Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ISU RUANG UDARA-LAUT SINGAPURA-MALAYSIA

Tindakan ceroboh perairan S'pura tidak wajar, tidak boleh diterima

Dec 09, 2018 | 05:30 AM



TINDAKAN Malaysia menceroboh perairan Singapura dekat Tuas berulang kali dan secara sengaja adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima sama sekali.



Beberapa pengamat dan warga juga berkata ketegangan yang kini membelenggu hubungan Singapura dan Malaysia itu mungkin didorong tekanan domestik yang dihadapi kerajaan baru Pakatan Harapan di seberang tambak itu.



Namun, pengamat juga menggesa kedua-dua negara agar segera meredakan keadaan dan menggunakan laluan diplomasi untuk meleraikan pertikaian ruang udara dan kawasan perairan yang semakin tegang itu.



Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Zulkifli Baharudin, berkata: "Adalah tidak boleh diterima bagi sesiapa pun untuk mencerobohi dengan sengaja.



"Sebagai jiran yang baik dan rapat, tindakan intimidasi di peringkat itu tidak sihat kerana akibatnya padah. Sebagai jiran yang rapat, ia menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan iklim persahabatan, pemahaman, saling percaya, dan semangat muhibah sentiasa dipelihara."



Selasa lalu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, mengumumkan hasrat negara itu mengambil semula ruang udara di selatan Johor - yang tanggungjawab menguruskannya diberikan kepada Singapura.



Selang beberapa jam kemudian, Singapura menggariskan keprihatinannya terhadap langkah Kuala Lumpur meluaskan had pelabuhan Johor Bahru hingga memasuki perairan Singapura.



Khamis lalu, Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, mengumumkan Singapura telah memperluas had pelabuhannya sendiri menyusuli sebanyak 14 pencerobohan dilakukan kapal Malaysia dalam tempoh lebih seminggu antara 24 November dengan 5 Disember.



Bagaimanapun, Encik Zulkifli meluahkan rasa optimis terdapat semangat muhibah yang mencukupi untuk menghuraikan masalah itu.



"Saya yakin kededua pihak mempunyai semangat muhibah untuk mengatasinya. Akan ada 'luka' dan 'lebam' yang mungkin makan masa untuk pulih, lebih-lebih lagi dengan adanya kerajaan baru di Malaysia ini.



"Tetapi adalah dalam kepentingan Singapura dan Malaysia untuk kekal matang dalam hubungan diplomatik dan mengatasi masalah apabila ia timbul," ujar Encik Zulkifli.



Katanya lagi, kededua pihak "tiada pilihan lain" kecuali menggunakan saluran diplomatik untuk mengatasi pertikaian tersebut, dan suasana ketegangan itu "tidak akan menguntungkan mana-mana pihak."



Dr Norshahril Saat, Zamil di Institut Iseas-Yusof Ishak, juga berkata kededua pihak harus optimis bahawa pertikaian itu dapat dihuraikan secara diplomatik.



"Kerjasama ekonomi antara kedua negara kukuh dan boleh memainkan peranan penting demi kesepaduan Asean.



"Adalah agak malang tengkarah ini berlaku apabila pertemuan Asean baru sahaja selesai. Ini menunjukkan walaupun ada perpaduan, Asean masih dibelenggu isu-isu dua hala.



"Ini akan sentiasa berlaku namun tidak seharusnya menjejas perpaduan Asean sebagai sebuah kumpulan yang menyelaraskan kerjasama politik, strategik dan ekonomi," terang beliau.



Namun, ada pengamat juga yang menjangka pertikaian antara Singapura dan Malaysia mengenai ruang udara dan kawasan perairan itu akan berterusan bagi masa lebih lama.



Zamil di Institut Iseas-Yusof Ishak, Dr Mustafa Izzuddin, berpendapat isu itu mungkin ditimbulkan kerana kerajaan Malaysia berdepan tekanan domestik bagi mempertahankan kepentingan nasional dan mahu menambat hati rakyat, khususnya warga Johor.



Menurutnya, di bawah kerajaan baru itu, isu dua hala dijangka mendapat perhatian awam kerana disorot dalam media.



"Justeru isu dua hala akan mengambil masa lebih lama untuk dihuraikan, tetapi pada akhirnya, ia memerlukan tahap iltizam diplomatik yang tinggi untuk mencapai hasil yang dirundingkan," ujarnya.



Bersetuju, pensyarah undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan, berpendapat isu perairan mungkin akan mengambil masa lebih lama kerana proses timbang tara atau prosiding Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan memakan masa.



"Tetapi isu lapangan terbang mungkin dihuraikan lebih awal kerana ia melibatkan anak syarikat sebuah syarikat penerbangan Malaysia dan perlu mematuhi peraturan ICAO," ujarnya.



Tambah beliau, sama ada pertikaian itu akan mengambil masa pendek atau panjang dihuraikan, mesej domestik yang ingin disampaikan kerajaan Malaysia tidak boleh diendahkan.



Penasihat utama Pusat Kajian Pasifik, Encik Oh Ei Sun tidak fikir bahawa had pelabuhan Johor Baru baru adalah provokasi yang disengajakan dan boleh dihuraikan selepas penjelasan.



Pengalaman lalu menunjukkan 'corak' bagaimana pertikaian di antara Singapura dan Malaysia mencari huraian, menurut Encik Oh.



"Lazimnya akan ada tuntutan secara umum tentang pelanggaran kedaulatan disusuli dengan rundingan dua hala intensif, dan jika gagal, akan terdapat persetujuan bersama untuk menjalani timbang tara atau penghukuman.



"Ini adalah contoh baik bagaimana negara berjiran boleh mengatasi pertikaian secara matang dan aman," tambahnya.



Dalam menghadapi pertikaian dua hala, Dr Mustafa menegaskan, "bagi rakyat Singapura, matlamat utama ialah kekal tenang, tegas dan menutup jurang bagi memastikan kepentingan nasional Singapura dilindungi dengan baik".



Warga seperti Dr Abdul Razak Razakjr Omar pula berkata beliau kurang pasti kenapa isu maritim itu ditimbul masa kini.



"Sekarang yang dipersoalkan ialah isu maritim. Pada masa hadapan, kita tidak tahu isu apa lagi akan ditimbulkan - isu air, jambatan?



"Yang penting rakyat Singapura harus tegas mempertahankan kedaulatan Singapura.



"Mengikuti undang- undang dan perjanjian yang sudah dipersetujui melambangkan tatasusila dan adab mulia."



" Tali jangan putus, kaitan jangan sekah," kata Dr Razakjr seorang pakar jantung.




''Adalah tidak boleh diterima bagi sesiapa pun untuk mencerobohi dengan sengaja. Sebagai jiran yang baik dan rapat, tindakan intimidasi di peringkat itu tidak sihat kerana akibatnya padah. Sebagai jiran yang rapat, ia menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan iklim persahabatan, pemahaman, saling percaya, dan semangat muhibah sentiasa dipelihara.''
- Encik Zulkifli Baharudin, Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang berkata pencerobohan kapal Malaysia yang berulang kali memasuki perairan wilayah Singapura dengan sengaja ''tidak boleh diterima sama sekali''.




''Kerjasama ekonomi antara kedua negara kukuh dan boleh memainkan peranan penting demi kesepaduan Asean. Adalah agak malang tengkarah ini berlaku apabila pertemuan Asean baru sahaja selesai. Ini menunjukkan walaupun ada perpaduan, Asean masih dibelenggu isu-isu dua hala. Ini akan sentiasa berlaku namun tidak seharusnya menjejas perpaduan Asean sebagai sebuah kumpulan yang menyelaraskan kerjasama politik, strategik dan ekonomi.''
- Dr Norshahril Saat, Zamil di Institut Iseas-Yusof Ishak, berkata kededua pihak harus optimis bahawa pertikaian itu dapat dihuraikan secara diplomatik.




''(Isu) ini rata-ratanya disebabkan tekanan domestik yang dihadapi kerajaan Malaysia untuk melindungi kepentingan negaranya, dan bagi kerajaan baru untuk menambat hati rakyat, khususnya warga Johor. Kerajaan Malaysia yang baru ingin menunjukkan rakyatnya bahawa ia kuat, berupaya dan cekap untuk melindungi kepentingan negaranya.''
- Dr Mustafa Izzuddin, Zamil di Institut Iseas-Yusof Ishak.




''Yang penting rakyat Singapura harus tegas mempertahankan kedaulatan Singapura. Mengikuti undang- undang dan perjanjian yang sudah dipersetujui melambangkan tatasusila dan adab mulia. Tali jangan putus, kaitan jangan sekah''
- Dr Abdul Razakjr Omar, pakar jantung.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >