Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tiga lagi sektor dikenal pasti sertai model gaji progresif

Feb 19, 2021 | 05:30 AM



PERGERAKAN buruh telah mengenal pasti lagi tiga sektor - pengurusan strata, pengurusan haiwan perosak dan teknologi suria - untuk menyertai model gaji progresif (PWM), mencerminkan rancangannya untuk turut menyokong pembangunan kerjaya pekerja bukan bergaji rendah.



Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) juga sedang meneroka memperluas model gaji yang dikaitkan dengan peluasan kemahiran pekerja itu kepada pekerja berdasarkan jawatannya dan bukan mengikut sektor.



Mengumumkan rancangan tersebut di sesi media maya semalam, Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng berkata meskipun perbahasan mengenai PWM dan gaji minimum sedang rancak pada masa ini, pihaknya telah memutuskan untuk bertindak mempertingkat pekerja dengan melaksanakan PWM secara lebih meluas dan lebih pantas.



Ini termasuk membantu perjalanan kerjaya pekerja bukan bergaji rendah, ujar beliau, seperti pekerja dalam sektor pengurusan strata dan teknologi suria.



Memberi contoh, Encik Ng berkata gaji pekerja sektor pengurusan strata mengikut kontrak dan biasanya kembali kepada asal apabila kontrak baru ditandatangani.



"Kita rasa dapat bergerak bersama dengan majikan... supaya pekerja dapat terus menikmati gaji progresif sepanjang perjalanan kerjaya dan ini termasuk mempunyai kerjaya yang progresif juga," ujar Encik Ng.



Mengenai sektor teknologi suria pula, Encik Encik Ng berkata ia adalah industri baru yang berpotensi untuk berkembang dan PWM bagi sektor ini boleh menggalak warga Singapura, termasuk yang di pertengahan kerjaya untuk menyertainya sektor ini dalam berbilang lapisan kerja dan menganggapnya sebagai memberi peluang pembangunan kerjaya.



Menurut Encik Ng, kemajuan juga telah dicapai dalam perbincangan bagi sektor pengurusan haiwan perosak, meskipun ia dijangka memerlukan lebih banyak masa untuk dilaksana kerana melibatkan kemahiran yang berbeza.



Dalam kenyataannya semalam, NTUC berkata PWM bagi sektor-sektor yang baru dikenal pasti ini boleh memanfaatkan lebih 5,000 pekerja pengurusan strata dan 3,000 pekerja dalam pengurusan haiwan perosak.



NTUC bercadang untuk menyerahkan usulan bagi PWM sektor pengurusan haiwan perosak kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada pertengahan tahun ini.



Ia juga telah memulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan dalam sektor teknologi suria untuk terus membangun Pelan Pembangunan Kerjaya (CDP) - yang dilancarkan tahun lalu - untuk dijadikan PWM.



Encik Ng juga mendedahkan rancangan NTUC untuk melaksanakan PWM vokasional, atau yang merentas sektor untuk membantu mempertingkat pekerja yang melakukan tugas yang serupa dalam sektor-sektor berbeza.



Ini termasuk kerani, teknisyen dan pemandu logistik.



Menurut Encik Ng, pekerjaan seperti ini serupa meskipun dilakukan di berbilang syarikat dalam sektor berbeza dan adalah sukar untuk membantu mempertingkat pekerja sedemikian jika PWM dilaksana mengikut sektor.



"Ini supaya kita boleh menggalakkan sebahagian lebih besar masyarakat untuk menyokong peningkatan gaji supaya kita boleh memperketat lagi perbezaan gaji (antara pekerjaan) bagi tempoh 10 20 tahun akan datang," ujar Encik Ng.



Pengumuman NTUC ini selang dua hari Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata dalam ucapan Belanjawan pemerintah beraspirasi mengadakan PWM bagi semua sektor ekonomi.



Dalam pada itu, Encik Ng juga memberi kemas kini mengenai tiga sektor yang sebelum ini telah dikenal pasti bagi PWM, iaitu pengurusan sisa, khidmat makanan dan dagang runcit.



Sebuah kumpulan bekerja atau Kelompok Perikatan Tiga Pihak telah ditubuhkan untuk melaksanakan PWM bagi sektor pengurusan sisa.



Sementara itu, kumpulan bekerja serupa sedang dirancang untuk ditubuhkan bagi sektor khidmat makanan dan dagang runcit tidak lama lagi.



Menurut NTUC, usulan bagi melaksanakan PWM bagi kededua sektor ini dijangka diumumkan tahun ini dan dilaksana dalam dua tiga tahun akan datang.



Sejak PWM diumumkan pada 2012, ia telah dijadikan mandatori dalam tiga sektor - pembersihan, keselamatan dan landskap.



PWM keempat, bagi sektor penyenggaraan lif dan tangga bergerak dijangka berkuatkuasa pada 2022.




"Meskipun mungkin ada pandangan berbeza dan perbahasan sedang berterusan bagi PWM, NTUC ingin memberi tumpuan kepada usaha membantu pekerja.

Kami ingin mempercepat pelaksanaan PWM. Dalam berbuat demikian, kita juga harus memastikan apa yang dilaksana berkesan, menguruskan berbilang butiran dan memberi manfaat kepada pekerja tanpa melahirkan kesudahan yang tidak dijangka. Kita harus bertindak sewajarnya bagi pekerja kita dan memastikan mereka terus menerima gaji, kebajikan dan prospek kerja lebih baik."

- Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng.




PELAN PERLUAS PWM



Tiga sektor baru dikenal pasti untuk sertai PWM:



Pengurusan strata



- kebanyakan pekerja sektor ini tidak dianggap bergaji rendah, tetapi gaji mereka jarang dinaikkan. Berpotensi membantu lebih 5,000 pekerja.



Pengurusan haiwan perosak



- perbincangan dengan pihak berkepentingan dijangka tahun ini. NTUC cadang serah usulan kepada MOM pada pertengahan 2021. Berpotensi membantu 3,000 pekerja.



Teknologi suria



- NTUC telah memulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk memperluas Pelan Pembangunan Kerjaya (CDP) bagi sektor ini yang dilancarkan pada tahun lalu.



* PWM vokasional



- PWM rentas sektor ini bertujuan pertingkat kerjaya kumpulan pekerja dalam jawatan yang serupa tetapi dalam sektor-sektor berlainan. Ini termasuk kerani dan pemandu logistik.



Kemas kini bagi tiga sektor:



Pengurusan sisa



- Kumpulan bekerja Kelompok Perikatan Tiga Pihak telah ditubuh untuk membangun dan melaksanakan PWM.



Khidmat Makanan



- Merentas lapisan industri yang meluas, usulan diharap dibentangkan tahun ini dan PWM dilaksanakan dalam antara dua tiga tahun.



Dagang Runcit



- Dilihat sebagai berpotensi untuk menyertai PWM. Kelompok Perikatan Tiga Pihak diharap dapat dibentuk tidak lama lagi dan PWM dilaksana dalam dua tiga tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >