SINGAPURA mesti terus memantau ajaran atau kenyataan eksklusif dan memecah belah, kata Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean pada Selasa (14 Mac).
Kata-kata sedemikian ternyata mempunyai kesan di negara lain, katanya dalam ucapan di rahat tahunan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
"Serangan atas nama Islam telah membawa kepada peningkatan Islamophobia, dengan retorik antiimigresen dan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat lain," katanya.
"Lebih penting lagi, tiada seorang pun harus menyebar niat jahat terhadap agama lain atau golongan tiada kepercayaan agama," ujar Encik Teo.
Beliau, yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional, berkata Pemerintah mengambil pendirian tegas terhadap ajaran atau kenyataan seperti itu.
"Kami akan menyiasat setiap kes dengan teliti, dan mengambil tindakan jika perlu," katanya.
"Kita mengambil masa bertahun-tahun untuk membina sebuah masyarakat bersatu padu, bersatu sebagai rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kita mesti memberi tumpuan pada persamaan kita daripada membiarkan orang lain memecahbelahkan kita," kata Encik Teo.
Beliau berkata demikian dalam ucapan bahasa Melayu kepada kira-kira 50 anggota dan sukarelawan RRG.
Dalam ucapannya, Encik Teo berkata ancaman pengganasan ke atas Singapura dan rantau ini berada pada tahap tertinggi sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Sedang kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) menghadapi tekanan teruk di Syria dan Iraq, pejuangnya mungkin bersurai dan mencari medan pertempuran baru.
"Kita perlu bersedia bagi serangan oleh sel yang ada kaitan dengan ISIS di Asia Tenggara," katanya.
Encik Teo mencadangkan tiga peringkat yang RRG boleh bantu dalam membina masyarakat bersatu padu.
Pertama, ia boleh memberi kaunseling kepada individu berisiko dan tahanan bagi menyokong pemulihan mereka.
Kedua, RRG boleh memainkan peranan "membina perdamaian" untuk meningkatkan perpaduan dan menggalak persefahaman antara agama dalam masyarakat Singapura.
"Dengan bekerja dengan masyarakat dan kumpulan agama lain, kita boleh menunjukkan Islam sebagai agama inklusif dan konsisten dengan nilai negara kita," katanya.
Ini penting terutamanya sedang ajaran agama eksklusif daripada Internet atau pendakwah telah cuba menembusi Singapura, katanya.
Ketiga, RRG boleh terus mengukuhkan pemahaman amalan Islam dalam konteks berbilang kaum dan agama di Singapura.
"Setiap seorang daripada anda dalam RRG telah bekerja tanpa mengenal penat lelah," kata Encik Teo, ketika mengucapkan terima kasih kepada anggota kumpulan itu.
"Anda membuat sumbangan penting bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan semua rakyat Singapura," kata beliau.