Tiga teras bagi terus pacu masyarakat

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menggariskan tiga strategi utama inisiatif M3 dalam menggembleng tenaga seluruh anggota dan aset masyarakat Melayu/Islam bagi memacu masyarakat mencapai kejayaan lebih tinggi. Berikut ucapan penuh beliau dalam bahasa Melayu yang disampaikan di Parlimen semalam.


M3 bermula sebagai satu lingkaran kecemerlangan yang saling melengkapi.

Kejayaan masyarakat Melayu/Islam harus dipacu oleh jalinan kukuh di kawasan kejiranan dan tempat kerja.

Ini adalah misi MESRA (Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat).

M3@Bandar akan menggembleng individu dan aset masyarakat serta nasional di kawasan kejiranan kita, untuk menghubungkan penduduk kepada tahap perkhidmatan terakhir atau 'last-mile service delivery' yang lebih cekap lagi berkesan.

Program masyarakat yang sesuai akan didatangkan lebih dekat kepada penduduk, untuk meningkatkan kesedaran dan kadar penyertaan dalam program-program.

M3@Bandar juga akan mencipta peluang untuk semua, tanpa mengira latarbelakang dan keupayaan, untuk melakukan kerja sukarela dan berkhidmat kepada jiran tetangga.

Para Anggota Parlimen Melayu/Islam PAP kini giat menerajui usaha membentuk M3@Bandar.

Di setiap bandar, agensi-agensi M3 akan berkongsi maklumat tentang anggota masyarakat yang memerlukan dan yang boleh memberi bantuan.

Bersama-sama, mereka akan melakarkan pelan M3 yang memanfaatkan program kemasyarakatan masjid-masjid dan program pendidikan pusat satelit Mendaki serta menggerakkan tenaga sukarelawan M3.

Penubuhan M3@Tampines dan M3@Pasir Ris-Punggol adalah langkah pertama. Enam lagi M3@Bandar akan dilancarkan tahun ini di Bedok, Chua Chu Kang, Jurong, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon dan Woodlands.

Kejayaan M3@Bandar terletak di pundak anggota masyarakat yang juga merupakan aset kita.

Kami mengalu-alukan sumbangan anda, termasuk yang mempunyai kepakaran dan berpengalaman memegang pucuk pimpinan. Anda boleh menjadi inspirasi kepada golongan muda.

Sama ada anda seorang guru, anggota Angkatan Bersenjata Singapura, pegawai Home Team, peguam dan karyawan termasuk dari sektor jagaan kesihatan, anda mempunyai cerita pengalaman hidup yang boleh memberi inspirasi dan menanam semangat kepada anak-anak muda.

Umpamanya, sebagai 'mentor', cerita anda mampu menjadikan mereka mahu memandang lebih jauh, dan tidak mudah berputus asa dalam meredah onak duri kehidupan.

Golongan muda perlu peran contoh yang mereka dapat teladani. Bagi yang berpotensi pula, pergaulan anda bakal membimbing mereka cara menjalin rangkaian profesional dan merebut peluang pekerjaan.

KERJASAMA DENGAN BADAN-BADAN LAIN, GEMBLENG ASET MASYARAKAT

M3 sudah pun menyinsing lengan dengan badan-badan masyarakat yang lain.

Contohnya, lapan badan Melayu/Islam termasuk AMP, LBKM dan 4PM telah berganding bahu untuk menawarkan khidmat sehenti kepada masyarakat di Wisma Geylang Serai melalui Kurnia@WGS.

Kami telah mendengar keprihatinan orang ramai bahawa ada anggota masyarakat yang memerlukan bantuan kadangkala tidak tahu di mana untuk mendapatkan pertolongan.

Maka Kurnia@WGS adalah langkah tepat untuk menyepadukan sumber dan kekuatan badan-badan masyarakat serta bekerjasama dengan M3 di bawah satu bumbung.

Begitu juga, Kesatuan Guru Melayu Singapura (KGMS) yang tampil bersama M3 dan menggalak anggota mereka menjadi sukarelawan.

Para guru memainkan peranan penting di M3@Bandar, sebagai penghubung antara sekolah-sekolah dan masyarakat, dan menjangkaui pelajar di luar bilik darjah.

Sekumpulan peguam mapan pula telah menganjurkan sesi kaunseling guaman bertajuk 'Tipah Tertipu' di bawah Siri 'SHIOK' di Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy, Disember lalu.

Sesi interaktif itu telah meningkatkan pemahaman para penduduk tentang cara melindungi diri daripada sindiket penipuan.

Encik Muhammad Imran Abdul Rahim adalah sukarelawan dan peguam muda M3@Bandar.

Beliau mula berkhidmat di Woodlands pada 2016, setelah menyedari bahawa ramai penduduk menghadapi masalah undang-undang tapi tidak mendapat nasihat sewajarnya.

Imran menggunakan kepakarannya dan berganding bahu dengan peguam muda lain untuk mengadakan beberapa ceramah dan klinik guaman secara percuma, serta membantu di acara-acara kemasyarakatan.

Saya harap contoh positif awal kolaborasi M3 dengan badan-badan masyarakat, dan para sukarelawan, menambah keyakinan Encik Mohamed Irshad kepada potensi M3 membantu masyarakat mencapai kesejahteraan sosial.

Seiring dengan usaha mengajak individu untuk menyumbang sebagai sukarelawan, kita juga akan terus berganding bahu dengan badan kebajikan sukarela (VWO) serta pertubuhan Melayu dan India Muslim setempat. Kita akan menggarap kekuatan masing-masing untuk melipatgandakan bantuan kepada masyarakat.

PUPUK SEMANGAT TIMBA ILMU

Profesor Madya Faishal Ibrahim bertanya bagaimana badan-badan masyarakat menyokong pembangunan anak-anak kita.

Jelas, azam untuk mencapai kecemerlangan perlu dipupuk dalam diri anak-anak kita dari kecil lagi.

Ia bermula dengan menyemai sikap mengambil inisiatif dan berdaya tahan, serta cinta kepada pembelajaran dan ilmu pengetahuan.

Masyarakat kita sudah terbiasa dengan pelbagai kegiatan Bulan Bahasa dan menyambut Ramadan dengan penuh meriah.

Buat julung-julung kalinya, saya ingin mengumumkan bahawa Yayasan Mendaki akan menganjurkan Bulan Raikan Ilmu, pada Oktober nanti. Bulan ini dikhususkan untuk memupuk minat belajar dan cinta pada ilmu, kerana mengejar ilmu adalah budaya orang Melayu Singapura.

Kempen tahun ini akan dimulakan dengan pelancaran Galeri Warisan yang merakam susur galur perjalanan masyarakat Melayu/Islam dalam mengejar ilmu.

Galeri ini juga akan menyorot kembara Mendaki dan mengiktiraf barisan pemimpin terdahulu yang menerajui penubuhan Mendaki.

Sempena Bulan Raikan Ilmu, Mendaki akan menjalankan berbagai aktiviti bersama rakan M3 dan memadatkan Pesta Pembelajaran Mendaki (Mendaki Learning Festival) dengan aktiviti dan peluang sesuai buat setiap peringkat umur.

Misalnya 'Jump Career Fairs' oleh Mendaki Sense dikhususkan untuk golongan pekerja dan profesional yang ingin mendapatkan latihan dan peningkatan kerjaya, sementara 'Future Ready Marketplace' memberi panduan kepada belia untuk menempuh alam pekerjaan.

'PlayFest' pula memberi fokus terhadap pendidikan awal kanak-kanak melalui teknik belajar sambil bermain, di kalangan kanak-kanak prasekolah dan ibu bapa mereka.

Pesta Pembelajaran ini akan turut meraikan para graduan kita yang cemerlang menerusi acara Anugerah Mendaki. Menteri Negara Zaqy Mohamad akan berkongsi lebih lanjut tentang pelbagai usaha Mendaki.

KUKUHKAN SEKTOR AGAMA

Saya ingin sentuh tentang kehidupan beragama kerana ia banyak mempengaruhi nilai-nilai masyarakat kita.

Profesor Madya Fatimah Lateef dan Dr Intan Azura Mokhtar telah mengajukan soalan tentang usaha untuk mempersiap asatizah dalam menghadapi dunia yang pantas berubah, serta perkembangan tentang pelan untuk membina sebuah Kolej Islam Singapura (SIC).

Asatizah adalah tunggak bimbingan agama yang menganjurkan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

Kami meletakkan harapan tinggi agar golongan asatizah menjadi ulama dan pemimpin agama ulung, yang dapat menyumbang bukan sahaja di Singapura malah seluruh dunia.

Asatizah perlu membina bidang ilmu agama khusus dalam memimpin masyarakat Islam yang hidup harmoni dengan masyarakat lain termasuk masyarakat sejagat.

Dengan ilmu yang dimiliki dalam kedua-dua bidang agama dan sekular, golongan asatizah juga boleh berkhidmat dan terus meningkatkan diri dalam bidang yang saling melengkapi, misalnya kerja sosial, kaunseling, kewangan dan perundangan Islam.

Kami akan merintis jalan dalam dua bidang.

BENTUK JAWATANKUASA ASATIZAH MASA DEPAN, LANCAR SIJIL POS SISWAZAH ISLAM DALAM MASYARAKAT KONTEMPORARI

Pertama, Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Committee on Future Asatizah - COFA) akan ditubuhkan.

Jawatankuasa ini terdiri daripada pemimpin- pemimpin agama dan masyarakat, asatizah dan para profesional yang mempunyai kepakaran relevan.

COFA ingin mengajak masyarakat untuk mencipta bersama visi 'Asatizah Masa Depan', serta kemahiran dan kecekapan yang perlu dimiliki asatizah untuk membimbing masyarakat Melayu/Islam di masa hadapan.

Dengan hasil dapatan daripada usaha-usaha yang diterajui COFA, kami akan dapat berkongsi pelan pembangunan asatizah yang lebih menyeluruh pada akhir tahun ini.

Kedua, sesuai dengan visi 'Asatizah Masa Depan', Muis akan melancarkan Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) bagi semua lulusan jurusan agama pada tahun 2020.

Program pensijilan ini akan menggantikan program Sijil Pengajian Islam Mengikut Konteks (ICON), dan memberi lebih tumpuan agar asatizah mendapat kemahiran yang relevan bagi alam pekerjaan.

Ini juga menyumbang kepada usaha menyeluruh dalam pelan pembentukan Kolej Islam Singapura (SIC). Menteri Negara Kanan Maliki Osman akan memberikan perinciannya sebentar lagi.

Encik Amrin Amin bertanyakan tentang usaha untuk mempertingkat madrasah kita, dan Profesor Madya Faishal mengajukan soalan tentang sokongan Muis kepada Madrasah Wak Tanjong.

Memandangkan sektor madrasah adalah kunci dalam pelan induk untuk membentuk asatizah masa depan, madrasah-madrasah kita juga sedang diperkukuh secara menyeluruh.

Dalam usaha menyokong visi ini, saya ingin berkongsi bahawa sejumlah 26 pelajar dalam kohort pertama Program Diploma International Baccaulaureate (IBDP) telah memulakan pengajian mereka di Madrasah Aljunied baru-baru ini.

Program ini bertujuan melengkapi asatizah masa depan dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih luas, demi membimbing masyarakat selanjutnya.

Di samping itu, Muis juga telah menjalin kerjasama rapat dengan Madrasah Wak Tanjong dan Lembaga pentadbirnya yang baru untuk melaksanakan Pakej Bantuan Menyeluruh demi mengukuhkan pentadbiran dan program pendidikannya dan juga memberi perspektif yang menyeluruh.


GEMBLENG TENAGA MASYARAKAT

"Kejayaan M3@Bandar terletak di pundak anggota masyarakat yang juga merupakan aset kita. Kami mengalu-alukan sumbangan anda, termasuk yang mempunyai kepakaran dan berpengalaman memegang pucuk pimpinan. Anda boleh menjadi inspirasi kepada golongan muda. Sama ada anda seorang guru, anggota Angkatan Bersenjata Singapura, pegawai Home Team, peguam dan karyawan termasuk dari sektor jagaan kesihatan, anda mempunyai cerita pengalaman hidup yang boleh memberi inspirasi dan menanam semangat kepada anak-anak muda. Umpamanya, sebagai 'mentor', cerita anda mampu menjadikan mereka mahu memandang lebih jauh, dan tidak mudah berputus asa dalam meredah onak duri kehidupan. Golongan muda perlu peran contoh yang mereka dapat teladani. Bagi yang berpotensi pula, pergaulan anda bakal membimbing mereka cara menjalin rangkaian profesional dan merebut peluang pekerjaan."

PUPUK SEMANGAT TIMBA ILMU

"Jelas, azam untuk mencapai kecemerlangan perlu dipupuk dalam diri anak-anak kita dari kecil lagi. Ia bermula dengan menyemai sikap mengambil inisiatif dan berdaya tahan, serta cinta kepada pembelajaran dan ilmu pengetahuan. Masyarakat kita sudah terbiasa dengan pelbagai kegiatan Bulan Bahasa dan menyambut Ramadan dengan penuh meriah. Buat julung-julung kalinya, saya ingin mengumumkan bahawa Yayasan Mendaki akan menganjurkan Bulan Raikan Ilmu, pada Oktober nanti. Bulan ini dikhususkan untuk memupuk minat belajar dan cinta pada ilmu, kerana mengejar ilmu adalah budaya orang Melayu Singapura. Kempen tahun ini akan dimulakan dengan pelancaran Galeri Warisan yang merakam susur galur perjalanan masyarakat Melayu/Islam dalam mengejar ilmu."

PERKUKUH SEKTOR AGAMA

"Asatizah adalah tunggak bimbingan agama yang menganjurkan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Kami meletakkan harapan tinggi agar golongan asatizah menjadi ulama dan pemimpin agama ulung, yang dapat menyumbang bukan sahaja di Singapura malah seluruh dunia. Asatizah perlu membina bidang ilmu agama khusus dalam memimpin masyarakat Islam yang hidup harmoni dengan masyarakat lain termasuk masyarakat sejagat. Dengan ilmu yang dimiliki dalam kedua-dua bidang agama dan sekular, golongan asatizah juga boleh berkhidmat dan terus meningkatkan diri dalam bidang yang saling melengkapi, misalnya kerja sosial, kaunseling, kewangan dan perundangan Islam... Memandangkan sektor madrasah adalah kunci dalam pelan induk untuk membentuk asatizah masa depan, madrasah-madrasah kita juga sedang diperkukuh secara menyeluruh."