Tinjauan Reach: Warga prihatin penularan berita palsu , Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Tinjauan Reach: Warga prihatin penularan berita palsu

Akhbar, televisyen dan radio sumber utama berita yang dipercayai bagi 68 peratus penduduk Singapura
Mar 27, 2018 | 05:30 AM

MAJORITI warga Singapura melahirkan rasa prihatin tentang penularan berita palsu dan menyokong langkah memperkukuh undang-undang demi menangani isu tersebut.

Dapatan satu tinjauan yang dijalankan unit maklum balas pemerintah, Reach, juga menunjukkan responden akur perlunya diadakan undang-undang lebih berkesan supaya mereka yang menyiarkan berita palsu dengan sengaja boleh dibawa ke muka pengadilan, jika perbuatan mereka membawa kesan yang serius.

Mengumumkan dapatan tinjauan yang dijalankan itu, Reach dalam kenyataannya semalam berkata ramai warga Singapura akur bahawa mereka sering menemui berita palsu.

Dan adalah tidak mudah bagi orang ramai membezakan apa yang mereka baca di media sosial atau apa yang mereka mungkin terima di peranti mudah alih.

"Justeru ramai yang prihatin dengan sebaran berita palsu dan rasakan perlu ada usaha yang lebih luas untuk menangani masalah itu," kata Reach dalam kenyataan itu.

Discover Malay Home Based Businesses

Unit itu juga menekankan peri penting peranan pemerintah, media dan media sosial menangani sebaran berita palsu.

Tinjauan Reach dijalankan selaras dengan usaha memahami sikap awam tentang maklumat palsu.

Dua tinjauan menerusi temu ramah telefon yang dibantu komputer telah diadakan pada Mei tahun lalu dan Februari tahun ini.

Dalam fasa pertama yang diadakan pada 8 hingga 19 Mei tahun lalu, seramai 1,617 penduduk Singapura terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap negara ini, yang berusia 15 dan ke atas, telah dipilih secara rambang, untuk memberi pandangan mereka.

Sementara tinjauan fasa kedua, yang dijalankan daripada 12 hingga 20 Februari tahun ini, pula melibatkan 887 responden.

Hasil tinjauan yang diadakan Mei tahun lalu tidak banyak berbeza daripada hasil yang diperolehi daripada tinjauan yang dijalankan Februari lalu.

Tinjauan yang dijalankan tahun ini, antara lain menunjukkan sebilangan besar atau 68 peratus mendapatkan maklumat berita dan ehwal semasa menerusi sumber aliran utama seperti akhbar, televisyen dan radio.

Namun 66 peratus juga mendapatkan berita dan ehwal semasa menerusi sumber online.

Dalam tinjauan terkini, 77 peratus responden pernah menemui berita online yang mereka fikir tidak tepat dalam tempoh setahun lalu.

Sekitar empat dalam 10 responden pula pernah menemui berita palsu yang ada kaitan dengan Singapura.

Mereka yang ditinjau juga ditanya tentang sumber utama berita palsu.

Dalam hal ini, hampir separuh atau 50 peratus di kalangan responden yang menemui berita kurang tepat berkata, mereka sering menemui berita sedemikian menerusi WhatsApp.

Facebook juga disebut sebagai salah satu sumber utama berita palsu dengan 46 peratus responden berkata mereka sering menemui berita tidak tepat di Facebook.

Selain sumber berita palsu, tinjauan Reach cuba mendapatkan tahap keyakinan penduduk mengesan berita palsu.

Mereka antara lain ditanya sama ada mereka yakin akan keupayaan mereka sendiri dalam mengenal pasti berita palsu.

Hampir separuh responden yakin akan keupayaan mereka sendiri untuk membezakan berita palsu daripada berita benar.

Namun apabila ditanya sama ada rakyat Singapura berupaya mengenal pasti berita palsu, hanya satu dalam tiga responden akur tentang perkara tersebut.

Tinjauan Reach juga berusaha mendapatkan tahap keprihatinan warga tentang masalah sebaran berita palsu.

Tinjauan jelas menunjukkan majoriti warga bimbang tentang isu tersebut dengan 64 peratus melahirkan keprihatinan.

Penduduk juga diminta memberi pendapat tentang cara menangani masalah itu.

Tinjauan Reach menunjukkan 80 peratus responden menyokong usaha lebih luas memperkukuh undang-undang demi menangani isu penularan berita palsu.

Mengulas tentang dapatan tinjauan itu, Menteri Negara Di Pejabat Perdana Menteri, Encik Sam Tan, berkata sebaran berita palsu dengan mudah di dalam talian memberikan cabaran serius kepada masyarakat Singapura, kerana ia boleh menjejas ikatan sosial dan mempunyai kesan di alam nyata.

"Rakyat Singapura akur akan bahaya ini dan memahami bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menangani isu ini, kededua dari sudut undang-undang dan pendidikan," kata Encik Tan yang juga pengerusi Reach.

Isu berita palsu yang disengajakan mendapat sorotan baru-baru ini, sebuah jawatankuasa Parlimen kini sedang mendapatkan bukti mengenai kesan dan meneroka langkah menangani isu tersebut.


SEKILAS

Tinjauan unit maklum balas pemerintah Reach tentang sikap awam mengenai berita palsu

  • 68% mendapatkan maklumat berita, ehwal semasa daripada akhbar, radio dan televisyen.
  • 66% dapatkan berita dan ehwal semasa dari 'online'
  • 77% pernah temui berita 'online' yang didapati tidak tepat
  • 39% pernah temui berita palsu mengenai Singapura
  • 56% temui berita palsu di Facebook dan WhatsApp
  • 52% yakin tentang keupayaan diri mengenal pasti berita palsu
  • 32% percaya kebanyakan rakyat Singapura berupaya mengenal pasti berita palsu
  • 64% prihatin tentang penularan berita palsu 'online'
  • 80% prihatin tentang individu atau syarikat yang meraih keuntungan dengan menyebarkan berita palsu secara sengaja
  • 91% setuju orang yang menyiarkan berita palsu dengan sengaja patut didakwa

Laporan lanjut:

Majoriti sokong undang-undang tangani berita palsu

Malaysia perkenal rang antiberita tidak benar

    Video Baru

    Podcast Baru

    Teka Kata

    =

    Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

    Betul!

    Salah!

    Try the new Halal Food Map