Subuh
5:41
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:31

Tokoh PAP Phua Bah Lee meninggal dunia

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Tokoh PAP Phua Bah Lee meninggal dunia

Dec 28, 2021 | 05:30 AM

MANTAN Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Phua Bah Lee, yang merupakan seorang tokoh penting dalam membantu membina beberapa institusi di Singapura pasca kemerdekaan, meninggal dunia kelmarin.

Beliau dipilih menjadi AP bagi kawasan kejiranan Tampines pada 1968, tahun yang sama beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen bagi Perhubungan.

Pada 1971, Encik Phua dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan di Kementerian Pertahanan dan memegang jawatan itu sehingga 1988, apabila beliau berundur daripada politik.

Dilahirkan pada 1932, mendiang menamatkan pengajiannya dari Universiti Nanyang, atau Nantah, pada 1959, dan menyertai perkhidmatan awam pada 1960 sebelum memasuki politik lapan tahun kemudian.

Sepanjang kerjaya politiknya selama 20 tahun, beliau bekerja rapat dengan pemimpin politik utama seperti mantan Timbalan Perdana Menteri, Dr Goh Keng Swee.

Mendiang juga membantu membentuk atau menerajui pelbagai kumpulan institusi setempat.

Sebagai contoh, beliau merupakan presiden pengasas Safra dari 1972 hingga 1989.

Beliau juga aktif dalam sukan dan seni. Mendiang berkhidmat sebagai presiden Persatuan Bola Keranjang Singapura dari 1973 hingga 1991, dan juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Teater Rakyat Kreta Ayer dari 1977.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam satu catatan di Facebook PAP semalam berkata Encik Phua adalah seorang ahli parlimen yang berdedikasi dan efektif ketika menjalankan tugasnya.

Encik Lee menambah bahawa selain menyaksikan transformasi Tampines daripada kawasan luar bandar kepada perbandaran HDB moden, mendiang juga telah membantu Dr Goh menjaga kawasan Kreta Ayer.

Encik Phua juga pernah mewakili AP Ulu Pandan, Dr Chiang Hai Ding, apabila Dr Chiang terpaksa pergi ke luar negara, kata Encik Lee lagi.

Encik Lee menulis: "Bah Lee adalah penyokong setia Parti Tindakan Rakyat. Walaupun selepas bersara daripada politik pada 1988, beliau terus terlibat secara aktif, setia menyokong acara parti dan akar umbi pada bila-bila masa yang boleh.

"Beliau telah memainkan peranannya untuk menjadikan tempat ini lebih baik, dan setelah menyerahkan tanggungjawabnya kepada pemimpin yang lebih muda, terus menyokong mereka serta menyokong perjuangan nasional."

Atas khidmat baktinya kepada pergerakan buruh, mendiang telah dianugerahkan Pingat Rakan Buruh oleh NTUC pada 1979, kata Encik Lee, yang turut memuatnaik swafoto yang diambil bersama Encik Phua di Konvensyen Parti PAP65 pada 2019 di Facebook.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang merupakan AP bagi GRC Tampines, turut memberi penghormatan kepada Encik Phua dalam satu catatan Facebook semalam.

Encik Masagos berkata mendiang, semasa beliau masih memegang jawatan sebagai AP Tampines, telah membantu menempatkan semula penduduk kampung yang terjejas akibat pembinaan Lapangan Terbang Paya Lebar.

Bersama-sama pemimpin akar umbinya, beliau membantu menyelesaikan isu-isu yang menjejaskan kehidupan penduduk dan semasa peralihan mereka untuk tinggal di rumah flat Lembaga Perumahan.

"Walaupun selepas bersara selama lebih 30 tahun, beliau amat disayangi dan dihormati oleh masyarakat Tampines. Tampines akan sentiasa mengingati Encik Phua Bah Lee atas sumbangannya," tulis Encik Masagos.

Encik Phua meninggalkan isterinya, Cik Tan Cheok Tin, 85 tahun, dan tiga orang anak.


"Walaupun selepas bersara selama lebih 30 tahun, beliau amat disayangi dan dihormati oleh masyarakat Tampines. Tampines akan sentiasa mengingati Encik Phua Bah Lee atas sumbangannya."
- Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu catatan Facebook.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3