SEORANG lelaki telah menipu 85 orang yang mempercayai mereka boleh mendapat tempat bagi menunaikan haji di Makkah dengan potongan harga.
Akibatnya, mereka diperdaya untuk menyerahkan pasport mereka, dengan kebanyakan daripada mereka menyerahkan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah melebihi $97,000.
Mohd Ramlee AB Samad, 62 tahun, kelmarin dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah melakukan 20 kes penipuan.
Lagi 65 dakwaan telah dipertimbang dalam menjatuhkan hukuman.
Dia telah melakukan kesalahan itu pada 2018.
Mahkamah diberitahu bahawa mangsa tidak kehilangan wang kerana wang yang dibayar telah dirampas sewaktu siasatan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ryan Lim dan Tan Zhi Hao berkata Ramlee tidak wajar diberi pujian kerana dia sendiri tidak memulangkan wang berkenaan.
Pihak pendakwa memberitahu Timbalan Hakim Daerah Utama, Luke Tan, bahawa Ramlee telah menipu mangsa menerusi temannya, Encik Fahrorazi Sohol, yang merupakan seorang guru agama ketika itu.
DPP Lim dan Tan menjelaskan dalam dokumen mahkamah:
"Bukan sahaja ini membenarkan si tertuduh menjauhkan dirinya daripada penipuan ini seakan-akan tiada kena-mengena dengannya. Ia juga membolehkannya menggunakan kedudukan Encik Fahrorazi sebagai guru agama untuk lakukan penipuan ini.
"Ini seakan menutupi penipuan ini dan meyakinkan mangsa bahawa pakej haji dengan potongan harga itu sah."
Encik Fahrorazi didakwa pada Ogos 2018 atas satu kesalahan menipu.
Dia kemudian dituduh menipu seorang lelaki agar membayar $1,550 untuk mengambil pakej haji VIP atas undangan Kedutaan Arab Saudi.
Encik Fahrorazi kemudian dibebaskan tetapi bukan bererti bebas daripada tuduhan. Ini bererti dia boleh didakwa lagi jika bukti baru muncul.
Pada Januari tahun lalu, bekas guru agama yang berusia 49 tahun ketika itu didenda $2,000 kerana menganjurkan perhimpunan tanpa permit sah pada 2018.
Dia menganjurkan acara sempena Maulidur Rasul yang menarik minat 400 orang. Ia dikendalikan di Pu Tian Building di Geylang.
Bagi kes terkini itu, mahkamah diberitahu pada Mei 2018 bahawa Ramlee telah memberitahu Encik Fahrorazi bahawa tempat kosong bagi pakej haji dengan potongan harga itu masih ada.
Ramlee mendakwa dia telah diberitahu mengenai perkara ini daripada lelaki bernama Mohsein yang merupakan wakil daripada pihak berkuasa Saudi yang berurusan dengan kakitangan dari Istana mengenai kunjungan itu.
Kata DPP: "(Menurut Ramlee), penerbangan dan penginapan bagi kunjungan ini akan dibayar oleh pihak berkuasa Saudi, dengan individu yang mengambil pakej ini mungkin hanya perlu membayar $1,550 bagi (perkara seperti) cukai lapangan terbang (dan) bayaran pentadbiran.
"Kuota bagi peserta untuk perjalanan ini adalah yang diperolehi di bawah kuota Batam dan Brunei memandangkan kuota Singapura sudah penuh."
Ramlee kemudian meminta Encik Fahrorazi mencari peserta yang berminat, khususnya mereka yang belum pernah mengerjakan haji sebelum ini.
Encik Fahrorazi perlu mendapatkan bayaran dan pasport daripada mereka.
Sebagai ganjaran, dia dijanjikan $200 bagi setiap peserta sebagai bayaran komisen.
Encik Fahrorazi bersetuju dan terus berkongsi tentang pakej haji itu.
DPP memberitahu mahkamah: "Perjalanan ini malahan adalah penipuan yang dicetuskan si tertuduh secara sengaja. Dalam semua keadaan, si tertuduh tahu tidak ada kunjungan seperti ini.
"Si tertuduh berniat menipu orang lain menerusi Encik Fahrorazi agar mereka percaya kunjungan itu tulen, bagi memperdaya mereka untuk membayar wang bagi perjalanan yang sebenarnya tidak wujud."
Menerusi Encik Fahrorazi, Ramlee menipu 85 orang antara Julai dengan Ogos 2018.
Ramlee telah memujuk semua individu ini agar menyerahkan pasport mereka.
Mahkamah diberitahu bahawa 69 mangsa juga diperdaya untuk membayar sejumlah lebih $97,000 bagi kunjungan itu.
Sekitar 13 Ogos 2018, Ramlee meninggalkan Singapura untuk ke Batam.
Beberapa mangsa kemudian mengesyaki bahawa mereka telah ditipu selepas Encik Fahrorazi memberitahu mereka bahawa tarikh keberangkatan pada 16 Ogos 2018 ditunda kepada keesokan harinya.
Salah seorang pelajar Encik Fahrorazi telah membuat laporan polis bagi pihak mangsa dan Ramlee diberkas apabila dia pulang ke Singapura pada 4 Oktober 2018.
Kelmarin, Ramlee ditawarkan ikat jamin $30,000 dan diberitahu untuk menyerah diri di Mahkamah Negara pada 21 Julai untuk memulakan hukumannya.
Bagi setiap kesalahan menipu, si pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda.