Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

COVID-19: VAKSINASI BAGI MURID DARJAH 4-6 BERMULA

'Tidak ngeri, sakit sikit sahaja'

Ibu bapa: Proses vaksinasi lancar, tersusun dan jururawat ramah tenangkan kanak-kanak
Dec 28, 2021 | 05:30 AM



SEJURUS mendapat kiriman SMS mengenai suntikan vaksinasi Covid-19 yang layak diterima anaknya yang berusia 11 tahun Rabu lalu, Cik Lina Ong dengan segera mendaftarkan nama anak lelakinya itu.



Cik Ong, 47 tahun, mula beratur di pusat vaksinasi Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias sekitar 7.40 pagi semalam, sebelum pusat itu dibuka pada 8 pagi.



Tempahan slot vaksinasi yang dibuat awal itu membolehkan beliau mendapat antara slot terawal pada hari pertama vaksinasi pediatrik bagi murid darjah empat hingga enam dijalankan.



Anaknya, Keagan Ho, seorang murid Sekolah Rendah Temasek, berkata suntikan yang diterimanya bukan satu pengalaman mengerikan dan dia hanya berasa sedikit kesakitan.



Mengulas tentang proses vaksinasi itu, Cik Ong berkata: "Seluruh proses itu sangat lancar dan tersusun dengan baik. Saya mahu dia menjadi antara yang terawal mendapatnya supaya dia boleh pulang ke rumah dan berehat."



Cik Ong, yang bekerja sebagai akauntan projek, turut membawa anak lelakinya yang berusia lapan tahun dan berharap anaknya itu juga boleh mendapatkan suntikan dalam masa terdekat.



Ini supaya beliau tidak perlu risau sekiranya mereka sekeluarga ingin bercuti ke luar negara.



Lebih 40 peratus murid darjah empat hingga enam telah mendaftar untuk vaksinasi Covid-19.



Sekitar 110,000 pesanan SMS bagi mendapatkan vaksinasi ini telah dihantar Rabu lalu kepada ibu bapa kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut.



Tujuh pusat vaksinasi pediatrik dibuka semalam, dengan lapan lagi dijadualkan memulakan operasi bulan depan.



Pusat yang sudah beroperasi ialah di Kelab Masyarakat Senja-Cashew, Nanyang, Our Tampines Hub, Pasir Ris Elias, Woodlands Galaxy, Nee Soon East dan Hougang.



Sementara itu, di Kelab Masyarakat Senja-Cashew, Cik Pavithra Kailasan, 47 tahun, antara orang pertama beratur bersama anak perempuannya, Anuja Kailasan, 11 tahun.



Bercakap kepada The Straits Times selepas anaknya itu menerima suntikan tersebut, Cik Pavithra berkata: "Dia berasa gementar sejak malam kelmarin kerana kakaknya memberitahunya jarum suntikan itu sangat panjang.



"Namun, jururawat di situ sangat ramah dan mengambil berat, dan menerangkan proses itu kepadanya dengan penuh kesabaran."



Cik Pavithra berkongsi bahawa beliau dijangkiti Covid-19 pada Oktober lalu.



"Saya telah mendapatkan suntikan penuh, tetapi belum mengambil suntikan penggalak. Jika saya tidak mendapatkan vaksinasi, mungkin simptom yang saya alami lebih teruk.



"Jadi saya ingin memastikan anak saya ini juga terlindung," ujarnya.



Anuja, murid Sekolah Rendah South View, berkata dia sekarang berasa lebih yakin untuk mendapatkan suntikan keduanya.



Program vaksinasi nasional akan diperluas kepada kanak-kanak berumur lima tahun ke atas, dengan pendaftaran bagi murid darjah satu hingga tiga di sekolah Kementerian Pendidikan (MOE) dan madrasah dibuka mulai 5 Januari depan.



Sekitar 300,000 kanak-kanak bakal mendapat manfaat daripada program yang diperluas ini. Sekarang mereka membentuk kumpulan terbesar yang tidak divaksinasi di Singapura.




PUSAT VAKSINASI PEDIATRIK SUDAH BEROPERASI



1) Kelab Masyarakat Senja-Cashew



2) Kelab Masyarakat Nanyang



3) Kelab Masyarakat Our Tampines Hub



4) Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias



5) Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy



6) Kelab Masyarakat Nee Soon East



7) Kelab Masyarakat Hougang



*Lapan lagi pusat vaksinasi pediatrik akan memulakan operasi bulan depan.




COVID-19: VARIAN OMICRON: Kes Omicron di SG tidak alami gejala teruk sejauh ini



TIADA kes Omicron di sini dilaporkan mengalami gejala teruk sejauh ini, dan individu yang dijangkiti varian baru Covid-19 itu tidak perlu menerima rawatan rapi atau susulan oksigen, kata Kementerian Kesihatan (MOH) malam kelmarin.



Namun ia berkata perkara ini berlaku kerana kebanyakan kes tersebut melibatkan individu sudah divaksinasi sepenuhnya dan daripada golongan usia lebih muda, lapor akhbar The Straits Times (ST).



Dalam satu kenyataan yang mendedahkan bilangan terkini jangkitan kes Omicron, pasukan bertindak berbilang kementerian berkata terdapat 546 kes yang dikenal pasti sebagai jangkitan varian Omicron hingga Sabtu lalu.



Ia merangkumi 443 kes import dan 103 kes tempatan.



Minggu lalu, terdapat 13 kes Omicron dalam masyarakat yang tidak berkait dan 78 kes berkait berpunca daripada penularan dalam masyarakat.



Pasukan bertindak itu berkata kajian di luar negara menunjukkan vaksin mRNA dapat mengurangkan risiko mengalami simptom daripada jangkitan varian Omicron.



Kajian luar negara pada tahap permulaan menjangka dua dos vaksin mRNA merendahkan risiko jangkitan simptomatik Omicron sekitar 35 peratus, kata pasukan itu dan risiko tersebut boleh direndahkan lagi kepada 75 peratus bagi individu yang sudah mendapatkan vaksin mRNA penggalak dan utama.



Ia juga menekankan peri penting program vaksin penggalak di Singapura untuk mempertingkat daya ketahanan rakyat daripada jangkitan serta gejala teruk Covid-19.



Varian Omicron sudah dikesan menular di lebih 110 negara, terutama di Afrika dan Eropah.



Pemantauan terkini daripada negara terjejas varian itu menyatakan ia lebih mudah berjangkit daripada varian lain yang ada sejauh ini.



Omicron telah menggantikan varian Delta sebagai varian dominan di bebarapa negara, seperti Britain dan Denmark.



Di Singapura, MOH dalam kenyataannya lewat kelmarin berkata mulai semalam, kes Omicron dibenarkan menjalani program pemulihan di rumah atau yang dikendali di kemudahan penjagaan masyarakat serta hospital, daripada diasingkan di kemudahan khusus.



Mereka yang kurang sihat akan dinilai berdasarkan keadaan klinikal mereka - iaitu simptom dan tanda fizikal - dan faktor kesihatan lain, jelas MOH.



Pesakit sudah divaksinasi sepenuhnya atau yang berusia bawah 12 tahun dibenarkan bebas daripada berkurung selepas 10 hari, sementara yang belum ialah 14 hari. Ini sejajar protokol kesihatan bagi pesakit Covid-19 varian lain.



MOH juga berkata individu sihat namun dikesan positif varian Omicron akan dikehendaki terus menjalani ujian kendiri dan menguruskan diri sendiri, termasuk menggunakan ujian pantas antigen (ART) untuk membebaskan diri daripada pengasingan mulai hari ketiga dan selanjutnya.



Kontak terdekat kes Omicron pula akan diberi amaran risiko kesihatan yang menghendaki mereka menjalankan ujian kendiri ART sebelum keluar rumah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >