Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LANGKAH MUIS ARAH HENTI IMPORT DAGING HALAL DARI TFIL

Tindakan Muis dialu-alu pastikan piawaian tinggi daging halal SG, tak akan jejas bekalan

Pengendali daging di sini juga tegaskan ada banyak sumber alternatif
Jun 03, 2022 | 05:30 AM



PENGENDALI daging halal di sini mengalu-alukan langkah melarang penggunaan produk daging dari rumah penyembelihan Australia Thomas Foods International Lobethal (TFIL), sambil menyifatkan larangan segera itu memastikan piawaian tinggi daging halal dipatuhi.



Larangan itu tidak akan menjejas bekalan daging halal di Singapura kerana terdapat banyak lagi sumber alternatif, termasuk dari pusat penyembelihan lain di Australia, ujar beberapa pengendali daging halal tempatan, termasuk pengeluar makanan dan restoran, yang dihubungi Berita Harian (BH).



Selasa lalu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengarahkan pemilik sijil halal tempatan berhenti menggunakan dan mengimport produk daging TFIL kerana rumah penyembelihan itu didapati telah melanggar prosedur penyembelihan halal hingga menjejas integriti daging halal yang dikendalikannya.



Peniaga daging halal yang ditinjau berkata langkah Muis itu penting bagi menjamin status halal produk daging yang dijual di sini.



Mengalu-alukan langkah tersebut, pemilik bersama kedai daging The Meatery, Encik Rafiq Abdullah Vellasamy, berkata ia menunjukkan Muis mengambil serius dakwaan yang diterima mengenai produk daripada TFIL.



"Tindakan tersebut penting kerana ia menunjukkan bahawa pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga berdasarkan penemuan mereka berkaitan prosedur yang tidak dipatuhi itu.



"Ia juga telah menjalankan siasatan teliti bagi memastikan syarat-syarat piawaian dipatuhi," kata Encik Rafiq, yang lebih dikenali dengan panggilan Renga.



Beliau mengendalikan The Meatery, yang menjual daging mentah termasuk potongan daging premium seperti wagyu dan angus, di Sunset Way bersama isterinya, Cik Sophina Mohd Irwan.



The Meatery mendapatkan produk daging halal daripada sumber berbeza dari luar negara, termasuk dari pusat penyembelihan JBS di Australia dan penjual borong tempatan, kata Encik Rafiq.



"Ada beberapa rumah penyembelihan lain di Australia yang mendapat pensijilan halal Muis, jadi secara keseluruhan saya tidak rasa kejadian ini akan menjejas teruk bekalan di Singapura.



"Kami sendiri di sini mengambil produk daripada sekitar 12 sumber berbeza," katanya.



Beliau menambah bahawa The Meatery tidak banyak terjejas kerana tidak pernah membekalkan produk dari TFIL sebelum ini.



Penyedia khidmat lapangan terbang dan katering penerbangan Sats pula memberitahu BH larangan Muis itu tidak menjejas operasinya.



"Sats tidak terjejas oleh insiden ini," ujar syarikat itu.



Kelmarin Muis menyatakan import dari TFIL membentuk hanya sebahagian daripada daging halal yang diimport dari Australia.



Justeru secara keseluruhan bekalan daging halal ke cawangan yang diberi pensijilan halal Muis di sini tidak banyak terkesan.



Muis juga telah mengenal pasti pemegang sijil halal terjejas dan akan mendekati mereka secara langsung bagi mendapatkan alternatif bekalan yang mematuhi protokol halal.



Pemeriksaan juga akan dijalankan agar peraturan dipatuhi, ujar Muis.



Pemilik Nazneen Meat House, Encik Khaja Maideen, berkata daging yang dibekalkan TFIL lebih tertumpu pada produk daging kambing dan biri-biri yang biasanya kurang diminta pelanggan kedainya.



"Biasanya di sini orang lebih banyak cari daging lembu berbanding daging kambing.



"Tapi mungkin dengan kejadian ini harga daging kambing dan biri-biri akan meningkat sedikit," ujarnya.



Namun, beliau menekankan bahawa kenaikan harga ini dilihat secara keseluruhan bagi semua produk makanan yang bermula sejak Covid-19 melanda sekitar dua tahun lalu.



Meskipun demikian, Encik Khaja berkata beliau masih mampu menampung kenaikan harga itu buat masa ini dan belum menaikkan harga barangan yang dijual.



"Tindakan yang diambil Muis memang baik kerana ini menunjukkan pihak berkuasa serius berusaha menjaga apa yang dimakan masyarakat Islam di sini," kata Encik Khaja.



Dalam pada itu, rumah penyembelihan di negara lain, seperti Brazil, turut menjadi sumber alternatif bagi peniaga di sini.



Justeru, pemilik kedai menjual daging gourmet SALAI by MeatDrop, Encik Ahmad Shakirin Roslan, berkata pihaknya tidak begitu cemas dengan tindakan Muis kerana menurutnya ada banyak rumah penyembelihan halal lain.



"Kami tidak tertumpu pada satu jenama sahaja. Di Australia ada banyak rumah penyembelihan yang boleh kita dapatkan bekalan.



"Kami juga boleh mengharapkan bekalan daripada negara lain, seperti Brazil," katanya.



Produk daging TFIL - khususnya produk daging kambing dan biri-biri - banyak digunakan restoran di Singapura disebabkan mutunya yang tinggi sebelum ini, menurut cef selebriti Amri Abdul Azim, yang memiliki restoran Steak Me di Jalan Kayu.



Ini termasuk restorannya sendiri sebelum ini, namun wabak Covid-19 menjejas bekalan produk yang diperlukan - seperti 'lamb rack' - dan beliau memutuskan untuk menukar pembekal.



"Sebelum Covid-19, memang Thomas Food pembekal utama yang kami gunakan memandangkan mutunya yang baik. Ia juga digunakan banyak restoran lain dan jenamanya memang popular.



"Tapi bagi pihak kami, apa sahaja produk yang digunakan di restoran, kami akan minta pensijilan halal dari negara asal dan kumpulkannya sebagai bukti jika pelanggan ingin tahu," kata Encik Amri, yang kini menggunakan daging yang dibekal di bawah jenama lain, seperti Silver Fern Farms dan Fletcher. - Laporan tambahan

SHAHIDA SARHID




"Tindakan tersebut (arahan Muis agar pemilik sijil halal Singapura berhenti menggunakan dan mengimport produk daging TFIL) penting kerana ia menunjukkan bahawa pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga berdasarkan penemuan mereka berkaitan prosedur yang tidak dipatuhi itu. Ia juga telah menjalankan siasatan teliti bagi memastikan syarat-syarat piawaian dipatuhi."
- Encik Rafiq Abdullah Vellasamy, pemilik bersama kedai daging The Meatery.



"Tindakan yang diambil Muis memang baik kerana ini menunjukkan pihak berkuasa serius berusaha menjaga apa yang dimakan masyarakat Islam di sini."
- Encik Khaja Maideen, pemilik Nazneen Meat House.



"Kami tidak tertumpu pada satu jenama sahaja. Di Australia ada banyak rumah penyembelihan yang boleh kita dapatkan bekalan. Kami juga boleh mengharapkan bekalan daripada negara lain, seperti Brazil."
- Encik Ahmad Shakirin Roslan, pemilik kedai menjual daging gourmet SALAI by MeatDrop.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >