Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSIDANGAN ANTARABANGSA MASYARAKAT GEMILANG 2022 (ICCOS)

Tolak ansur, perluas ruang bersama kunci keharmonian SG: PM Lee

Berikut ialah sedutan ucapan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, di Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang di Pusat Konvensyen Raffles City malam kelmarin.
Sep 11, 2022 | 05:30 AM



MEMBINA MASYARAKAT MUSLIM MINORITI YANG GEMILANG



Sesetengah negara lebih berbilang berbanding yang lain.



Namun sekarang ini, hampir setiap negara terbentuk daripada kumpulan kaum dan agama yang berbeza, dengan setiap daripada mereka memiliki amalan, adat resam, norma dan kepercayaan tersendiri.



Bukan mudah untuk menyatukan masyarakat yang berbilang bersama.



Banyak negara bermula dengan impian dan cita-cita untuk membina masyarakat yang toleran dan inklusif serta menganggap semua orang sama tanpa mengira kaum mahupun agama.



Namun sepanjang jalan, dengan politik pilihan raya dan sifat mementingkan golongan majoriti, godaan menggunakan kaum dan agama untuk meraih undi sentiasa wujud, dengan semangat yang membara.



Hasilnya adalah pemecahbelahan dan rasa saling mengesyaki.



Malah dalam situasi lebih ekstrem, (hasilnya adalah) penindasan dan penumpahan darah.



Apabila masyarakat beralih ke arah itu, amat sukar untuk berpatah balik, ia menjadi jalan sehala.



Oleh itu, bagaimana boleh kita semua hidup dengan harmoni dan berjaya bersama dalam masyarakat yang berbilang?



Soalan ini khususnya menjadi keprihatinan masyarakat dengan Muslim sebagai minoriti.



Terdapat lebih 1.9 bilion Muslim di seluruh dunia sekarang, dengan sekitar 400 juta daripada mereka hidup sebagai minoriti di negara mereka.



Bagi mereka, perkara ini tidak jelas dan mudah.



Pertama, bagi ramai Muslim, Islam bukan sahaja kepercayaan kerohanian tetapi cara hidup yang menyeluruh.



Oleh itu, bagi minoriti Muslim meluahkan identiti Islam mereka sepenuhnya sementara memperluas apa yang mereka kongsi bersama warga bukan Muslim, ini merupakan proses yang penting lagi sensitif.



Kedua, sejak serangan 9/11 pada 2001, ancaman global pengganasan jihadi telah menanam rasa syak, takut dan Islamofobia, serta hubungan yang tegang antara Muslim dengan mereka yang bukan Muslim.



Negara dengan masyarakat minoriti Muslim perlu bertanya diri kita:



Bagaimana membina institusi yang betul dan memupuk sikap serta nilai yang betul dalam masyarakat kita?



Bagaimana boleh individu menjadi Muslim yang bertanggungjawab dan penyumbang, serta warga yang bertanggungjawab dan penyumbang pada masa yang sama?



Tiada satu pendekatan sama kerana setiap masyarakat berbeza.



Namun, terdapat banyak yang boleh kita pelajari daripada satu sama lain.



KISAH SINGAPURA



Izinkan saya berkongsi antara pengalaman Singapura.



Singapura merupakan masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Selain Muslim, kita juga mempunyai masyarakat beragama Buddha, Kristian, Tao, Hindu, Yahudi dan banyak lagi.



Malah, Pusat Penyelidikan Pew menyenaraikan Singapura sebagai negara yang paling berbilang dari segi agama di dunia.



Kita mempunyai sejumlah minoriti Muslim yang agak besar - sekitar 15 peratus.



Minoriti agama ini juga rata-ratanya kebetulan sama dengan minoriti kaum - masyarakat Melayu.



Di Singapura, kebanyakan Muslim merupakan orang Melayu dan hampir semua Melayu merupakan orang Muslim.



Kedua-dua kaum dan agama merupakan aspek penting identiti masyarakat itu dan mereka mengenali diri mereka sendiri sebagai warga Singapura Melayu/Islam.



Kini di Singapura, kami bertuah hubungan kaum dan agama secara umumnya harmoni dan aman.



Namun, ini bukan sentiasa halnya selama ini.



Lebih separuh abad dahulu, semasa tahun-tahun awal pembangunan negara, Singapura mengalami beberapa rusuhan kaum yang serius, dengan ramai orang terbunuh dan ratusan lagi cedera.



Kami menyaksikan secara langsung bahaya rasa sangsi dan pemecahbelahan apabila isu sensitif berhubung kaum dan agama tidak ditangani dengan baik dan diperguna dalam masyarakat yang berbilang.



Pengajaran yang menyakitkan ini menjadi peringatan penting akan perlunya kita mengekalkan keamanan dan keharmonian.



PERANAN PEMERINTAH



Pemerintah telah memainkan peranan penting dalam usaha menetapkan hala tuju keseluruhan dan nada masyarakat Singapura.



Detik permulaan kita ialah individu boleh menjadi Muslim yang baik, atau menjadi penganut Kristian, Buddha atau Hindu yang baik pada masa yang sama menjadi warga Singapura yang baik.



Sejak awal permulaan Republik kita, pengasas kita bersungguh-sungguh menegakkan prinsip kesaksamaan, "Tanpa mengira kaum, bahasa atau agama".



Prinsip asas ini telah termaktub dalam Ikrar Negara kita. Sebagai cita-cita dan aspirasi untuk kita semua, dari satu generasi ke generasi lain.



Pemerintah berjuang dengan keazaman tunggal mahu menegakkan dasar pelbagai kaum demi menyatukan pelbagai kaum dan agama, dan untuk menolak politik berpuak atau mengikut majoriti.



Banyak dasar dan perundangan kita telah direka untuk menegakkan prinsip ini.



Kami menjaga hak masyarakat minoriti contohnya dengan mewujudkan Majlis Presiden untuk Hak Minoriti. Untuk meneliti semua undang-undang demi memastikan ia tidak mendiskriminasi mana-mana kaum atau masyarakat agama.



Kami luaskan ruang bersama dalam masyarakat misalnya dengan memastikan gabungan kumpulan kaum yang pelbagai dan seimbang di estet perumahan awam dan menyediakan kurikulum kebangsaan sekular di sekolah, termasuk di sekolah yang ada kaitan dengan kumpulan agama.



Dan kami bertindak tegas demi melindungi diri kita semua daripada maklumat salah dan kepalsuan yang boleh menimbulkan rasa syak wasangka dalam kalangan masyarakat.



Contohnya dengan memperkenalkan perundangan seperti Akta Penyenggaraan Keharmonian Agama (MRHA) dan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA). Usaha dan dasar ini membantu mencegah kumpulan minoriti daripada terpinggir, dan demi memastikan mereka mempunyai ruang meneruskan amalan budaya dan agama mereka.



PERANAN MASYARAKAT ISLAM



Masyarakat minoriti, termasuk umat Islam, juga memainkan peranan mereka mengekalkan keharmonian kaum dan agama serta perpaduan sosial. Mereka mendekati isu dengan semangat persefahaman dan tolak ansur.



Mereka fahami kerana konteks kita yang berbilang kaum, sesetengah perkara perlu dilakukan secara berbeza dari tempat lain. Singapura bertuah kerana mempunyai pemimpin agama Islam yang telah memahami perkara asas ini.



Pada 1949, seorang ulama Islam, Maulana Abdul Aleem Siddique, menyarankan pembentukan Pertubuhan Antara Agama (IRO) untuk menghimpunkan penganut agama yang berbeza dalam semangat persahabatan.



IRO terus aktif memupuk toleransi beragama dan harmoni, selama lebih 70 tahun.



Dengan persefahaman yang baik, kami telah dapat menangani dengan baik dan membina isu-isu sensitif yang pasti timbul apabila kumpulan yang berbeza hidup bergaul rapat antara satu sama lain.



Salah satu contohnya ialah azan, panggilan bagi umat Islam menunaikan solat.



Di sesetengah negara, azan ini dilaungkan oleh pembesar suara masjid.



Memandangkan kepadatan bandar kita yang tinggi, dengan ramai orang tinggal berdekatan satu sama lain, amalan ini tidak dapat dilaksanakan di Singapura dalam jangka masa panjang.



Rakyat Singapura yang beragama Islam memahami keperluan membuat penyesuaian pragmatik mengikut nilai agama mereka, termasuk menyiarkan azan melalui radio nasional.



Dan untuk menghalakan arah pembesar suara di masjid ke dalam bangunan demi mengurangkan kesan kepada penduduk berhampiran, yang kebanyakannya bukan beragama Islam.



PENDEKATAN PRAGMATIK



Oleh kerana umat Islam mengambil pendekatan pragmatik ini, kami mampu membina masjid dalam kawasan perumahan awam yang padat, dan kehadiran kemudahan itu diterima dan disambut oleh jiran mereka dari semua agama.



Juga penting bagi masyarakat minoriti mengekalkan kepercayaan dan keyakinan kumpulan lain dalam masyarakat. Ini termasuk melenyapkan ketakutan dan syak wasangka terhadap sebaran ideologi ekstremis dan ancaman pengganas.



Di Singapura, pemimpin Islam kita bekerja rapat dengan pemerintah dan rakan kongsi untuk membimbing masyarakat ke arah jalan yang benar.



Misalnya selepas penahanan anggota Jemaah Islamiyah yang berkomplot membuat serangan pengganas di Singapura, sekumpulan asatizah kanan tampil bersama-sama bagi membentuk Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).



RRG berusaha memulihkan mereka yang telah menjadi radikal melalui kaunseling agama. Mereka membimbing masyarakat yang lebih luas ke arah tafsiran Islam yang betul.



Mereka membantu mengekalkan sikap saling mempercayai antara umat Islam dan warga bukan Islam.



Semua ini memerlukan kepimpinan agama yang kuat dan dihormati. Saya gembira pihak penguasa agama Islam Singapura, Muis, dan Mufti kita telah membina pengalaman dan kedudukan mereka dalam masyarakat selama bertahun.



Muis menetapkan norma bagi asatizah kita membimbing masyarakat dalam mengemudi dan menangani isu-isu sosio-agama yang kompleks.



Ia mentadbir Skim Pengiktirafan Asatizah, untuk memastikan supaya guru-guru agama dan ulama kita lebih memahami konteks Singapura.



Demi meneruskan tanggungjawabnya, Muis mesti terus melabur dalam kepimpinan agama Islam Singapura. Contohnya melalui program dan biasiswa untuk melengkapkan calon asatizah dengan ilmu dan kemahiran agar dapat berkhidmat kepada masyarakat.



Juga penting langkah berterusan meluaskan ilmu agama. Tahun lalu, Muis memperkenalkan Program Penyelidikan dalam Kajian Masyarakat Muslim Berjaya (RPCS). Ia bertujuan membina ilmu agama dalam menghadapi isu berkaitan tadbir urus, sains, dan teknologi.



Ia akan membantu Muis menyediakan panduan kontekstual yang berasaskan ajaran dan bimbingan Islam.



Saya menggalakkan institusi dan golongan ulama supaya bekerjasama dengan Muis melalui program penyelidikan ini, untuk manfaat umat Islam di seluruh dunia.



Lebih daripada menjadi Muslim yang baik, adalah penting juga masyarakat minoriti menyertai sepenuhnya dalam kehidupan ekonomi dan sosial negara mereka.



Di Singapura, kita melakukan ini menerusi dasar-dasar yang memastikan peluang penuh dan saksama bagi semua.



Juga, kita mempunyai banyak inisiatif dalam masyarakat yang membolehkan masyarakat Muslim meraih pencapaian baik dan memberi sumbangan.



Sebagai contoh, pemerintah menyokong kumpulan bantu diri Mendaki, yang mengetuai usaha mempertingkat masyarakat Melayu/Muslim menerusi pendidikan.



Satu lagi forum ialah Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra PA) yang menganjurkan banyak program untuk mendekati masyarakat demi memperkukuh perpaduan.



Menerusi usaha bersama ini, masyarakat Muslim di Singapura telah mencapai kemajuan penting sejak beberapa dekad lalu.



Mereka memberi sumbangan kepada pertumbuhan dan pembangunan keseluruhan negara dan kejayaan mereka membantu untuk melindungi kesepakatan dan perpaduan di Singapura.



PERANAN KUMPULAN MAJORITI



Namun, bukan hanya kumpulan minoriti harus berusaha, kumpulan majoriti juga harus memainkan peranan mereka.



Tolak politik yang mengutamakan suara majoriti,



Ambil sikap permuafakatan dan kompromi, untuk memupuk perpaduan dalam masyarakat yang berbilang.



Sebagai contoh, selepas Singapura berpisah daripada Malaysia, kami menjadikan Bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Mandarin sebagai bahasa bekerja.



Ini memastikan kumpulan minoriti boleh mengambil bahagian sepenuhnya dari segi ekonomi dan sosial, dan tidak berada dalam keadaan yang merugikan.



Baru-baru ini, kami membuat perubahan pada sistem Presiden Dipilih untuk memastikan setiap warga, tidak kira asal kumpulan etniknya, tahu bahawa seseorang dari kumpulan etnik itu boleh menjadi Presiden pada satu hari nanti, dan sesungguhnya menjadi Presiden dari masa ke masa.



Langkah-langkah penting ini mengundang kontroversi pada mulanya, tetapi kini telah diterima dengan baik oleh warga Singapura.



Malah, dalam masyarakat berbilang kaum, kumpulan majoriti harus berusaha lebih gigih untuk sentiasa mengiktiraf dan menghormati kepentingan minoriti, untuk sedar bahawa dalam sebarang masyarakat, adalah lebih sukar bagi individu yang menganggotai kumpulan minoriti berbanding yang menganggotai kumpulan majoriti.



Dan terutama sekali supaya sedar tidak membiarkan kumpulan minoriti berasa dipinggirkan.



Mujurlah, warga Cina Singapura, sebagai kaum majoriti di Singapura, memahami hakikat ini.



Mungkin ia adalah lebih mudah kerana walaupun warga Cina Singapura adalah kaum majoriti di sini, tiada kumpulan agama lain yang menjadi majoriti di Singapura.



Namun, keadaan tidak semuanya manis dan mudah belaka.



Dari masa ke masa, ada individu atau kumpulan yang melampaui batas dan menyakitkan hati kumpulan lain, atau cuba menggunakan kaum dan agama untuk mencetus gangguan atau mendapatkan sokongan.



Pemerintah perlu berpendirian tegas apabila perkara sedemikian berlaku.



Sertai isu dan mendedahkan sesiapa yang berusaha mengapi-apikan perasaan yang memecahbelahkan ini.



Dan menyakinkan warga Singapura bahawa perbuatan sedemikian adalah cara paling mudah untuk menghancurkan keharmonian masyarakat kita ini.



Ia sesuatu yang perlu dilakukan walaupun jika perbuatan itu boleh menyebabkannya kehilangan sokongan politik dan undi.



Namun ini adalah perkara yang wajar dilakukan untuk memperjuangkan nilai asas kita iaitu masyarakat berbilang bangsa dan untuk melindungi keseimbangan yang rapuh dalam masyarakat kita yang dibentuk berbilang kumpulan.



Inilah bagaimana Singapura mampu tiba di saat ini, di mana setiap orang boleh hidup harmoni dengan satu sama lain.



Setiap warga faham apa yang dipertaruhkan.



Setiap warga faham tiada kumpulan boleh memperoleh kesemua yang dimahukannya.



Setiap warga menyokong keperluan lebih besar iaitu untuk bertolak-ansur, menyesuaikan diri dan bermuafakat bagi perkara sensitif berhubung agama lain.



Luaskan ruang yang dikongsi dan memupuk semangat kepercayaan dan saling menghormati antara semua warga Singapura.



Dengan cara ini, kita boleh terus membina negara berbilang kaum dan berbilang agama di mana setiap warga Singapura, tanpa mengira kaum, bahasa atau agamanya, menjadi anggota masyarakat yang berharga dan dihormati.



Dan di mana semua warga Singapura yang beragama Islam, seperti kumpulan-kumpulan lain di Singapura, boleh membangunkan identiti warga Singapura yang unik, yang berbeza daripada identiti masyarakat lain di dunia.



BERGERAK KE HADAPAN



Singapura telah mengorak langkah jauh dalam perjalanan kita.



Namun membina masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama yang bersepadu adalah satu usaha yang berterusan.



Masa dan keadaan berubah, generasi baru menjalani pengalaman hidup dan jangkaan yang berbeza dan dari masa ke masa, kita perlu menangani isu-isu baru dan yang boleh menyinggung perasaan.



Satu contoh ialah pemakaian tudung dalam sektor jagaan kesihatan.



