Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Empat, lima orang mati dek dadah di sini jika S'pura tidak tegas kawal keadaan

SM Teo: S'pura lawan dadah melalui strategi komprehensif, berkesan rangkumi undang-undang, pendidikan dan pemulihan
May 04, 2023 | 05:30 AM



SITUASI dadah di Singapura tidak seteruk negara lain, dan jauh lebih terkawal berbanding banyak bahagian dunia lain.



Ini kerana Singapura telah membangunkan dan melaksana strategi kawalan dadah komprehensif dan berkesan merangkumi undang-undang, pendidikan dan pemulihan.



Demikian kata Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, di Seminar Pelan Kerja Biro Narkotik Pusat (CNB) 2023 pada 3 Mei.



Dalam ucapannya, Encik Teo berkata dadah terlarang merupakan ancaman sangat serius kepada masyarakat, bukan di Singapura sahaja, malah seluruh dunia.



Beliau memberi contoh di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, kematian berkaitan dadah telah meningkat mencapai jumlah rekod tertinggi.



Pada 2021, 100,000 orang meninggal dunia di Amerika akibat dadah, iaitu lebih 270 kematian setiap hari.



"Jika situasi di Singapura sama macam di AS (Amerika), kita akan mempunyai empat hingga lima kematian akibat dadah setiap hari," kata Encik Teo.



"Kematian merupakan kesan tragik daripada penyalahgunaan dadah, tetapi ia bukan satu-satunya akibatnya. Kalau pun dadah tidak membunuh, ia boleh merosakkan kesihatan fizikal dan mental penyalahguna dadah.



"Penyalahgunaan dan perdagangan dadah juga menyumbang kepada jenayah, rasuah dan keganasan," tambah beliau.



Sebanyak 18 daripada 21 negara Amerika Latin menjadi sumber atau negara transit kokain.



Jenayah ganas seperti pembunuhan, pengeboman dan tembakan juga telah merebak ke seluruh benua tersebut.



Bahkan, Uruguay, yang pernah dianggap sebagai teratur, telah menjadi hab pengedaran dadah global, ujar Encik Teo.



"Hari ini, situasi di Singapura terkawal dengan lebih baik berbanding kebanyakan bahagian di dunia.



"Kita juga telah mengelak daripada menjadi titik transit utama bagi dadah.



"Ini meskipun Singapura merupakan hab pengangkutan antarabangsa utama bagi orang ramai dan barangan, dan jarak dekat kita dengan Segitiga Emas, salah satu kawasan pengeluar dadah global utama," kata Encik Teo.



Beliau menambah bahawa ini disebabkan usaha gigih Singapura melindungi warganya, selain keinginan menjadi bebas dadah.



Antara lain, Singapura mempunyai undang-undang tegas serta penguatkuasaan mantap.



"Penguatkuasaan ketat dan hukuman berat, termasuk hukuman mati bagi mereka yang mengedar sejumlah besar dadah, melindungi warga Singapura dan menyelamatkan banyak nyawa dengan menghalang pengedar," ulas beliau.



Kaedah pengesanan dan penguatkuasaan lebih pantas dan berkesan yang digunakan CNB, seperti kit pemeriksaan dadah mudah alih yang lebih sensitif dan berupaya mengesan pelbagai jenis dadah dengan serta-merta, juga membantu usaha tersebut.



Singapura juga mempunyai pendidikan pencegahan dadah, yang melengkapkan penguatkuasaan dengan memastikan warga, terutamanya belia, memahami bahaya dadah ke atas diri sendiri, orang tersayang dan masyarakat.



Ini dilengkapkan lagi dengan inisiatif peringkat bawahan, seperti yang dijalankan kumpulan pelajar dan masjid yang meningkatkan pengetahuan bahaya dadah.



Satu lagi langkah yang diambil Singapura ialah rejim pemulihan dan penjagaan luar penjara yang berkesan di mana bekas penyalahguna dadah diletak di bawah pemantauan untuk mengurangkan risiko mereka terjerumus semula ke dalam kancah dadah setelah dibebaskan.



"Di beberapa negara lain, dadah menjadi begitu berleluasa dan meresap begitu mendalam ke dalam masyarakat mereka, hinggakan sistem penguatkuasaan, keadilan, jagaan kesihatan dan sokongan sosial mereka bergelut untuk mengatasinya.



"Mereka mengambil pendekatan 'pengurangan bahaya'... di Singapura, kita memilih jalan 'pencegahan bahaya' - untuk mencegah dadah daripada memasuki dan berleluasa dalam masyarakat kita.



"Kita mencegah bahaya yang boleh dilakukan dadah terhadap warga kita dan mengelak daripada ditimpa masalah itu," ujar Encik Teo.




TIGA LANGKAH CEGAH DADAH 



Singapura ambil tiga pendekatan mengatasi masalah dadah:



1. Undang-undang tegas dan penguatkuasaan teguh



2. Pendidikan pencegahan dadah



3. Rejim pemulihan dan penjagaan luar penjara berkesan




Jika situasi di Singapura sama macam di AS (Amerika), kita akan mempunyai empat hingga lima kematian akibat dadah setiap hari.... Kematian merupakan kesan tragik daripada penyalahgunaan dadah, tetapi ia bukan satu-satunya akibatnya. Kalau pun dadah tidak membunuh, ia boleh merosakkan kesihatan fizikal dan mental penyalahguna dadah. Penyalahgunaan dan perdagangan dadah juga menyumbang kepada jenayah, rasuah dan keganasan.



- Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >