman di semua peringkat dalam mana-mana masyarakat berbilang kaum di dunia. Adakah huraian pintas bagi menghuraikan masalah perkauman? Jika ada, saya tidak tahu tentangnya dan anda boleh beritahu saya. Saya fikir jawapannya ialah kita harus mengenal pastinya dan terus berusaha mengatasinya.
- Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >