PEMBINAAN tiga lagi stesen MRT di Laluan Thomson-East Coast Timur (TEL) akan bermula suku pertama tahun ini.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pada Isnin (25 Jan) ia telah memberi kontrak bagi membina stesen Tanjong Rhu, Katong Park dan Marine Terrace, serta terowong berkaitan.
Nilai kontrak itu sekitar $948 juta, dan pembinaan dijangka siap pada 2023.
Ini pusingan kedua kontrak awam yang telah diberi bagi pembinaan bahagian East Coast, yang sepanjang 13km dan akan mempunyai sembilan stesen, TEL.
Tender pertama kira-kira $555 juta dianugerah November lalu kepada Samsung C & T Corporation bagi membina stesen Marine Parade dan terowong berkaitan.
Kali ini, kontrak pembinaan stesen Tanjong Rhu kira-kira $294 juta dianugerah kepada Bachy Soletanche Singapore-Wai Fong Construction Joint Venture, manakala Shanghai Tunnel Engineering (Singapore) meraih kontrak bagi stesen Katong Park berjumlah $293 juta.
Satu usaha sama antara Ssangyong Engineering & Construction dan Hyundai Engineering & Construction memenangi tender bagi stesen Marine Terrace berjumlah $361 juta.
Kelima-lima syarikat itu kini terlibat atau telah menyiapkan projek kereta api lain di Singapura.
Pembinaan 22 stesen di bahagian Thomson, sepanjang 30 kilometer, sedang giat dijalankan.
Kontrak bagi lima lagi stesen TEL belum dikeluarkan.
TEL akan dibuka secara berperingkat bermula 2019, dengan seluruh laluan 43 km dengan 31 stesen itu beroperasi menjelang 2024.
Ia akan menghubungkan bandar dengan bahagian timur Singapura dan menyediakan perkhidmatan bagi penumpang yang kini tidak mempunyai perkhidmatan MRT secara langsung, seperti di Tanjong Rhu, Siglap, Marine Parade, Upper Pantai Timur dan Bedok South.