Saban tahun, kita tidak membenarkan jururawat Muslim yang bertugas di hospital awam untuk memakai tudung.



Semua jururawat memakai pakaian seragam supaya pesakit kurang berkemungkinan memilih jururawat tertentu berbanding jururawat yang lain, bergantung pada agama mereka.



Namun, dengan peredaran masa, keinginan wanita Muslim untuk memakai tudung telah meningkat.



Kami mengiktiraf keinginan ini dan mengorak langkah untuk memenuhi hasrat jujur sebahagian jururawat Muslim untuk memakai tudung semasa mengenakan pakaian seragam mereka.



Namun, sebelum kita mengubah peraturan mengenai pakaian seragam ini, kita meluangkan masa beberapa tahun untuk mempersiapkan masyarakat lebih luas.



Kita menunggu sehingga anggota bukan Muslim menjadi lebih selesa berinteraksi dengan Muslim yang memakai tudung.



Kita mengadakan banyak sesi rundingan dengan kumpulan-kumpulan berbeza dalam masyarakat dan juga pemimpin-pemimpin agama.



Kita memastikan kededua Muslim dan bukan Muslim faham apa yang kita sedang lakukan.



Akhirnya, pada tahun lalu, kita melaksanakan perubahan itu dan saya senang hati ia telah berjalan dengan licin dan diterima dengan baik.



Melihat kembali perkara ini, saya senang hati kerana kita telah bertindak secara berwaspada dan dengan sokongan dan pemahaman pemimpin agama.



Saya juga amat menghargai sikap bersabar dan toleran yang ditunjukkan oleh masyarakat Muslim, yang telah menanti agak lama bagi perkara ini untuk berlaku.



Satu lagi contoh yang kami sedang tangani pada masa ini - pemansuhan Seksyen 377A dalam Kanun Jenayah, iaitu undang-undang dari tempoh penjajahan Britain yang menyifatkan seks sesama lelaki sebagai jenayah.



Islam menyifatkan perbuatan homoseksual sebagai berdosa. Ramai penganut agama Kristian bersependapat.



Tapi apa yang dianggap oleh sebahagian agama sebagai satu dosa tidak semestinya disifatkan sebagai satu jenayah.



Seperti masyarakat lain, masyarakat kita di Singapura ini juga mempunyai orang gay.



Dan seperti warga Singapura yang lain, orang gay juga ingin dihormati dan diterima.



Berdasarkan sebab-sebab yang telah diperjelaskan oleh pemerintah, kami berhasrat untuk memansuhkan Seksyen 377A supaya seks sesama lelaki tidak lagi disifatkan sebagai jenayah.



Namun, pada masa yang sama, kita juga tidak mahu pemansuhan ini mencetus sebarang peralihan drastik dalam norma masyarakat kita; membuka pintu bagi perkahwinan antara individu sama jantina, atau menjejas banyak dasar pemerintah yang berasaskan definisi perkahwinan yang sedia ada, iaitu antara seorang lelaki dan seorang perempuan.



Justeru, kami berhasrat untuk terus berpegang dan melindungi institusi perkahwinan dan akan meminda Perlembagaan untuk melindungi definisi perkahwinan daripada dicabar dari sudut perlembagaan di mahkamah.



Muslim tidak terjejas secara langsung oleh perkembangan ini kerana perkahwinan Muslim ditadbirkan secara berasingan, mengikut hukum Syariah.



Namun, berdasarkan sebab-sebab yang boleh difahami, mereka juga prihatin.



Justeru, kami telah memberi jaminan kepada Muslim mereka bebas berdakwah dan mengamalkan ajaran Islam berhubung seksualiti dan perkahwinan.



Dan juga dalam konteks kehidupan sosial lebih luas, kehidupan Muslim tidak akan berubah dengan serta-merta.



Dalam masyarakat berbilang agama, pemerintah harus mengambil pendekatan yang tidak berpihak dan sekular.



Namun pemerintah juga akan mengiktiraf dan menghormati pandangan berbeza yang patuh pada undang-undang dan aspirasi warga Singapura, dan mengimbangi mereka secara adil supaya mencapai permuafakatan politik.



Dengan cara bertolak ansur, semua kumpulan boleh menjalani kehidupan dan menjalin hubungan yang harmoni.



KESIMPULAN



Perubahan yang membolehkan jururawat memakai tudung di tempat kerja dan pemansuhan Seksyen 377A adalah contoh bagaimana Singapura mendekati isu-isu rumit demi memelihara kepercayaan dan pemahaman yang dikongsi antara semua kumpulan dalam masyarakat.



Seperti kumpulan-kumpulan lain dalam masyarakat berbilang, masyarakat Muslim memainkan peranan penting dalam usaha menangani cabaran yang dihadapi masyarakat kita pada hari ini dan melindungi perpaduan dan harmoni sosial, serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat.



Saya telah menjelaskan bagaimana kita berusaha untuk membangunkan masyarakat Muslim minoriti yang berjaya di Singapura.



Cara kita bukan satu-satunya cara, dan tiada hanya satu jawapan yang betul.



Kita semua boleh menimba pengajaran yang baik daripada satu sama lain.



Kita harus terus menggalak pertukaran idea dan amalan bersama untuk membangunkan masyarakat Muslim yang berjaya, termasuk di platform seperti ICCOS ini.



Saya harap persidangan ini akan memanfaatkan dan bermakna bagi semua.




BERSAMA-SAMA MAJU DALAM ARUS NASIONAL



Lebih daripada menjadi Muslim yang baik, adalah penting juga masyarakat minoriti menyertai sepenuhnya dalam kehidupan ekonomi dan sosial negara mereka... kita mempunyai banyak inisiatif dalam masyarakat yang membolehkan masyarakat Muslim meraih pencapaian baik dan memberi sumbangan. Sebagai contoh, pemerintah menyokong kumpulan bantu diri Mendaki, yang mengetuai usaha mempertingkat masyarakat Melayu/Muslim menerusi pendidikan. Satu lagi forum ialah Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra PA) yang menganjurkan banyak program untuk mendekati masyarakat demi memperkukuh perpaduan. Menerusi usaha bersama ini, masyarakat Muslim di Singapura telah mencapai kemajuan penting sejak beberapa dekad lalu. Mereka memberi sumbangan kepada pertumbuhan dan pembangunan keseluruhan negara dan kejayaan mereka membantu untuk melindungi kesepakatan dan perpaduan di Singapura.
- PM Lee Hsien Loong.




HARGAI PERANAN MUSLIM DEMI KEKAL KEHARMONIAN



Masyarakat minoriti, termasuk umat Islam, juga memainkan peranan mereka mengekalkan keharmonian kaum dan agama serta perpaduan sosial. Mereka mendekati isu dengan semangat persefahaman dan tolak ansur. Mereka fahami kerana konteks kita yang berbilang kaum, sesetengah perkara perlu dilakukan secara berbeza dari tempat lain. Singapura bertuah kerana mempunyai pemimpin agama Islam yang telah memahami perkara asas ini... Dengan persefahaman yang baik, kami telah dapat menangani dengan baik dan membina isu-isu sensitif yang pasti timbul apabila kumpulan yang berbeza hidup bergaul rapat antara satu sama lain.



SIKAP KOMPROMI MASYARAKAT MAJORITI TURUT MEMBANTU



Namun, bukan hanya kumpulan minoriti harus berusaha, kumpulan majoriti juga harus memainkan peranan mereka. Tolak politik yang mengutamakan suara majoriti,



Ambil sikap permuafakatan dan kompromi, untuk memupuk perpaduan dalam masyarakat yang berbilang. Sebagai contoh, selepas Singapura berpisah daripada Malaysia, kami menjadikan Bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Mandarin sebagai bahasa bekerja. Ini memastikan kumpulan minoriti boleh mengambil bahagian sepenuhnya dari segi ekonomi dan sosial, dan tidak berada dalam keadaan yang merugikan.



USAHA DIPERLUKAN DALAM SINGAPURA ORAK MASA DEPAN



Singapura telah mengorak langkah jauh dalam perjalanan kita. Namun membina masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama yang bersepadu adalah satu usaha yang berterusan.



Masa dan keadaan berubah, generasi baru menjalani pengalaman hidup dan jangkaan yang berbeza dan dari masa ke masa, kita perlu menangani isu-isu baru dan yang boleh menyinggung perasaan."



- PM Lee Hsien Loong. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >