Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tidak mahu lepas peluang keemasan bekerja di PBB

Aug 26, 2018 | 05:30 AM



BAGI Cik Ijechi Nazirah Nazri Nwaozuzu, peluang bekerja di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merupakan peluang keemasan yang tidak patut disesiakan.



Justeru, apabila ditawarkan menjadi pelatih (intern) di Liga Antarabangsa Wanita untuk Keamanan dan Kebebasan PBB, Cik Ijechi, 25 tahun, mengambil kesempatan tersebut dengan tangan terbuka.



Beliau, yang berdarah campur Melayu-Nigeria itu, berbekalkan segala keperluannya lalu berangkat ke New York, Amerika Syarikat, yang menjadi tempat kerjanya selama enam bulan.



Siswazah Universiti Nasional Singapura (NUS) itu yang baru mendapatkan ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian pada Januari lalu diberi peluang menjalani latihan amali (internship) bersama PBB dari Januari hingga Jun tahun ini.



"Saya memang berminat dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan (tawaran latihan amali tersebut) merupakan peluang unik bekerja di PBB.



"Memang seronok dapat mengenali dan mempelajari cara-cara di PBB dan pada masa yang sama bertemu orang yang mempunyai minat yang sama," katanya.



Latihan amali yang dijalaninya itu dianggap seperti peluang pembelajaran yang buka mata.



"Saya sudah terbiasa dengan gaya Singapura sama ada daripada segi bekerja ataupun berkomunikasi, tetapi di sana saya belajar menyesuaikan diri dengan cara mereka," kongsi Cik Ijechi.



Misalnya, jika di Singapura orang lebih mementingkan perincian sesuatu tugas yang dihasilkan, di New York mereka lebih mementingkan cara tugas itu disampaikan.



Malah, antara perkara yang dipelajarinya ialah kepentingan menyampaikan imej diri yang baik kepada orang lain.



"Di Singapura, kita terbiasa dengan idea bahawa prestasi andalah yang penting, sama ada seseorang itu bagus ataupun tidak adalah berdasarkan prestasinya.



"Tapi saya sedar bahawa cara seseorang itu mengetengahkan dirinya, ketrampilannya, cara dia berinteraksi dengan orang yang tak dikenali, itu semua sangat penting," ujarnya.



Namun, Cik Ijechi akur perkara tersebut membuat beliau terpaksa keluar daripada zon selesanya kerana ia bukan sesuatu yang menjadi kebiasaan baginya.



Satu lagi perkara yang dipelajarinya ialah berbelanja mengikut bajet yang ketat.



Sementara wang bukan satu kerisauan baginya di sini, di New York beliau seorang diri dan mempunyai wang yang terhad.



"Adakah saya betul-betul memerlukannya?, Di mana saya boleh beli perkakas dapur pada harga lebih rendah?, itu semua menjadi persoalan saya. Saya menyimpan rekod belanja saya dan merancang perbelanjaan saya," kongsinya yang menghabiskan sekitar AS$14,000 ($19,100) secara keseluruhan.



Jumlah tersebut termasuk kos tiket penerbangan, sewa, pengangkutan, makanan dan sebagainya.



Sekitar separuh jumlah tersebut merupakan wangnya sendiri sementara yang lain dibiayai sekolahnya.



Lebih daripada hanya mengikuti latihan amali di PBB, Cik Ijechi turut berpeluang menghadiri acara rangkaian profesional dengan beliau bertemu profesional lain daripada sektor berbeza seperti kewangan dan teknologi.



Mereka masih mengekalkan hubungan hingga hari ini.



Menganggap pengalaman menjalani latihan amali di New York itu sebagai amat berharga, Cik Ijechi berkata:



"Kalau industri yang ingin diceburi lebih bersifat antarabangsa, sudah tentu saya menggalakkan mereka yang berpeluang agar turut menjalni latihan amali di luar negara."




"Saya memang berminat dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan (tawaran latihan amali tersebut) merupakan peluang unik bekerja di PBB. Memang seronok dapat mengenali dan mempelajari cara-cara di PBB dan pada masa yang sama bertemu orang yang mempunyai minat yang sama. Saya sudah terbiasa dengan gaya Singapura sama ada daripada segi bekerja ataupun berkomunikasi, tetapi di sana saya belajar menyesuaikan diri dengan cara mereka."
- Cik Ijechi Nazirah Nazri Nwaozuzu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >