LOKASI strategik kawasan timur Singapura - yang meliputi Bedok, Bedok Reservoir, Tampines, Pasir dan Changi - yang dekat dengan Kawasan Pusat Bandar (CBD), Lapangan Terbang Changi dan tapak perindustrian menjadikan kawasan itu tumpuan pembangunan sejak Singapura menikmati kemerdekaan.
Bermula dengan pembangunan di kawasan kampung di Geylang, Kaki Bukit dan kawasan sekitarnya yang terletak dekat dengan bandar dan lapangan terbang pertama Singapura di Paya Lebar, kawasan timur telah menjalani pembangunan pesat apabila Singapura mengorak langkah mencapai visi menjadi negara maju.