SINGAPURA tidak melihat perlunya memperketat lagi sekatan yang ada buat masa ini, memandangkan langkah di bawah Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) telah membantu menyekat jangkitan Covid-19 sejauh ini, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong.
Setelah hampir dua minggu sejak sekatan Covid-19 terkini diumumkan, kes jangkitan setempat sudah stabil malah, susut sedikit.
Encik Wong berkata jika terdapat sekatan yang menjangkaui 13 Jun, maka Kementerian Kewangan (MOF) akan menimbangkan untuk melanjutkan bantuan.
Encik Wong yang juga pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF), berkata dalam satu sidang maya semalam, lebih banyak perkembangan mengenai hal itu akan diberikan pada Isnin nanti.
Sementara itu, Singapura telah mula merancang bagi kemungkinan penularan Covid-19 menjadi endemik di sini, yang bermakna wabak itu berlaku secara tetap.
Apabila ia berlaku, rakyat Singapura mungkin perlu mendapat suntikan tambahan (booster) dari masa ke masa.
"Bila ia akan berlaku? Saya tidak dapat nyatakan sekarang,'' kata Encik Wong, dalam sidang akhbar itu.
Beliau meramalkan bahawa lebih banyak rawatan akan dihasilkan bagi membendung penyakit itu yang menjadikannya bukan sesuatu yang ditakuti.
"Kami sedang merancang senario itu di mana pakar saintis di dunia merumuskan bahawa ia tidak mudah menghapuskan virus itu. Ia tidak akan berakhir dan kita harus hidup dengannya,'' tambah beliau.