UNTUK mendorong isi rumah meningkatkan usaha kitar semula, setiap isi rumah akan menerima bekas kitar semula yang akan di agihkan oleh Pengumpul Sisa Awam tempatan menjelang hujung tahun ini.
Demikian diumumkan oleh Menteri Negara (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Desmond Tan, semasa pelancaran kempen Recycle Right 2022 (Kitar Semula Dengan Betul 2022) semalam.
Usaha ini adalah sebahagian daripada kempen yang pertama kali dilancarkan pada 2019 untuk membantu rakyat Singapura memahami cara mengitar semula dengan betul.
Mengulas mengenai kempen Recycle Right 2022 yang akan berlanjutan selama lapan minggu, Encik Tan berkata beliau berharap dapat menggalakkan orang ramai untuk kitar semula dengan cara yang betul dan bukan sahaja kitar semula dengan lebih banyak.
"Dengan ini, saya berharap kita dapat bersama mengurangkan sampah yang dihantar kepada Tapak Pelupusan Sampah Semakau (SL) dan juga bantu kita untuk mencapai Pelan Hijau Singapura 2030 untuk mengurangkan sampah," katanya semasa pelancaran kempen itu di Blok 530, Pasir Ris Drive 1, petang semalam.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), di bawah Pelan Induk Sisa Sifar dan Pelan Hijau Singapura 2030, negara mempunyai matlamat untuk mencapai kadar kitar semula keseluruhan sebanyak 70 peratus menjelang 2030 dan mengurangkan jumlah sisa dihantar ke SL sebanyak 20 peratus per kapita sehari menjelang 2026.
Jika penjanaan sisa tidak dikurangkan, dengan kadar pelupusan sisa semasa, SL dijangka penuh menjelang 2035.
Di bawah kempen ini, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dan NEA bekerjasama dengan orang ramai untuk bersama mencipta semula label kitar semula, yang telah diletakkan pada semua tong kitar semula berwarna biru dan pelongsor kitar semula.
Selain itu, maskot baru turut diperkenalkan semalam sebagai usaha mendidik dan menggalak orang ramai mengamalkan tabiat kitar semula yang baik.
Maskot, yang dinamakan Bloobin, akan menjadi satu peringatan serta meningkatkan pengetahuan mengenai mengitar semula.
Bloobin adalah tong kitar semula biru yang bersungut dan kecewa dengan pencemaran selama bertahun-tahun, dan mempunyai misi untuk mendidik orang ramai tentang cara mengitar semula dengan betul.
Pelekat Bloobin akan dilekat di tong kitar semula dan tong sampah di pembangunan perumahan awam dan akan menjadi peringatan terakhir untuk mendorong isi rumah supaya periksa barang mereka sebelum membuangnya dengan sewajarnya sebagai sisa am atau kitar semula, kata NEA.
Encik Tan pula berkata beliau berharap dapat menggalakkan orang ramai untuk kitar semula dengan cara yang betul dan bukan sahaja kitar semula dengan lebih banyak.
"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat, rakan kongsi industri dan perniagaan untuk menjadikan kitar semula lebih mudah diakses dan lebih mudah," ujarnya.
Untuk memupuk tabiat kitar semula yang betul, sumber pendidikan interaktif seperti aktiviti buku dalam talian untuk kanak-kanak prasekolah dan permainan dalam talian untuk pelajar yang lebih tua akan disediakan.
Untuk membina program penglibatan yang lebih mendalam dan bermakna, satu cabaran antara institusi pengajian tinggi dipanggil ''Ready, Set, Recycle" akan dilancarkan untuk mendorong belia mengambil tindakan untuk kitar semula.