TIGA lelaki Taiwan diberkas Jumaat lalu (12 Oktober) kerana disyaki terlibat dalam satu penipuan penyamaran pegawai China di mana seorang mangsa ditipu $1.72 juta.
Dalam satu kenyataan hari ini (13 Oktober), polis berkata lelaki-lelaki itu berusia antara 24 dengan 26 tahun.
Polis telah menerima laporan mengenai kes itu Khamis lalu daripada mangsa berusia 34 tahun, yang berkata beliau ditipu lebih $1.7 juta.
Mangsa telah menerima satu panggilan Selasa lalu daripada seorang lelaki yang tidak dikenali yang berkata dirinya dari polis China.
Mangsa diberitahu yang beliau terlibat dalam penipuan transnasional dan disuruh menyerahkan semua wangnya untuk siasatan.
Beliau kemudian menuruti arahan pemanggil yang menyuruhnya menyerahkan wang tunai $920,000 kepada seorang lelaki China yang beliau percayai ialah pegawai Interpol.
Beliau mengeluarkan lagi $800,000 daripada akaun banknya Rabu lalu dan menyerahkan wang itu kepada lelaki sama.
Pegawai dari Jabatan Ehwal Komersial menjalankan siasatan dan memberkas tiga lelaki itu Jumaat lalu.
Siasatan awal mendapati mereka telah menerima hasil jenayah yang dipercayai berkait dengan penipuan penyamaran pegawai China.
Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda dan dipenjara sehingga lima tahun.