Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tinjauan IPS: Keluarga paling penting, keutamaan kerja merosot

Tinjauan ke atas nilai penduduk kaji tanggapan keutamaan individu
Feb 04, 2021 | 05:30 AM



KELUARGA kekal sebagai perkara paling penting dalam kehidupan penduduk di Singapura, menurut satu tinjauan global terhadap nilai.



Sementara itu, bilangan yang menganggap kerja sebagai penting telah merosot sejak dua dekad lalu - dari tempat kedua paling penting pada 2002 kepada kelima paling penting pada 2020.



Ini merupakan antara dapatan Tinjauan Nilai Dunia (WVS) yang dibentangkan dalam laporan Our Singaporean Values (Nilai Singapura Kita) oleh Institut Pengajian Dasar (IPS).



Laporan itu, yang dikeluarkan semalam, mengkaji respons seramai 2,012 peserta Singapura, merangkumi warga dan penduduk tetap, bagi tinjauan tersebut.



Keutamaan hidup



Laporan itu mengkaji tanggapan dari aspek keutamaan individu, etika peribadi, agama dan keagamaan, keluarga dan jantina, ekonomi dan pekerjaan, masyarakat serta politik dan pentadbiran.



Dari segi keutamaan peribadi, seramai 99 peratus menganggap keluarga sebagai penting, diikuti rakan (91.8 peratus), kekayaan (86.7 peratus), masa lapang (86 peratus), kerja (82.6 peratus), agama (65.3 peratus) dan politik (43.4 peratus).



Tinjauan itu juga menunjukkan ramai di Singapura yang mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap orang tua.



Kebanyakan di Singapura 'amat setuju' (28.6 peratus) atau 'setuju' (57.6 peratus) bahawa antara matlamat utama dalam hidup adalah untuk membanggakan ibu bapa. Kadar ini merupakan antara yang tertinggi di dunia, berbanding negara lain yang ditinjau.



Pendirian



Dalam pada itu, tinjauan itu juga mengkaji pendirian peribadi dan prinsip penduduk di Singapura mengenai pelbagai perkara.



Hampir semua responden menolak perbuatan yang membahayakan orang lain seperti pengganasan dan keganasan, serta jenayah seperti pencurian, rasuah dan elak cukai.



Responden di Singapura juga lebih cenderung berpandangan konservatif mengenai isu keluarga dan keseksualan seperti homoseksual, ibu bapa yang memukul anak, pengguguran, seks kasual, dan pelacuran.



Namun, majoriti yang berkata hukuman mati, perceraian, seks sebelum nikah, dan eutanasia (mengakhiri nyawa) kadang kala boleh diterima.



Agama



Berhubung keagamaan pula, kebanyakan (78.4 peratus) berkata agama pada asasnya adalah berbuat baik kepada orang lain, berbanding mengikuti norma dan upacara agama (21.6 peratus).



Namun, dibandingkan antara pelbagai kumpulan agama, responden Muslim (34.7 peratus) menyatakan norma dan upacara keagamaan adalah penting.



Dari segi kepercayaan, lebih 80 peratus menyatakan Tuhan penting dalam kehidupan.



Bagaimanapun, bilangan yang berkata Tuhan tidak penting telah meningkat dalam tempoh dua dekad - dari 9.4 peratus (2002) kepada 13 peratus (2012) dan 18.2 peratus (2020).



"Sedang kebanyakan masih akur pentingnya Tuhan dalam kehidupan mereka, keagamaan secara keseluruhannya telah merosot dalam dua dekad," menurut laporan itu.



Kekeluargaan



Tinjauan itu juga mendalami nilai yang ingin dipupuk responden Singapura dalam generasi muda.



Budi pekerti, sikap bertanggungjawab, hormat kepada orang lain disifatkan sebagai ciri-ciri paling untuk anak.



Namun, ciri-ciri seperti kerja keras, berjimat cermat dan ketaatan yang ingin dipupuk ibu bapa telah merosot.



Empat dalam lima responden Singapura setuju bahawa anak dewasa bertanggungjawab menjaga ibu bapa, dan kadar ini merupakan yang antara tertinggi di dunia.



Majoriti responden (69 peratus) tidak setuju lelaki merupakan pemimpin lebih baik dalam politik atau perniagaan, tetapi ramai (67 peratus) juga akur kehidupan sebagai suri rumah juga boleh memberi sama kepuasan seperti kerja yang bergaji.



Ekonomi, masyarakat dan politik



Sementara itu, kebanyakan (60 peratus) responden menganggap perlindungan sekitaran lebih utama daripada pertumbuhan ekonomi, terutamanya generasi muda.



Tetapi dilihat dari segi keutamaan negara pula, kebanyakan menganggap pertumbuhan ekonomi dan pertahanan negara yang kukuh sebagai paling penting.



Hampir separuh responden pula tidak ada kecenderungan politik, tetapi seramai 30 peratus cenderung pandangan sayap kiri, dan 20 peratus sayap kanan.




SEKILAS DAPATAN



- Keluarga paling penting bagi kebanyakan orang di Singapura (lebih 90%)



- Tanggapan tentang kepentingan kerja telah merosot antara 2002 (kedua paling penting) dan 2020 (kelima paling penting)



- Kebanyakan di Singapura (86%) anggap antara matlamat utama dalam hidup adalah membanggakan ibu bapa, kadar tertinggi di dunia



- Ramai berpandangan konservatif tentang isu seperti homoseksualiti, pengguguran anak, dan seks kasual



- Lebih 80% akur kepentingan Tuhan dalam kehidupan, tetapi keagamaan merosot sedikit sepanjang dua dekad



Sumber: Laporan 'Our Singaporean Values' (Nilai Singapura Kita) oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) mengenai dapatan Tinjauan Nilai Dunia 2020




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >