PENGERUSI Bourbon Offshore Asia Pacific, Encik Farid Khan, berkata beliau menerima keputusan Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) dan Jawatankuasa Masyarakat bahawa beliau tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya Presiden tahun ini.
Namun begitu, beliau tidak akan berhenti berkhidmat kepada rakyat, katanya dalam satu kenyataan tadi.
Kenyataan Encik Farid itu dikeluarkan menyusuli pengumuman oleh PEC bahawa hanya seorang pemohon telah diberi Sijil Kelayakan tadi.
Jabatan Pilihan Raya dalam kenyataannya tidak mendedahkan nama calon tersebut, namun iadifahamkan Cik Halimah Yacob merupakan pemohon yang diberikan sijil itu.
Dalam kenyataannya, Encik Farid mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura, keluarga dan rakannya bagi sokongan mereka sejak beliau pertama kali mengumumkan keputusan mahu bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.
"Malangnya, ia tidak menjadi. Walau bagaimanapun, ia satu perjalanan yang bermakna dan pengalaman yang baik.
"Meskipun saya kecewa dengan keputusan jawatankuasa, ia tidak akan menghentikan saya daripada terus berkhidmat kepada rakyat. Seperti dahulu, saya akan terus berkhidmat dengan kebolehan terbaik," kata beliau.