Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Tinjauan Reach: Warga sokong Belanjawan, prihatin GST naik

Setempat
27
0

Tinjauan Reach: Warga sokong Belanjawan, prihatin GST naik

Apr 04, 2018 | 05:30 AM

WARGA Singapura menyokong langkah yang dibentangkan dalam Belanjawan 2018, terutamanya usaha membantu individu dan keluarga dalam membina masyarakat penyayang dan bersatu.

Namun, pada masa yang sama, ramai melahirkan keprihatinan terhadap pengumuman kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berlaku.

Demikian hasil tinjauan yang diumumkan Reach dalam kenyataan semalam.

Reach berkata tinjauan melalui panggilan telefon itu melibatkan 1,211 warga Singapura yang dipilih secara rawak dan berusia 20 tahun ke atas.

Tinjauan itu menunjukkan separuh warga Singapura atau 51 peratus menyokong usaha yang diumum dalam Belanjawan 2018.

Satu daripada dua atau 49 peratus responden tinjauan itu bersetuju bahawa wajar pemerintah menaikkan cukai untuk memenuhi perbelanjaan jangka panjang dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, prasarana dan keamanan.

Seramai 53 peratus responden yang ditinjau secara bersemuka pula melahirkan rasa bimbang tentang kenaikan GST.

Ramai dalam kalangan mereka yang berpendapatan sederhana menyuarakan kebimbangan tentang kesan kepada kos sara hidup.

Menurut Reach, tinjauan yang dijalankan dari 19 Februari hingga 4 Mac lalu itu bertujuan mengukur reaksi rakyat terhadap Belanjawan 2018.

Secara keseluruhannya, tinjauan melibatkan lebih 4,800 individu yang didekati secara dalam talian, melalui panggilan telefon atau bersemuka.

Antara lain, tinjauan itu mendapati seramai 83 peratus menyokong peningkatan kepada Geran Perumahan Berhampiran (PHG) untuk menggalak keluarga hidup atau berdekatan satu sama lain.

Sebanyak 80 peratus bersetuju bahawa peningkatan sumbangan tahunan Edusave daripada pemerintah dan jumlah tahunan lebih tinggi bagi pelajar prauniversiti akan memberi sokongan kewangan besar buat isi rumah berpendapatan rendah dan pertengahan.

Sejumlah 56 peratus warga pula bersetuju bahawa langkah seperti rebat U-Save dan lanjutan rebat Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&C) akan membantu menampung perbelanjaan.

Pengerusi Reach yang juga Menteri Negara di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Sam Tan berkata:

"Keputusan pengundian menunjukkan rakyat Singapura mengalu-alukan langkah sosial dalam Belanjawan 2018, khususnya daya usaha menyokong keluarga dan individu membina masyarakat penyayang."

Encik Tan menambah rakyat Singapura menganggap Belanjawan 2018 dapat membantu membina masyarakat lebih inklusif dan memastikan tiada siapa ditinggalkan.

Beliau juga teruja melihat ramai warga menyertai sesi maklum balas dan mengadakan perbincangan baik mengenai isu yang dekat di hati.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3