MASIH terdapat tiket bas yang tersedia bagi tempoh 30 hari pertama bagi Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) (Darat) antara Singapura dengan Malaysia merentas Koswe yang bermula 29 November ini.
Sehingga 4 petang Khamis (25 Nov), lebih 90 peratus dan 70 peratus tiket Transtar masing-masing ke Singapura dan Malaysia masih ada, demikian menurut satu kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Transtar Travel, salah satu daripada dua pengendali bas yang dilantik, telah menjual kira-kira 4,400 tiket bas VTL (Darat) bagi tempoh 30 hari pertama, setakat 4 petang Khamis.
Kira-kira tiga perempat daripada tiket itu adalah untuk perjalanan dari Singapura ke Malaysia, dan baki satu perempat untuk perjalanan dari Malaysia ke Singapura.
Syarikat bas Singapura itu antara dua syarikat bas yang dibenarkan menawarkan 64 perjalanan ulang-alik antara Singapura dengan Johor bermula 29 November ini.