Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA PENGIKLAN

Tidak berlengah hulur bantuan kecemasan

Aug 25, 2019 | 05:30 AM



Gerakan nasional SGSecure bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ancaman pengganasan di Singapura. Sebahagian usaha tersebut, warga Singapura digalakkan untuk meraih kemahiran dan pengetahuan untuk memberi respons kecemasan. Ikuti laporan BERITA MINGGU mengenai seorang sukarelawan yang telah menyahut cabaran tersebut, bahkan memanfaatkan kemahiran yang dipelajari untuk membantu menyelamatkan nyawa.




SEKITAR dua tahun lalu, Cik Adelina Akil ternampak seorang wanita terbaring tidak menyedarkan diri di luar pusat membeli-belah Jurong Point.



Tanpa berlengah, Cik Adelina, seorang sukarelawan Pasukan Tindakan Kecemasan Masyarakat (CERT) di bawah Persatuan Rakyat (PA), tampil menghulurkan bantuan kepada wanita itu.



Cik Adelina, 53 tahun, bersama beberapa orang awam lain bergilir memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada wanita berbangsa Cina yang berusia dalam lingkungan 60-an tahun itu.



Beberapa individu lain pula mengambil inisiatif mengambil defibrilator luaran automatik (AED) dari stesen MRT Boon Lay berdekatan untuk menolong wanita itu, yang dipercayai mengalami serangan jantung.



Tidak lama kemudian, pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pun tiba untuk membawa wanita itu ke hospital.



Kejadian itu berlaku pada Oktober 2017 tetapi ia masih segar di ingatan Cik Adelina hingga hari ini.



Beliau, yang juga seorang anggota jawatankuasa penduduk (RC), mula mengikuti kursus kemahiran bantuan kecemasan pada 2011.



Sejak itu, beliau menjalani kursus tersebut setiap dua tahun untuk memperbaharui sijilnya.



Jika sebelum ini, beliau hanya berlatih memberi bantuan kecemasan menggunakan patung, kini beliau mempunyai pengalaman sebenar menghulurkan bantuan sedemikian.



"Saya macam tak percaya saya dapat beri bantuan. Semasa kejadian itu, saya tidak fikir tentang keadaan atau orang sekeliling. Saya hanya risaukan keadaan mak cik itu.



"Dua atau tiga minggu selepas itu, saya masih fikirkan macam mana keadaannya," ujar suri rumah yang mempunyai dua orang anak itu.



Baru-baru ini, beliau berpeluang menemui wanita yang dibantunya itu, dan mendapat tahu beliau dalam keadaan yang sihat.



Cik Adelina juga telah menerima beberapa anugerah, termasuk pengiktirafan daripada SCDF atas bantuannya itu.



Pengalaman yang dilalui Cik Adelina itu meyakinkan beliau betapa pentingnya kemahiran bantuan kecemasan.



"Saya fikir setiap keluarga mesti ada sekurang-kurangnya seorang yang mempunyai kemahiran ini," ujarnya.



Mengimbas pengalamannya apabila mula mempelajari kemahiran itu, Cik Adelina berkata beliau menganggapnya susah dahulu.



Namun, lama-kelamaan beliau menjadi lebih yakin setelah menjalani latihan itu beberapa kali.



Sebagai anggota CERT, Cik Adelina juga kerap dikerah untuk menjadi sukarelawan dalam acara nasional seperti perlumbaan Formula 1 (F1), Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) dan Chingay.



Selain itu, Cik Adelina giat menyumbang tenaga sebagai sukarelawan di Masjid Maarof di Jurong West dan bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di kawasan Pioneer.



"Saya ini orang biasa sahaja tetapi saya memang minat jadi sukarelawan," ujar Cik Adelina.




BERI BANTUAN KECEMASAN AWAL 



'TEKAN, IKAT, BERITAHU'



- Untuk hentikan pendarahan, tekan langsung di atas luka, menggunakan benda harian seperti sapu tangan atau kain



- Menggunakan benda harian seperti tali leher, tali pinggang atau tali beg, ikat di bahagian atas paras luka untuk hentikan pendarahan parah



- Beritahu Pegawai Kecemasan SCDF mengenai kecederaan tersebut dan masa apabila anda menangani luka itu



Sumber: Laman www.sgsecure.sg




MAKLUMAT LANJUT



Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kemahiran menyelamatkan nyawa, sila lungsuri laman berikut:



www.pa.gov.sg, www.scdf.gov.sg, www.redcross.sg



Orang ramai juga boleh mengunjungi Pameran Bergerak SGSecure pada tarikh dan lokasi berikut:



- 23 - 25 Ogos: Northpoint City (South Atrium)



- 11-13 Okt: Ang Mo Kio Central (Central Stage)



- 18-20 Okt: Jurong Point



- 1-3 Nov: Waterway Point




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >