Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tiga cabaran perlu ditangani

Fahaman agama ekstrem yang boleh membawa kepada pengganasan; pengaruh tersebut berupaya melemahkan budaya Melayu; dan perubahan pesat ekonomi global dan pencetusan gangguan teknologi
Aug 02, 2017 | 05:30 AM



Ucapan penasihat Majlis Penyelaras Kumpulan-Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, di jamuan malam sempena ulang tahun ke-40 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Ahad lalu



"MASYARAKAT kita hari ini menghadapi tiga cabaran utama.



Pertama, fahaman agama ekstrim yang boleh membawa kepada pengganasan.



Kedua, pengaruh tersebut berupaya melemahkan budaya Melayu kita, dan ketiga, perubahan pesat ekonomi global dan pencetusan gangguan teknologi.



Sejak beberapa bulan lalu, dunia digemparkan dengan berita golongan pelampau Islam melaksana serangan ganas di London, Manchester dan Kabul. Ia adalah tindak tanduk para radikal yang terpengaruh oleh pegangan agama Islam yang ekstrim, yang disebarkan oleh kumpulan seperti Al-Qaedah dan ISIS. Singapura tidak terlindung daripada ancaman pengganasan dan radikalisasi seperti itu.



Realiti tersebut timbul baru-baru ini dengan penahanan seorang pekerja pusat jagaan kanak-kanak dan anggota polis tambahan. Kumpulan pelampau jelas mensasarkan golongan yang mudah terpengaruh dan berpotensi melakukan aksi merbahaya dan kerosakan besar.



Imej agama Islam yang selama ini telah berjaya mendekatkan hati manusia untuk menyelaminya kini tercemar. Sebaliknya, orang Islam mula menjadi sasaran serang balas di negara Barat akibat daripada keganasan yang dilakukan saudara Islam senegara mereka.



Di Singapura juga, kita telah berjaya menahan mereka yang mempunyai niat ganas. Yang menjadi tanda tanya ialah apakah reaksi masyarakat bukan Islam, jika pengganasan benar-benar berlaku hingga mencederakan atau mengorbankan orang yang disayangi mereka. Pihak berkuasa akan berusaha gigih mengelakkan ia daripada berlaku.



Masyarakat Islam pula harus mengambil segenap langkah supaya Islam yang diajar dan dipraktikkan di negara kita tetap sederhana dan mendokong kehidupan makmur berbilang kaum dan agama. Inilah yang diusahakan Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) kebelakangan ini.



Masyarakat kita digalak merujuk, termasuk orang yang tersayang, kepada pihak berwenang jika mereka jelas terpengaruh oleh ajaran tegar, supaya mereka dielak daripada terjerumus menjadi radikal dan ganas.



Itulah bukti yang akan memberi keyakinan kepada masyarakat Singapura; hingga, sekiranya berlaku pengganasan oleh individu radikal, kepercayaan masyarakat Singapura akan tetap teguh kerana usaha masyarakat kita selama ini.



Ajaran Islam yang bersifat tegar dan eksklusif sebenarnya adalah pengaruh yang asing di Nusantara dan tidak pernah terlihat di rantau ini hinggalah baru-baru ini.



Dalam membentuk pemahaman Islam tegar yang diutarakan sebagai pembaharuan, golongan pelampau tahu mereka perlu menggoyahkan keyakinan kita terhadap pengamalan agama dan budaya kita, sebelum dapat menggantikannya dengan fahaman mereka.



Banyak sekali amalan budaya kita dibidas, seperti acara persandingan dilabel sebagai pengaruh Hindu dan amalan kenduri arwah sebagai amalan yang dilarang agama. Hinggalah orang menganggap jubah orang Arab lebih tinggi martabatnya daripada baju Melayu kita.



Jika dahulu kehidupan moden mengancam kehidupan budaya tradisional Melayu, kini pengaruh agama tegar pula cuba menggantikannya dengan budaya Timur Tengah yang dianggap Islamik.



Pengaruh dan ajaran tersebut muncul di sini sejak timbulnya konflik besar pada 1979 di Timur Tengah antara negara adikuasa Saudi dan Iran, dan juga antara fahaman agama masing-masing. Masing-masing saling mencari dan membeli pengaruh di merata dunia.



Dengan dunia semakin tiada sempadan dan Internet membolehkan sesiapa saja berhubungan sesama manusia, golongan muda kita boleh tertarik mempelajari amalan agama dan budaya negara asing, umpamanya setelah mengikuti pengajian di luar negara, membaca artikel daripada Internet atau berkomunikasi dengan pihak luar.



Kita sudah mula melihat bagaimana elemen luar ini dapat melentur dan mengubah kepercayaan agama kita, dan perubahan inilah yang harus kita awasi dan waspada. Ini kerana sikap menolak fahaman agama Islam setempat yang toleran dan mendokong hidup berharmoni dan penghakisan budaya yang selama ini mencorak dan mencantikkan agama kita, bakal digantikan dengan sifat eksklusif dan ta'asub.



Ia juga menolak kewujudan persekitaran berbilang budaya dan agama, lalu membangkitkan rasa benci pada kaum dan agama lain. Akhirnya mengharamkan hidup rukun senegara dengan sistem yang berprinsip sekular.



Itulah penyebab utama rakyat sanggup memerangi negara sendiri dan berjuang bagi sebidang tanah yang jauh daripada mereka yang diisytihar Wilayah berkhalifah di Syria dan Iraq.



Seperti apa yang disampaikan oleh Mufti Dr Fatris Bakaram semasa khutbah Aidilfitri lalu, bahawa Islam mengajar insan bahawa kecintaan seseorang kepada agamanya tidak bercanggah dengan cintanya pada negara, bangsa dan budayanya.



Mufti juga mengingatkan kita bahawa seseorang itu boleh hidup sebagai Muslim yang baik Islamnya di mana sahaja beliau berada, dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.



Mufti turut menarik perhatian bahawa menjadi satu masalah sekiranya seseorang itu menyangka sesuatu adat yang asing lebih Islamik daripada apa yang kita ada di sini. Ulama kita berkongsi pendapat bahawa agama Islam harus diamalkan dalam konteks setempat, sejajar dengan perkembangan masyarakat dan persekitarannya.



Oleh itu, saya gembira melihat ramai keluarga terus hidup berbudaya Melayu, dan mengenakan pakaian baju Melayu ketika menyambut Hari Raya baru-baru ini. Masyarakat kita juga masih bangga menggunakan bahasa Melayu ketika berbicara. Media Melayu kita - Berita Harian, Suria, Ria dan Warna terus berkembang. Ini jelas menunjukkan bahawa kita masih berupaya mengekalkan bahasa dan budaya kita.



Cinta kita kepada bahasa dan budaya kita boleh menjadi benteng kuat yang dapat mencegah penyusupan fahaman agama Islam berbudaya asing, yang konteks masyarakat asalnya mempunyai sejarah, bahasa dan budaya yang tidak sama konteksnya bagi orang Melayu Nusantara.



Cabaran ketiga pula, ialah menghadapi ekonomi dunia yang sedang berubah dengan hebat dan pesat hingga menjadi satu gangguan.



Kita melihat bagaimana teknologi dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) mengancam pekerjaan biasa. Ini adalah cabaran yang dihadapi bukan saja di sini malah secara global. Saya prihatin khususnya bagi golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) masyarakat kita, terutama yang di peringkat pendapatan pertengahan bawahan. Untuk bertahan di dalam ekonomi yang berubah-ubah ini, dua kunci utama harus kita miliki: pertama ialah melalui peningkatan kemahiran dan pendidikan sepanjang hayat. Terdapat sektor baru yang kekurangan tenaga mahir, yang dapat menawarkan peluang pekerjaan baik bagi masyarakat Melayu/Islam kita.



Kedua, kita tidak boleh hilang haluan kerana terpengaruh oleh ajaran yang tujuannya mempersiap kita untuk mengambil bahagian dalam konflik di Timur Tengah. Malah, jika masyarakat di sini condong pada ajaran tersebut seperti di Chechnya dan Xinjiang, ia akan menyebabkan kita bukan ketinggalan sahaja, malahg sibuk dengan sikap mencari kedamaian dan hilang kemakmuran.



Dalam menghadapi semua cabaran tersebut, Mesra memainkan peranan penting supaya masyarakat kita berada di arus nasional dengan menitikberatkan kehidupan berharmoni dengan semua kaum. Ini akan melengkapi usaha Muis dalam memberi hala tuju bagi kehidupan beragama, dan Yayasan Mendaki sebagai mangkin untuk masyarakat Melayu berdaya bersaing di persada dunia. Muis, Mendaki, Mesra - 3M tunjang masyarakat kita, memperkukuhkan satu sama lain.



Oleh itu, Mesra harus memainkan peranan proaktif dalam memimpin masyarakat kita berintegrasi dan mendekati semua kaum supaya kita memahami dan mesra dengan budaya dan kehidupan satu sama lain.



Sedang kita pihak minoriti terus berusaha berintegrasi, pemerintah juga selaras berusaha supaya yang majoriti menerima kaum minoriti dalam segala aspek sebagai sebahagian daripada cara hidup 'masyarakat inklusif'.



Seperti sebuah perkampungan, masyarakat kita harus ada di ruangan bersama, di mana semua masyarakat dengan latar belakang berbeza berpeluang berinteraksi dan mengenali satu sama lain - demi memupuk semangat kesepaduan yang utuh di kalangan masyarakat di Singapura.



Apakah itu semasa bekerja atau bersantai di kawasan kejiranan kita - kita harus usahakan dan memudahkannya. Jika dibiarkan, kita lebih condong berkelompok hanya dengan kaum kita sendiri, kerana kita seagama.



Mesra mempunyai peranan besar dalam mengorak strategi menyatukan masyarakat kita untuk bersama dalam perkampungan ini demi kemakmuran semua.



Jelas, pihak MAEC perlu bergerak secara berbeza berbanding ketika ia baru ditubuhkan semasa era posmerdeka. Fokus Mesra dan MAEC kini harus berkembang - daripada hanya menganjurkan acara kebudayaan kepada juga menjalin hubungan yang mendalam dengan masyarakat kita. Kita perlu menyusun langkah mendekati pihak-pihak berkepentingan dalam masyarakat Melayu/Islam dan memberi fokus kepada golongan muda, para ulama kita hingga golongan pakar dan karyawan daripada pelbagai latar dan bidang. Usaha mendekati masyarakat kita secara berkesan adalah penting sebelum kita boleh membawa mereka berhubungan baik dengan masyarakat am di Singapura.



Panel penasihat Mesra; Cik Halimah, Dr Maliki, Dr Faishal, Encik Amrin dan Encik Zaqy sedang bekerja sama dengan semua anggota Mesra menyusun langkah mendekati masyarakat dengan lebih erat. Perinciannya akan kami kongsi dalam bulan-bulan mendatang.



Kini saya ingin menyentuh tentang warisan kita. Baru-baru ini di Parlimen, Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean bercakap tentang masyarakat Singapura yang inginkan sesuatu ikatan yang menghubungkan sejarah silam kita. Taman Warisan, yang dahulunya Istana Kampung Glam, merupakan salah satu contoh ikatan tersebut. Juga kawasan seperti Kampong Glam dan Geylang, di mana generasi lama kita tinggal dan membesar di sana, terpahat banyak memori lama mengenai semangat kekampungan yang pernah wujud dahulu.



Pada 2018, kita bakal mempunyai sebuah mercu tanda yang boleh kita banggakan di tengah-tengah pembangunan bandar yang pesat, dengan terbinanya nanti Wisma Geylang Serai.



Wisma Geylang Serai merupakan sebuah bangunan serba baru yang boleh dibanggakan masyarakat kita yang bakal menonjolkan betapa kayanya warisan, budaya dan identiti Melayu kita. Saya gembira semua ciri-ciri tersebut dapat dilihat dan dipamerkan melalui seni reka bentuk bangunan tersebut. Saya bangga dan berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Persatuan Rakyat (PA) telah memberi kepercayaan kepada Mesra untuk menerajui usaha merancang dan menguruskan program acara di Wisma Geylang Serai sepanjang tahun. Dr Maliki akan mengetuai inisiatif ini.



Di bawah naungan ini, kami juga akan bekerjasama dengan Majlis Seni Kebangsaan, Lembaga Warisan Negara, dan Kelab Masyarakat Geylang Serai untuk menganjurkan acara-acara budaya Melayu, serta kursus-kursus dan program yang memberi fokus kepada mendekati masyarakat. Visi kami - untuk menonjolkan Wisma Geylang Serai sebagai sebuah ruang warisan yang boleh dibanggakan masyarakat Melayu.



Salah satu acara tahunan yang bakal dianjurkan Mesra ielah Bazar Hari Raya @WGS,mulai tahun depan. Harapan kami ialah Wisma Geylang Serai menjadi pusat tumpuan bagi pelbagai kegiatan mendekati masyarakat.



Kita berbangga dengan pencapaian MAEC dan Mesra selama 40 tahun ini. Apa yang penting kini adalah langkah selanjutnya dalam menghadapi cabaran masyarakat kita dan negara kita bersama.



Saya telah melakar beberapa keprihatinan bersama dan strategi penting yang akan dilaksana Mesra dan MAEC, dan saya harap semua pihak - PA, pemimpin akar umbi dan relawan - dapat bekerjasama dengan kami untuk menjayakannya."




"Dalam menghadapi semua cabaran tersebut, Mesra memainkan peranan penting supaya masyarakat kita berada di arus nasional dengan menitikberatkan kehidupan berharmoni dengan semua kaum. Ini akan melengkapi usaha Muis dalam memberi hala tuju bagi kehidupan beragama, dan Yayasan Mendaki sebagai mangkin untuk masyarakat Melayu berdaya bersaing di persada dunia..."
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >