Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FATWA BERKENAAN TUDUNG BAGI PEKERJA PENJAGAAN KESIHATAN BERSERAGAM

Timbang dengan teliti berdasar prinsip, keadaan, nilai agama: Mufti

Oct 27, 2021 | 05:30 AM



FATWA berkaitan pemakaian tudung dalam perkhidmatan pakaian seragam yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) semalam bertujuan membimbing kaum muslimah setempat untuk mempertimbang situasi unik mereka dengan teliti serta memperkasa mereka dengan prinsip dan nilai agama untuk membuat keputusan yang seimbang dan baik bagi diri mereka sendiri.



Semasa menerangkan pendekatan dan pertimbangan yang diambil dalam membangunkan fatwa itu semalam, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata fatwa itu ingin memperkasa dan membimbing pegawai yang terjejas untuk membuat penyesuaian yang rapi dan berprinsip di samping meneliti situasi masing-masing.



"Pegawai yang berbeza mungkin mempunyai keperluan peribadi yang berbeza... dan ini (boleh) dijadikan sebahagian daripada pertimbangan semasa menilai situasi masing-masing untuk membuat keputusan yang tepat.



"Ini adalah dimensi berbeza bagi fatwa ini, yang baru dan agak kritikal, namun saya amat berterima kasih kepada Jawatankuasa Fatwa yang telah bekerja keras untuk memikirkan kerumitan hal ini dan kesan pada masa akan datang serta mendalami tradisi Muslim untuk mengenal pasti prinsip dan nilai yang membolehkan kami menghasilkan panduan ini," ujarnya.



Dr Nazirudin berkata demikian semasa satu sesi pendekatan dengan pihak berkepentingan yang dihadiri wakil sektor penjagaan kesihatan, pemimpin masyarakat dan asatizah di Hab Islam Singapura di Braddell Road semalam.



Menurutnya, usaha mencapai keseimbangan antara mematuhi kewajipan agama dengan mematuhi syarat pakaian seragam di tempat kerja perlu ditangani dengan sensitif.



"Ramai orang mungkin tidak sedar sepenuhnya akan pelbagai prinsip dan cara seorang Muslim harus mencapai keseimbangan itu.



"Ini adalah amat penting dan berdasarkan perundingan dan pendekatan yang kami adakan dengan pegawai (berseragam), kami cuba memahami kerumitan situasi yang mereka alami serta dorongan bagi peranan yang mereka mainkan dalam... pembangunan negara," ujarnya.



Usaha mencapai keseimbangan ini membentuk sebahagian penting pertimbangan yang diambil Jawatankuasa Fatwa.



Tambahnya, anggota jawatankuasa itu menghabiskan banyak masa menghasilkan panduan yang berdasarkan prinsip dan matlamat agama serta mengambil kira pengalaman dan situasi berbeza individu.



Dr Nazirudin juga akur bahawa isu tudung di tempat kerja sudah lama wujud dan dibahaskan orang ramai.



Oleh itu, beliau turut menjangkakan tanggapan orang awam berhubung hal ini akan dipengaruh oleh apa yang telah dibincangkan sebelum ini.



Menurutnya, beliau dan anggota Jawatankuasa Fatwa yang lain sedar akan hal itu sedang mereka membangunkan panduan tersebut dan perlunya untuk menyampaikan mesej fatwa itu dengan jelas.



Namun selain itu, Dr Nazirudin turut memberi jaminan bahawa jawatankuasa tersebut dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan terus membantu masyarakat memahami panduan itu serta memperjelas sebarang isu atau keprihatinan yang mungkin timbul.



Beliau turut menarik perhatian peranan penting yang boleh dimainkan pihak berkepentingan seperti asatizah, badan Melayu/Islam, sektor penjagaan kesihatan dan generasi muda untuk memastikan fatwa itu dapat difahami dengan jelas oleh masyarakat.



Sedang masyarakat Muslim membuat penyesuaian sewajarnya yang menekankan nilai, prinsip dan matlamat agama, fatwa itu juga menggesa masyarakat mengukuhkan hubungan antara masyarakat berbeza agar penampilan dan simbol keagamaan tidak menghambat usaha mengukuhkan perpaduan sosial.



"Oleh itu, adalah penting kita mengambil pendekatan dua serampang untuk mendidik masyarakat supaya mereka memahami panduan agama dan pada masa yang sama, kita juga mahu terus mengukuhkan hubungan (dengan masyarakat lain)," ujar Dr Nazirudin.



Jawatankuasa Fatwa Muis mengeluarkan fatwa mengenai pemakaian tudung bagi kaum muslimah yang bertugas sebagai pegawai kesihatan serta mereka yang bertugas dalam perkhidmatan awam yang mengenakan pakaian berseragam.



Fatwa ini merupakan jawapan bagi pertanyaan yang diterima daripada jururawat dan pegawai awam setelah pemerintah mengumumkan tentang perubahan polisi, bahawa jururawat boleh memakai tudung jika mereka mahu mulai 1 November.



Semasa mengumumkan demikian di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) Ogos lalu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, turut berkata pegawai perkhidmatan awam berseragam termasuk pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan polis tetap tidak dibenarkan memakai tudung dengan pakaian sergam mereka atas sebab-sebab yang sangat genting.



Dr Nazirudin berkata ini yang menimbulkan pertanyaan di kalangan mereka yang terjejas yang ingin tahu sama ada mereka masih boleh meneruskan tugas mereka dalam bidang tersebut.



"Di situ timbul persoalan yang memerlukan panduan agama bagi kedua-dua sektor tersebut (pegawai kesihatan serta mereka yang bertugas dalam perkhidmatan awam yang mengenakan pakaian berseragam) secara amnya dan kerana itu Jawatankuasa Fatwa memikirkan panduan yang perlu diberikan kepada kedua-dua situasi tersebut," ujarnya.




“Pegawai yang berbeza mungkin mempunyai keperluan peribadi yang berbeza... dan ini (boleh) dijadikan sebahagian daripada pertimbangan semasa menilai situasi masing-masing untuk membuat keputusan yang tepat. Ini adalah dimensi berbeza bagi fatwa ini, yang baru dan agak kritikal, namun saya amat berterima kasih kepada Jawatankuasa Fatwa yang telah bekerja keras untuk memikirkan kerumitan hal ini dan kesan pada masa akan datang serta mendalami tradisi Muslim untuk mengenal pasti prinsip dan nilai yang membolehkan kami menghasilkan panduan ini.”
– Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >